Sabtu, 11 Februari 2012

MEMAHAMI DAN MENGENAL PASTI DINAMIK KELUARGA

Apakah yang dimaksudkan dengan dinamik keluarga?
Dinamik keluarga bermaksud keadaan keluarga yang boleh berubah-ubah dari segi tanggapan, penerimaan, layanan dan secara umumnya hubungan kekeluargaan di antara seorang kanak-kanak berkeperluan khas dengan ahli keluarga yang lain.
Keluarga adalah sebuah institusi asas yang paling penting dalam kehidupan kita, malah merupakan satu faktor penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat. Keluarga membentuk sahsiah, kepercayaan dan jati diri seseorang insan. Penerimaan dan layanan keluarga terhadapnya boleh mempengaruhi gaya hidup, penampilan dan kepercayaan kendirinya. Perkara ini amat penting kepada seorang kanak-kanak, terlebih lagi kepada seorang kanak-kanak berkeperluan khas. Pada zahirnya seorang kanak-kanak khas mempunyai tanggapan berbeza terhadap dirinya berbanding kanak-kanak biasa yang lain, dan tanggapan ini lazimnya menjurus ke arah yang negatif. Keluarga berperanan untuk mengatasi dan mengikis tanggapan negatif ini dan menyemai tanggapan-tanggapan yang positif di dalam dirinya.
Menjadi ibu bapa kepada kanak-kanak khas bukan menjadi pilihan kepada sesiapa, tetapi adalah ditakdirkan. Seacara amnya, tidak ada sesiapapun memilih untuk menjadi ibu bapa kepada yang berkeperluan khas, dan tidak ada sesiapapun yang pernah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu sehingga ia terjadi. Di sini timbulnya masalah penerimaan keluarga terhadap kanak-kanak itu dalam bentuk penolakan atau peminggiran langsung terhadapnya, penafian kendiri dan saling sering menyalahi di antara satu sama lain di pihak pasangan ibu bapa kanak-kanak itu. Di dalam kebanyakan kes, kanak-kanak yang tidak berdosa itu menjadi mangsa keadaannya.
Di dalam keluarga yang besar dengan terdapatnya adik-beradik lain yang normal; kanak-kanak berkeperluan khas ini mempunyai satu dimensi lain yang perlu dihadapi berbanding kanak-kanak khas di dalam keluarga beranak tunggal. Adik-beradik lain itu boleh menjadi sumber inspirasi atau kekuatan kepada dirinya, atau menjadi sumber kepada masalahnya! Oleh itu, penerimaan dan empati golongan ini, selepas penerimaan dan limpahan kasih sayang ibu bapa, amat penting kepada kanak-kanak itu. Dengan sokongan padu daripada semua ahli keluarganya, seorang kanak-kanak khas boleh melangkah dengan penuh semangat dan keyakinan ke dalam dunia luar dari lingkungan serta pengaruh keluarga terdekatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan