Isnin, 2 Januari 2017

TAJUK 13 : MENGHURAI DATA PENYELIDIKAN TINDAKAN



13.1 Mengintegrasi pelbagai sumber data

 

Sumber data yang diperoleh daripada pengalaman sebenar semasa pemerhatian, temu bual dan juga analisis dokumen yang dihasilkan murid perlu diintegrasikan supaya kesemua data boleh diterjemahkan menjadi dapatan yang bermakna. Perkara yang dititikberatkan melalui kajian tindakan ialah perkongsian maklumat dan pengalaman penyelidik yang terlibat untuk menambahbaik serta meningkatkan program. Amalan refleksi menjadi asas kepada dapatan dan laporan kajian tindakan. Oleh itu, semasa mengintegrasi data melalui pengalaman serta perasaan penyelidik, penjelasan yang tepat dan terperinci mengikut pandangan personal penyelidik diperlukan. Di samping itu, penyelidik juga perlu mengemukakan sebab-sebab penyelidik berpandangan demikian. Seterusnya, penyelidik perlu membuat penambahbaikan untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) atau program yang dijalankan.

 

13.2 Menghubungkaitkan Data dengan Literatur

 

Maklumat merupakan hasil daripada pemprosesan data. Ini bermakna, data hanya akan menjadi maklumat yang boleh digunakan untuk membuat keputusan setelah data-data tersebut diproses. Data tersebut akan menjadi lebih bermakna sekiranya disokong oleh dapatan kajian  melalui bacaan literatur daripada penyelidik lain. Kadang kala dapatan penyelidik bercanggah dengan dapatan literatur kajian penyelidik lain. Hal ini menyebabkan dapatan kajian tidak selari dengan pembacaan kajian lepas. Oleh itu, justifikasi kepada data penyelidikan yang baharu perlu diperkukuhkan kerana mungkin perkara ini terjadi disebabkan oleh beberapa faktor seperti setting responden yang berbeza. Sokongan asas teori ke atas dapatan kajian sangat diperlukan.

 

 

 

 

13.3 Membuat rumusan data.

 

  13.3.1 Menyusun data.

 

Sekiranya data diperoleh adalah sedikit, penyusunan data boleh dibuat secara manual tetapi sekiranya jumlahnya besar maka penggunaan perisian komputer diperlukan untuk menyusun dan membuat analisis data. Bagi data bukan numerical, pengekodan dan pengkategorian perlu dibuat untuk memudahkan urusan. Data yang banyak adalah baik tetapi kadangkala boleh menyukarkan kefahaman sekiranya dibentangkan dalam satu kelompok data yang besar. Oleh itu, rumusan data perlu dibuat setelah laporan dan pembentangan dilaksanakan bagi mengelakkan kesukaran untuk memahami data yang dipersembahkan. Kebaikan membuat rumusan bukan sekadar mengurangkan jumlah data yang perlu difahami tetapi meningkatkan keupayaan mambuat intepretasi data.

 

 

  13.3.2 Merumus data.

 

Sebelum membuat rumusan, data perlu dibersihkan dengan membuat pembetulan bagi data kualitatif yang tidak jelas atau tidak tepat yang mungkin mengganggu proses membuat keputusan. Contohnya, terdapat responden lelaki yang menjawab soalan yang hanya ditujukan kepada responden perempuan sahaja atau terdapat dua jawapan bagi soalan berkategori jawapan atau jawapan di luar kategori (murid membuat jawapan sendiri kerana tidak suka kepada pilihan yang disediakan atau jawapan “Lain-lain” sedangkan semasa menyatakannya didapati jawapan tersebut termasuk ke dalam salah satu kategori yang disediakan.

 

Seterusnya dibuat senarai yang tepat dan dibuat perbandingan sebelum memasukkan data ke dalam carta. Penjadualan dan pelbagai bentuk graf persembahan (garis,palang atau pai) boleh digunakan untuk mendapatkan gambaran keseluruhan dengan lebih jelas. Graf perlu dilengkapkan dengan data peratusan untuk menjadikannya lebih bermakna.

Data dalam jadual atau dalam bentuk graf adalah mudah difahami tetapi tidak menjelaskan keseluruhan cerita. Oleh itu, rumusan dara juga melibatkan interpretasi naratif dibuat mengenai data yang dapat dilihat.

 
Rumusan

 

Dalam bab ini kita telah mempelajari bagaimana menghurai semua data yang telah dikumpul dalam sesuatu kajian. Selain itu, kita juga telah mempelajari tentang bagaimana mengintegrasi data dengan pengalaman personal, dan menghubungkaitkan data dengan literature, serta bagaimana membuat rumusan data.

Latihan
1. Nyatakan kepentingan pengintegrasian data kepada kajian tindakan.
 
2. Buat satu jadual yang menunjukkan hubungan antara dapatan kajian dan literatur. Hantar kepada pensyarah anda melalui OLL atau email.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan