Isnin, 2 Januari 2017

TAJUK 10 : PENYELIDIKAN TINDAKAN: PERTIMBANGAN SEMASA MENGUMPUL DATA


10.2     Populasi dan Persampelan

Gay dan Airasian (2003) mendefinisikan populasi sebagai: "Populasi adalah kumpulan sasaran pengkaji, iaitu kumpulan kepada siapa hasil kajian akan digeneralisasikan". Manakala sampel kajian pula ialah responden-responden kajian yang dipilih untuk mewakili sesuatu populasi. Penetapan populasi kajian adalah penting dalam kajian disebabkan populasi akan menentukan bagaimana dan berapa ramai sampel yang akan kita pilih serta perbelanjaan kajian.

Contohnya: Kita ingin memilih sampel daripada murid-murid tahun 1 di sebuah sekolah. Anda sebagai seorang guru, pertama sekali perlu menentukan populasi kajian, iaitu murid-murid Tahun 1. Selepas itu, anda perlu menentukan saiz sampel, misalnya, daripada 200 orang murid Tahun 1, anda memerlukan 30% daripadanya, iaitu 60 orang murid. Bagi Iangkah ketiga, anda perlu memilih 60 orang murid daripada 200 orang secara rawak. Anda boleh menggunakan salah satu daripada empat (4) kaedah yang dinyatakan sebelum ini. Kaedah-kaedah tersebut dihuraikan dalam bahagian berikut.

 


Rajah 2 : Jenis Pemilihan Sampel.

a. Rawak Mudah

Persampelan rawak mudah (PRM) adalah satu proses pemilihan sampel di mana semua individu dalam populasi tertentu mempunyai peluang yang sama untuk dipilih sebagai sampel. Persampelan rawak mudah merupakan kaedah terbaik untuk mendapatkan sampel yang mewakili populasi.  Dari segi tekniknya, ia perlu mengikuti beberapa Iangkah tertentu, seperti berikut:

    1. Kenalpasti populasi dan berikan definisinya (misalnya, murid-murid Tahun 1).
    2. Tentukan bilangan ahli populasi dan senaraikan nama mereka (misalnya, 250 orang).
    3. Berikan nombor (secara berturutan) kepada setiap ahli populasi (misalnya, 000 hingga 249).
    4. Tentukan saiz sampel (misalnya, 50 orang, iaitu 20% daripada populasi).
    5. Ambil nombor daripada jadual nombor rawak (JNR) dan pilih ahli populasi yang bernombor sama dengan nombor daripada JNR ini sebagai sampel kajian, dan ulang cara ini sehingga mendapat 50 orang sampel.
  1. Rawak Berstrata

Persampelan rawak berstrata (PRS) adalah satu proses pemilihan sampel di mana populasi kajian dibahagikan kepada beberapa strata/kumpulan kecil [misalnya, murid lelaki pandai (MLP), murid lelaki Iemah (MLL), murid perempuan pandai (MPP), perempuan Iemah (MPL)] dan semua individu dalam setiap strata mempunyai peluang yang sama untuk dipilih sebagai sampel. Kelebihan PRS berbanding PRM ialah penggunaan PRM Iebih meyakinkan kita untuk mendapat perwakilan daripada setiap strata populasi mengikut peratusan bilangan ahli-ahli dalam strata tersebut. Dari segi tekniknya, ia perlu mengikuti beberapa Iangkah tertentu, seperti berikut:

(i) & (ii) sama seperti teknik PRM.

(iii) Bahagikan populasi kepada strata tertentu (misalnya, MLP, MLL, MPP, MPL).

(iv) Tentukan bilangan ahli populasi dalam setiap strata (misalnya, MLP 50 orang, MLL 70 orang, MPP 100 orang, MPL 30 orang).

(v) Berikan nombor (secara berturutan) kepada setiap ahli populasi dalam setiap strata (misalnya, MLP 00-49, MLL 00-69, MPP 00-99, MPL 00-29).

(vi) Tentukan saiz sampel bagi setiap strata (misalnya, 10 orang MLP, 14 orang MLL, 20 orang MPP, 6 orang MPL, iaitu 20% daripada populasi dalam setiap starata).

(vii) Ambil nombor daripada jadual nombor rawak (JNR) dan pilih ahli populasi daripada setiap strata sehingga mendapat saiz sampel yang dikehendaki.

  1. Persampelan Sistematik

Persampelan sistematik (PS) adalah satu proses persampelan, di mana setiap ahli populasi diberi nombor berturutan, dan sampel dipilih dengan mengambil ahli populasi yang bernombor dengan selang tertentu; misalnya nombor 5, 10, 15, 20, sehingga saiz sampel yang dikehendaki diperoleh. Kelebihan PS berbanding PRM dan PRS ialah PS Iebih mudah dilaksanakan, bagaimanapun kaedah ini tidak memberi peluang yang sama kepada setiap ahli populasi untuk dipilih. Dari segi tekniknya, ia perlu mengikuti beberapa Iangkah tertentu, seperti berikut:

(i), (ii), (iii) & (iv) sama seperti teknik PRM.

(v) Untuk mendapatkan selang nombor, kita bahagikan saiz populasi dengan saiz sampel (misalnya, 250/50 = 5).

(vi) Untuk mendapatkan sampel, kita boleh memilih ahli-ahli nombor 4, 9, 14, 19, ..., 249; yang akhirnya kita akan dapat 50 orang murid sampel.

 

  1. Persampelan Kelompok

Persampelan kelompok (PK) adalah satu proses persampelan, di mana ahli-ahli populasi berada dalam kumpulan-kumpulan tertentu, dan pemilihan sampel dibuat dengan; pertama memilih beberapa kumpulan secara rawak dan kedua, mengambil semua ahli daripada kumpulan-kumpulan ini sebagai sampel kajian. Kelebihan PK berbanding PRM, PRS dan PS ialah ia Iebih mudah dilaksanakan, bagaimanapun kaedah ini tidak memberi peluang yang sama kepada setiap ahli populasi untuk dipilih. Dari segi tekniknya, ia perlu mengikuti beberapa langkah tertentu, seperti berikut:

(i) Sama seperti PRM.

(ii) Tentukan bilangan ahli populasi dan ahli sampelnya (misalnya, 250 orang populasi, 50 orang sampel).

(iii) Tentukan bilangan kumpulan populasi ini dan berikan nombor kepada setiap satunya (misalnya, 10 kelas yang setiap satunya mengandungi 25 orang murid).

(iv) Tentukan bilangan kumpulan populasi yang perlu dipilih sebagai sampel dan pilih kumpulan-kumpulan ini dengan menggunakan nombor rawak (misalnya, kita perlukan dua kumpulan untuk mendapat 50 orang sampel).

(v) Ambil semua ahli daripada setiap kumpulan yang dipilih untuk dijadikan sampel kajian.

10.3  Kebolehpercayaan

  Isu-isu yang berhubung dengan kepercayaan kajian ialah dari segi:

(1) Alat yang digunakan dalam kajian;

(2) Proses mengutip data; dan

(3) Kaedah analisis data.

  Rumus yang dipakai adalah:  kebolehpercayaan dan kesahan, keduanya berorientasikan proses.

  Terdapat tiga (3) jenis kebolehpercayaan; iaitu kestabilan (stability), kesetaraan (equivalence) dan ketekalan dalaman (internal consistency), seperti yang ditunjukkan dalam Rajah ini.


Rajah 3 : Jenis Kebolehpercayaan.

 

 

  1. Kestabilan

Kebolehpercayaan kestabilan ialah ukuran ketekalan (consistency) mengikut peredaran masa bagi sampel yang sama. Ini bermakna alat/ujian yang boleh dipercayai akan memberikan skor yang sama dari masa ke masa bagi responden yang sama. Indeks kebolehpercayaan kestabilan ialah korelasi antara skor ujian kali pertama dengan skor ujian kali kedua.

Nilai kebolehpercayaan boleh membantu kita menentukan sejauh mana berasa yakin membuat ramalan markah yang akan diperoleh oleh pelajar pada satu masa yang akan datang. Nilai r bergantung juga pada jarak masa ujian itu diberikan

  1. Kesetaraan

Kebolehpercayaan kesetaraan ialah ukuran kesetaraan antara skor bagi dua (2) ujian yang setara, iaitu ujian yang berbeza, tetapi mengukur kandungan yang sama.

Ini bermakna ujian yang boleh dipercayai akan memberikan skor yang sama sekiranya responden yang sama mengambil dua (2) ujian yang berbeza tetapi setara. Indeks kebolehpercayaan kesetaraan ialah korelasi antara skor ujian pertama dengan skor ujian kedua.

  1. Ketekalan Dalaman

Kebolehpercayaan ketekalan dalaman ialah ukuran ketekalan antara skor separuh daripada ujian dengan skor separuh lagi ujian bagi ujian yang sama.

Ini bermakna ujian yang boleh dipercayai akan memberikan skor yang sama bagi responden yang sama, sekiranya ujian tersebut dibahagikan kepada dua (2) bahagian.

Indeks kebolehpercayaan ketekalan dalaman ialah korelasi antara skor ujian bahagian pertama dengan skor ujian bahagian kedua.

10.4  Kesahan

Terdapat 4 jenis kesahan iaitu:

  Kesahan kandungan (content validity),

Kesahan kandungan ialah ukuran sejauh/setepat mana sesuatu ujian dapat mengukur kandungan bidang yang hendak diukur. Kesahan kandungan sesuatu ujian adalah penting dalam kajian disebabkan, sekiranya kesahan kandungan rendah maka markah ujian yang diperoleh tidak menunjukkan keupayaan sebenar responden bagi kandungan yang diukur. Kesahan kandungan boleh ditingkatkan dengan membandingkan item-item ujian dengan objektif dan kandungan bidang.

 

  Kesahan hubungan kriteria (criterion-related validity),

Kesahan hubungan kriteria terdiri daripada dua (2) bentuk, iaitu kesahan serentak (concurrent validity) dan kesahan ramalan (predictive validity). Kesahan serentak ialah sejauh mana sesuatu alat ukur itu berupaya menghasilkan skor yang mempunyai hubungan dengan skor yang dihasilkan oleh alat lain yang diambil serentak. Contohnya, satu ujian dibina untuk mengukur perkara yang sama, dikatakan lebih mudah dan lebih cepat digunakan berbanding dengan ujian sedia. Kesahan serentak boleh dikira dengan mencari korelasi antara dua skor ujian-ujian ini.

 

Kesahan ramalan pula ialah sejauh mana sesuatu alat ukur itu berupaya menghasilkan skor yang mempunyai hubungan dengan skor yang dihasilkan oleh alat lain yang diambil kemudian. Contohnya, satu ujian dibina untuk mengukur pencapaian Matematik, dikatakan dapat meramal keputusan SPM Matematik. kesahan ramalan boleh dikira dengan mencari korelasi antara skor ujian dan gred M.

 

  Kesahan konstruk (construct validity)

Kesahan konstruk ialah ukuran sejauh/setepat mana sesuatu ujian dapat mengukur sesuatu konstruk/gagasan berasaskan teori psikologi tertentu. Contohnya, alat yang dibina untuk mengukur konstruk "rajin" sepatutnya dapat mengukur konstruk ini dengan baik. Kesahan konstruk boleh ditingkatkan dengan memahami maksud konstruk tertentu (misalnya, maksud "rajin") dan mengetahui ciri-ciri orang yang mempunyai konstruk ini (misalnya, ciri-ciri orang yang "rajin").

 

  Kesahan muka (face validity).

Kesahan muka bukanlah kesahan seperti yang dijelaskan, tetapi lebih kepada suatu alat/ujian "nampak pada permukaannya" dapat mengukur apa yang hendak diukur. Contohnya, bagi alat yang mengukur konstruk "rajin", kita sepatutnya nampak item-itemnya berkait dengan ciri-ciri orang yang "rajin". Kesahan muka akan memberi keyakinan kepada responden terhadap item-item yang hendak dijawab, bagaimanapun, kesahan muka mempunyai kelemahan tertentu, disebabkan responden boleh meneka jawapan yang "positif" kepada konstruk yang hendak diukur.

 

10.5   Etika

Menurut Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin penyelidik perlu diberi perhatian 3 perkara berkaitan etika penyelidikan :

1)    Hubungan antara masyarakat dan sains.

  1. Perlukah penyelidik membuat penyelidikan yang dianggap penting untuk masyarakat (sekolah) pada sesuatu masa yang ditetapkan?
  2. Perlukah pihak kerajaan atau pentadbir sekolah memberi pembiayaan untuk membolehkan penyelidikan dibuat ?
  3. Perlukah penyelidik menafikan perhatian masyarakat?

2)    Isu-isu professional

  1. Isu etika yang dimaksudkan ialah aktiviti penipuan seperti mengubah hasil dapatan.
  2. Penerbitan berulang, iaitu menerbitkan data dan dapatan kajian lebih daripada satu jurnal atau tempat , perlu dihindarkan.
  3. Penerbitan sebahagian iaitu penerbitan beberapa artikel daripada data yang diperolehi dalam satu penyelidikan.

3)    Layanan kepada peserta penyelidikan.

  1. Peserta penyelidikan tidak seharusnya diancam secara fizikal atau psikologi semasa menjalankan kajian.
  2. Peserta perlu dilayan dengan baik serta dimaklumkan tentang penyelidikan yang hendak dijalankan.

10.6   Bias

Bias berlaku apabila kelalaian individu yang mengendalikan penyelidikan tindakan dengan secara tidak sedar di dalam kumpulan kawalan telah mempengaruhi dapatan kajian. Bias ini boleh diatasi apabila pelaksana penyelidikan tindakan tidak menyedari kumpulan peserta sama ada kawalan atau kajian tindakan.

10.7  Kesimpulan

Kesimpulannya semasa membuat pertimbangan dalam pengumpulan data, lima aspek yang perlu diberi penekanan iaitu ; persampelan, kebolehpercayaan, kesahan, etika dan bias.

 

Latihan

Berikan contoh bias yang berlaku semasa mengumpul data dalam penyelidikan tindakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan