BERJAYA...walaupun tergolong sebagai atlet kurang upaya intelektual, mereka mampu membuktikan kejayaan dalam bidang sukan.
ZAIM...menang pingat perak dan gangsa di Athens.
JIKA dilihat daripada segi fizikal, tiada apa yang kurang kerana mereka sama seperti remaja lain. Malah lebih berjaya apabila mampu mewakili negara dalam kejohanan Sukan Olimpik Istimewa Dunia bersempena musim panas di Athens, Greece, pada tahun lalu apabila berjaya membawa pulang enam pingat emas, enam perak dan 11 gangsa dalam acara kayak, boling, lompat jauh dan bocce.
Kejayaan ini tentunya membuktikan golongan yang mempunyai kekurangan intelek mampu mencipta kejayaan tersendiri sekiranya mempunyai semangat serta melakukannya bersungguh-sungguh.
Menurut definisi Persatuan Pembangunan Kurang Upaya Intelek Amerika (AAIDD), seorang individu dianggap mengalami kurang upaya intelektual berdasarkan kepada tiga kriteria iaitu mempunyai tahap fungsi intelektual (IQ) di bawah 70-75, terdapat kekangan yang wujud di dalam dua atau lebih kemahiran adaptif serta dikesan sebelum usia 18 tahun.
Kemahiran adaptif merujuk kepada 10 kemahiran seperti komunikasi, penjagaan diri, kehidupan di rumah, kemahiran sosial, riadah, kesihatan dan keselamatan, matlamat diri, fungsi akademik, kemasyarakatan dan pekerjaan, manakala kanak-kanak yang mengalami kekurangan dalam kemahiran ini tergolong di dalam kanak-kanak kurang upaya intelek.
Kemahiran adaptif merujuk kepada 10 kemahiran seperti komunikasi, penjagaan diri, kehidupan di rumah, kemahiran sosial, riadah, kesihatan dan keselamatan, matlamat diri, fungsi akademik, kemasyarakatan dan pekerjaan, manakala kanak-kanak yang mengalami kekurangan dalam kemahiran ini tergolong di dalam kanak-kanak kurang upaya intelek.
Salah seorang atlit yang mewakili negara dalam sukan boling di Sukan Olimpik Istimewa di Athens pada tahun lalu, Zaim Abu Hirzan Zaidan, 16, yang mengalami masalah autisme ringan sejak dilahirkan berjaya membuktikan dia mampu mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat perak dan gangsa dalam sukan itu.
Ketika ditemui, Zaim nampak pendiam dan hanya memberikan jawapan ringkas ketika ditemu ramah. Nyata dia kurang berkeyakinan namun mula ramah bercerita setelah lama berbual. Mula bermain boling ketika berusia 14 tahun iaitu mengikut keluarga ke pusat boling, akhirnya bakatnya diketengahkan guru pendidikan khas yang juga jurulatih boling, Mohd Shukry Hussain.
Pelajar tingkatan empat SMK Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur ini menjalani latihan
di pusat boling Sri Petaling sekali seminggu selama lima hingga enam jam sehari.
“Saya memang peminat boling, tambah pula nenek yang berusia 64 tahun juga peminat sama dan sering memberikan nasihat dan panduan bagaimana menjadi pemain yang baik. Mula-mula membuat balingan memang ke longkang tetapi lama-kelamaan apabila sudah mendapat teknik terbaik barulah ia konsisten.
“Jurulatih banyak mengajar saya supaya menumpukan sepenuh perhatian ketika membuat balingan. Ini kerana apabila kita fokus barulah dapat mengumpul mata yang banyak,” katanya.
Selain bermain boling, anak sulung dua beradik ini juga gemar meluangkan masa dengan melukis. Walaupun agak lemah dalam pelajaran, dia menunjukkan prestasi yang baik di kelas. Katanya, selepas habis sekolah, dia membuat kerja sekolah kemudian menjalani latihan sukan manakala pada waktu malam baru mengulang kaji pelajaran dibantu ibu.
Jurulatih atlet Sukan Olimpik Istimewa sejak 2007, Mohd Shukry Hussain mengakui latihan kepada atlet istimewa harus dilakukan lebih kerap. Ini berbeza dengan atlit paralimpik yang dengan jelas mengalami kekurangan anggota. Mereka yang tergolong dalam kategori lemah intelektual ini sukar dibaca pemikiran mereka.
“Ini kerana mereka agak lambat dalam menerima arahan dan perlu dilakukan berulang-kali. Ada pula yang terlalu hiperaktif namun anak-anak ini mempu�nyai semangat yang tinggi serta mempunyai daya juang untuk memenangi perlawanan,” katanya yang berpengalaman selama 22 tahun dalam bidang pendidikan khas Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurut Presiden Olimpik Istimewa Malaysia (SOM), Datuk Muhammad Feisol Hassan, Zaim adalah contoh kanak-kanak istimewa yang mengalami masalah pembelajaran namun mampu membuktikan kekurangan bukan alasan untuk berjaya.
Seharusnya lebih ramai ibu bapa tampil memberikan sokongan dengan menghantar anak-anak istimewa ke sekolah dan mencungkil bakat dalam bidang sukan. Ini kerana sukan adalah aktiviti terbaik yang patut diceburi golongan ini kerana mempunyai banyak kebaikan. Selain menambah kecergasan fizikal dan kemahiran motor, sukan membina imej positif sama ada pada diri dan persekitaran serta meningkatkan keyakinan diri dan sokongan keluarga.
“Keluarga yang mempunyai anak bergiat dalam sukan menjadi lebih kuat kerana mereka belajar untuk lebih memahami bakat dalam diri anak-anak manakala rakan-rakan sekeliling akan lebih menghormati dan menjalin hubungan yang baik dalam keluarga,” katanya.
Menerusi sukan, persaingan antara mereka menjadi medan terbaik bagi menguji kemahiran atlet, mengukur kemajuan mereka dan mendorong untuk perkembangan fizikal dan mental menjadi lebih baik. Latihan sukan serta persaingan membantu golongan kurang upaya intelektual ini menjadi lebih sihat malah berani menghadapi cabaran melangkaui sempadan bangsa, politik, umur dan agama.
“Sebagai contoh, ketika Sukan Olimpik Istimewa di Athens pada tahun lalu, pelari dari Nigeria yang membuat larian 400 meter menunggu sehingga semua rakan yang lain sampai ke garisan penamat lalu berlari bersama-sama. Ini menunjukkan betapa istimewa dan jujurnya hati golongan istimewa ini kerana mereka tiada sifat ingin menang sebaliknya menunjukkan rasa hormat, persahabatan dan tidak mementingkan diri sendiri,” kata Feisol.
Apa yang penting, ibu bapa tidak harus menyimpan anak-anak yang mengalami kekurangan intelektual ini di rumah kerana malu berhadapan masyarakat.
Sebaliknya mereka harus sedar, memiliki anak-anak ini adalah anugerah Allah dan berusaha memberikan yang terbaik kepada mereka.
Bagi Naib Presiden SOM, Datuk Peter Velappan, walaupun anak-anak ini istimewa, mereka mempunyai hak untuk mendapat persekitaran yang baik, berkawan dan menyumbang kepada negara. Ibu bapa tidak harus bersedih sebaliknya menunjukkan laluan berbeza dengan memberikan pendidikan dan kemahiran berguna kepada mereka.
Ini boleh dilakukan ketika anak-anak masih kecil dengan mengajar mereka berjalan, berlari dan melompat. Pada usia tujuh hingga sembilan tahun biarkan mereka bermain dengan kanak-kanak normal supaya mereka tidak rasa terasing.
“Dalam hal ini, ibu bapa harus memberikan sokongan moral kepada anak-anak supaya mereka membesar menjadi insan berguna bukan saja kepada keluarga tetapi negara. Sekurang-kurangnya mereka mampu berdikari, bekerja dan menggembirakan hati ibu bapa,” katanya.
Ibu bapa tidak perlu bim�bang kerana kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk anak-anak kurang upaya intelek�tual seperti sekolah pendidikan khas serta kemudahan sukan. Apa yang penting peranan ibu bapa serta masyarakat agar memberikan sokongan untuk melihat lebih banyak kejayaan pada masa depan.
Bagi kanak-kanak kurang upaya intelektual, Sukan Olimpik Istimewa adalah tempat golongan ini diterima dalam masyarakat. Malah, ada antara mereka yang menunggu seumur hidup untuk menceburi bidang sukan seterusnya mewakili negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan