Isnin, 2 Januari 2017

TAJUK 14 : PENULISAN LAPORAN PENYELIDIKAN TINDAKAN



14.2 Pengenalan Penulisan Laporan Penyelidikan Tindakan

        

Penulisan laporan penyelidikan tindakan mengambil kira beberapa aspek dan bahagian yang penting untuk memastikan hasil laporan mengikut standard yang telah diiktiraf oleh semua. Penulisan tersebut perlu merangkumi perkara-perkara yang dinyatakan dalam kerangka konsep di atas. Huraian penulisan dijelaskan secara ringkas dibawah ini.

        

14.2.1  Konteks/Latar Belakang Kajian

 

Dalam kajian tindakan, penyelidik hendaklah menjelaskan konteks atau latar belakang kajian sama ada kajian dibuat dalam konteks bilik darjah, sekolah, amalan pedagogi atau dalam konteks-konteks lain yang lebih luas.

 

 

14.2.2  Tinjauan Literatur

 

Tinjauan literatur menggunakan sumber-sumber yang boleh didapati seperti perpustakaan, teks, jurnal, laporan tesis dan penyelidikan, akhbar dan lain-lain lagi. Penulisan tinjauan literature hendaklah mengikut gaya dan format American Psychology Association (APA) atau format tertentu yang telah ditetapkan.

 

11.4.3   Fokus/Aspek Amalan bagi Penambahbaikan

 

Fokus kajian hendaklah ditulis dengan jelas berdasarkan tumpuan masalah. Dalam menulis focus kajian, sampel dan pemilihan sampel perlu dinyatakan. Contohnya:

 

Kajian ini berfokus kepada murid yang amat lemah dalam bacaan tulisan jawi walaupun perkataan suku kata terbuka-terbuka.

                                                   

14.2.4 Pelan Tindakan

 

Penyelidik hendaklah menjelaskan tentang proses penyelidikan yang telah dijalankan. Proses ini melibatkan strategi yang dilaksanakan mengikut masalah yang dikaji. Contohnya menjelaskan cara pelaksanaan kajian terhadap murid yang tidak dapat membezakan alif lam qamariah dan alif lam syamsiah dalam bacaan al-Quran.

 

14.2.5  Pelaksanaan Pelan Tindakan

 

Penyelidik perlu menjelaskan kesemua langkah-langkah tindakan yang telah diambil berkaitan persoalan yang dikaji, termasuk langkah-langkah awal seperti refleksi awal dan mendapatkan tinjauan literatur mengikut tarikh-tarikh pelaksanaannya. Masukkan juga langkah-langkah pelaksanaan tentang tindakan semasa seperti pentadbiran instrumen kajian, pengumpulan dan analisis data, menjalankan tinjauan serta tindakan rawatan atau campurtangan yang dilakukan ke atas sampel untuk melaksanakan tindakan. Jelaskan kaedah dan jenis data yang dikumpulkan (Akhiar dan Shamsina, 2012).

 

 

 

14.2.6   Pengumpulan Data

 

Penyelidik perlu menjelaskan secara terperinci strategi dan teknik yang digunakan untuk mengumpul data. Contohnya, pemerhatian, temu bual, senarai semak, soal selidik atau eksperimen. Kesesuaian strategi dan teknik bergantung kepada tujuan, situasi dan kemahiran penyelidik. Sebaiknya tiga teknik pengumpulan data digunakan untuk tujuan triangulasi (Akhiar dan Shamsina, 2012).

 

14.2.7  Analisis dan Huraian Data

 

Dalam bahagian ini, bentangkan tentang penemuan baru yang utama dan diikuti dengan penemuan-penemuan yang lain. Jelaskan sama ada hipotesis telah dipenuhi atau dapatan tidak menyokong hipotesis. Nyatakan bagaimana data yang diperolehi akan dianalisis dan dibuat interpretasi. Adakah perisian SPSS atau Nvivo digunakan? Penganalisisan data bergantung kepada penyelidikan sama ada kualitatif atau kuantitatif. Semua perkara yang dinyatakan tersebut perlu dijelaskan secara terperinci (Akhiar dan Shamsina, 2012).

 

14.2.8  Refleksi dan Implikasi

 

Di dalam ruangan ini, nyatakan secara terperinci bagaimana refleksi dibuat untuk memperbaiki amalan sendiri atau untuk meningkatkan profesionalisme. Nyatakan juga langkah-langkah seterusnya yang akan diambil sekiranya lanjutan kajian perlu dibuat atau sesuatu perubahan perlu dilakukan (Akhiar dan Shamsina, 2012).

 

14.2.9  Pelan bagi Tindakan Susulan

 

Penyelidik perlu menyatakan dengan jelas pelan tindakan susulan yang boleh dilaksanakan oleh diri sendiri atau penyelidik-penyelidik lain. Pelan bagi tindakan susulan adalah berdasarkan dapatan yang diperolehi atau perkara-perkara yang masih perlu dibuat penambahbaikan atau yang masih belum dikaji tetapi mempunyai hubungkait dengan kajian semasa.

 

 

 

 

14.2.10 Sumber Rujukan: American Psychological Association (APA)

 

Setiap rujukan yang digunakan hendaklah ditulis mengikut format APA. Sesetengah kajian menggunakan format rujukan tertentu yang telah ditetapkan.

 

14.2.11 Rumusan

Secara keseluruhannya terdapat 10 bahagian yang perlu diberi perhatian untuk menjamin kualiti laporan kajian. Para pelajar perlu mendedahkan diri dengan melaksanakan kajian dan membuat penulisan mengikut standard yang telah ditetapkan.

                                                                                         

Aktiviti 11 – Perbincangan

·   Nyatakan strategi yang boleh digunakan dalam pengumpulan data kajian tindakan.

·   Dapatkan beberapa naskah buku dan tuliskan kandungan yang dirujuk yang menunjukkan cara anda mencatat sumber rujukan.

·   Secara individu, anda dikehendaki menghantar fail dalam bentuk slaid kepada pensyarah anda tentang elemen-elemen yang perlu ada dalam penulisan kajian tindakan.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan