Isnin, 2 Januari 2017

TAJUK 8 : PENYELIDIKAN TINDAKAN: KAEDAH PENGUMPULAN DATA


8.2       Pemerhatian

Pemerhatian adalah suatu kaedah penyelidikan yang penting. Kaedah itu memerlukan pengkaji mempunyai latar belakang pengetahuan serta pemahaman situasi yang luas untuk membuat pemerhatian situasi yang sebenar.

Lazimnya, pemerhatian melibatkan bukan sahaja aktiviti meneliti situasi atau kejadian tetapi juga aktiviti berfikir secara original dan kritikal. Ia memerlukan pengkaji yang mempunyai kecekapan mengesani peristiwa yang signifikan. Maka, ia adalah satu aktiviti di mana kemahiran tinggi pengkaji sangat diperlukan.

8.2.1.   Kebaikan Menjalankan Pemerhatian

(a) Aspek-aspek sahsiah yang penting biasanya dapat ditentukan dengan lebih berkesan melalui pemerhatian.  Setiap tingkah laku seseorang secara langsung dibandingkan kajian melalui soal selidik atau temu bual.

(b)   Aspek-aspek fizikal sesebuah bangunan, seseorang pelajar, atau seseorang guru biasanya dapat dikaji dengan membuat pemeriksaan, ukuran, taksiran, dan bandingan dengan satu-satu piawai melalui pemerhatian langsung.

(c)   Pemerhatian secara langsung diperlukan bagi mengkaji aktiviti-aktiviti fizikal seperti permainan, sukan, dan kerja amali.

(d)   Pemerhatian bilik darjah boleh digunakan oleh penyelidik untuk membuat analisis terhadap keberkesanan sesuatu pengajaran dan cara memperbaikinya.

8.2.2    Pemerhatian secara langsung (direct observation)

Pemerhatian boleh dilakukan tanpa atau dengan bantuan alatan teknikal seperti mencatatkan nota tentang pergerakan guru dan pelajar ataupun merakamkan pemerhatian dengan menggunakan alat instrumen seperti borang pemerhatian; alatan electronik seperti perakam video, kamera atau pita rakaman audio. Bahan sokongan atau bantuan pemerhatian itu boleh digunakan sebagai sumber yang berguna untuk menganalisis data selepas pemerhatian. aspek-aspek yang perlu sebelum melakukan pemerhatian

8.2.3    Tumpuan pemerhatian

Beberapa persoalan perlu diambil perhatian sebelum melakukan pemerhatian. Antaranya ialah:

·                     Siapakah yang akan membuat pemerhatian?

·                     Siapa atau apa yang akan diperhatikan?

·                     Di tempat-tempat manakah pemerhatian akan dilaksanakan? (elok adakan pemerhatian di beberapa tempat dan situasi untuk mendapatkan kepelbagaian maklumat)

·                     Bilakah pemerhatian akan dijalankan? (elok adakan pemerhatian pada masa-masa yang berlainan untuk mendapatkan kepelbagaian maklumat)

·                     Bagaimanakah pemerhatian itu akan dicatatkan atau dirakamkan?

·                     Apakah prosedur yang patut diikut untuk memastikan pemerhatian itu boleh dipercayai (reliable) dan ada keesahan (valid)?

·                     Apakah teknik pemerhatian yang paling sesuai untuk keadaan bilik darjah yang dikaji? (Eloklah data-data penting yang dikutip semasa pemerhatian mesti dicatat dengan serta merta sekurang-kurangnya dalam bentuk nota)

8.2.4    Panduan Untuk Melaksanakan Pemerhatian Pengajaran Dalam Kelas.

Terangkan dengan tepat perkara-perkara berikut:

·                     Apa yang dikatakan oleh guru atau pelajar?

·                     Apa yang dilakukan oleh guru atau pelajar?

·                     Apakah tugas-tugas yang diberikan kepada pelajar-pelajar dan muka surat buku teks yang diguna?

Gunakan singkatan untuk perkataan yang sentiasa digunakan (contohnya: P untuk pelajar, G untuk guru).

Dalam kaedah ini, selalunya pemerhati menggunakan diagram atau borang tertentu. Contohnya pemerhati menyediakan borang tentang apa yang ingin diperhatikan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung sama ada sikap pelajar, cara dan teknik guru mengajar atau sebagainya dan borang ini akan ditanda oleh pemerhati itu sendiri semasa tempoh P & P itu berlangsung.

 

Selepas pemerhatian, semakan perlu dilakukan untuk membetulkan kesilapan yang dibuat atau untuk membuat komen. Nota tambahan nota dipelukan bagi menyatakan perasaan akan sesuatu peristiwa atau sesuatu idea baru. Bezakan catatan yang menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku dan tafsiran yang dibuat mengenai sesuatu situasi.

 

8.3       Dokumen

 

Dokumen adalah segala bahan tertulis mahupun filem yang  sudah tersedia pada tempat tertentu (Noeng, 2000; Nana, 2005; Sudarwan, 2005).  Analisis dokumen digunakan untuk membantu penyelidik mendapatkan data secara  objektif melalui dokumen serta tidak memerlukan kehadiran informan dan juga dapat  memberikan data yang konsisten kerana segala data diperoleh secara tersurat dan dapat  digunakan untuk memperoleh kesahan sesuatu jawapan yang diperoleh daripada analisis  soal selidik (Frankel, 2007). Penggunaan dokumen dalam penyelidikan adalah mendukung dan menambah bukti daripada sumber-sumber lain.

 

Terdapat tiga penggunaan kaedah dokumen dalam penyelidikan:-

a)      Membantu memeriksa data-data yang telah dikumpulkan

b)      Dapat menambah rincian khas lainya guna mendukung maklumat  daripada sumber-sumber lain, jika bukti dokumen bertentangan dan bukanya mendukung, penyelidik mempunyai alasan untuk mengkaji lebih jauh tentang kajian yang sedang dilaksanakan

c)      Inferensi dapat dibuat dari dokumen-dokumen (Robert, 1996).

 

 

8.4       Temubual

Temubual adalah satu kaedah kajian yang amat penting kerana ia membantu pengkaji meneroka dan mendapatkan maklumat kajian secara mendalam.

Seringkala dalam kajian, ada banyak maklumat yang tidak dapat diperolehi melalui kaedah pemerhatian, dokumentasi ataupun catatan dairi seseorang. Pengkaji perlu berhubung melakukan hubungan "face-to-face"

Dalam Kajian Tindakan, peserta-peserta yang penting ditemubual adalah

1.      murid-murid sekolah,

2.      guru-guru yang mengajar matapelajaran yang sama,

3.      rakan sejawat yang sesekolah,

4.      pihak pentabir sekolah (contohnya: guru besar, penolong kanan) dan

5.      pemerhati yang turut serta dalam kajian.

 

Mereka perlu ditemubual untuk mengetahui perasaan dan pendapat serta sikap mereka terhadap kajian dan tindakan yang diambil. Misalnya, apabila pengkaji ingin mengetahui perasaan pelajar-pelajar secara mendalam atau meneroka idea mereka, maka adalah penting pengkaji itu berhubung dengan peserta untuk tujuan soal jawab; berbual-bual ataupun berbincang.

8.4.1                Kebaikan Menjalankan Temu bual

a.       Sesuai bagi responden yang tidak boleh membaca atau yang mempunyai kecerdasan yang terhad.

b.      Seseorang itu biasanya lebih suka bercakap daripada menulis.

c.       Mudah bagi penyelidik menerangkan tujuan sesuatu soalan untuk mendapat jawapan yang tepat daripada responden.

d.      Keikhlasan seseorang responden memberi jawapan dapat dilihat daripada perbincangan berdepan.

e.       Responden tidak dapat membetulkan semula jawapan yang telah diberikan terdahulu jika soalan yang berikutnya boleh mendorong responden mengubahsuai jawapan yang telah diberikan.

8.4.2                Perancangan untuk Menemu Bual

a.              Tentukan tujuan dan maklumat yang hendak diperolehi daripada  responden.

b.             Sediakan rangka soalan dengan teratur dan komen-komen yang boleh  meransang responden mengeluarkan maklumat

c.              Tentukan cara mencatat jawapan yang diberikan.

8.4.3                Perkara yang Dititikberatkan Semasa membuat Temubual

a.              Mendapatkan kerjasama daripada kumpulan atau orang perseorangan yang ditemubual. Oleh itu penyelidik perlu memupuk hubungan baik dengan responden. Ini memerlukan kemahiran dan kesenian seseorang.

b.             Mengemukakan soalan-soalan yang menarik dan yang boleh  meransang responden member komen dan penerangan

c.              Alat yang digunakan merakam jawapan sepatutnya tidak  mengalih perhatian responden.

8.4.4                Cara Mencatat Atau Merakam Jawapan Temu bual

a.              Menggunakan alat rakaman yang boleh mengekalkan keaslian jawapan responden seperti memperdengarkan nada suara seseorang samada  beremosi atau tidak.

b.             Catatan jawapan boleh dibuat secara serentak atau selepas temubual  dilakukan. Kedua-dua cara mempunyai kebaikan dan kelemahan.  Cara pertama boleh member catatan yang lengkap tetapi boleh mengganggu responder sementara cara kedua boleh memberi  kesan  sebaliknya. Walau apa cara pun, penyelidik harus membuat berapa latihan.

c.              Penemu bual  mungkin tidak perlu mencatat jawapan-jawapan  yang diberikan oleh responden tetapi  membuat penilaian terhadap pendapat mereka. Dalam hal ini,  adalah baik jika penilaian dibuat selepas temubual  dijalankan atau seIepas mendengar semula rakaman yang dibuat.

8.4.5                Jenis-jenis Teknik Temubual

Lazimnya, terdapat dua teknik temubual iaitu temubual berstruktur dan temubual tidak berstruktur.

                    i. Teknik Temubual Berstruktur

Temubual berstruktur adalah aktiviti perbualan dan soaljawab di mana bentuk dan kandungan soalan-soalan yang ingin ditanya adalah terhad pada sesuatu tajuk atau bidang yang tertentu sahaja. Misalnya, satu sin soalan yang bertujuan mendapatkan maklumat tentang cara guru membetulkan kesilapan ejaan pelajar dibentuk atau gubah terlebih dahulu agar pengkaji dapat menyoal peserta atau respondan secara sistematik.

Contohnya:

·                     adakah anda membetulkan semua kesilapan ejan pelajar

·                     adakah anda pernah mendenda pelajar yang membuat kesilapan ejaan ?

·                     jika ada, apakah denda yang anda gunakan ?

·                     siapakah pelajar yang selalu didenda ?

 

                  ii. Teknik Temubual Tidak Berstruktur

Temubual tidak berstruktur merupakan aktiviti perbualan dan soaljawab yang mementingkan penerokaan idea atau perasaan lebih daripada mendapatkan fakta-fakta tertentu. Soalan-soalan terbuka (open-ended questions) dikemukakan dan pelbagai jawapan boleh diperolehi dan peserta atau respondan.

Contohnya:

·                     adakah apa-apa yang anda hendak beritahu kepada kami

·                     apakah perasaan anda pada masa itu ?

·                     mengapa anda rasa begitu ?

·                     apakah pandangan atau pendapat anda ?

Kelebihan teknik temubual tidak berstruktur ini adalah is memberi peluang pengkaji meneroka secara mendalam dan memberi kesempatan kepada peserta mengambil masa berfikir, berbual-bual dan membuat interpretasi mengenai perasaan dan ideanya sendiri. Adakalanya, peserta boleh meminta penjelasan dan pengkaji ataupun menyoal pengkaji.

Temubual tidak berstruktur itu lazimnya diadakan dalam situasi yang tidak formal. Pada masa temubual itu, pengkaji boleh juga melakukan pemerhatian tentang tingkahlaku peserta dan memberi komen serta menyoal secara spontan iaitu tidak menggunakan soalan yang telah disediakan terlebih dahulu.

8.4.6    Cara Merekod Temubual

Semasa mengadakan temubual adalah penting pengkaji mengambil tindakan merekod dialog atau perbualan melalui cara-cara tertentu.

Pengkaji boleh menggunakan rakaman audio kalau pita rakaman itu tidak mengganggu aktiviti atau situasi temubual.

Pengkaji boleh juga mengambil masa membuat catatan rengkas kata-kata atau jawapan peserta dan jika perlu transkrip temubual boleh diperolehi kemudian sebagai bahan sokongan kajian temubual yang lebih teliti. Rekod-rekod mengenai tarikh, situasi dan kandungan soalan dan jawapan dalam temubual itu eloklah disimpan dalam diari pengkaji.

Boleh berlaku samada secara individu iaitu pemerhati dengan pelajar atau pun guru atau secara berkumpulan iaitu terdiri daripada 3 atau 4 orang untuk memudahkan sesi temubual. Sebaiknya rakaman perbualan dilakukan atau pun boleh hanya dicatat pada kertas.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan