Khamis, 17 September 2015

Pengurusan Dan Pentadbiran Pendidikan Khas


Dalam sesebuah organisasi termasuk organisasi pendidikan, pentadbiran atau pengurusan adalah tersangat  penting. Tanpa pengurusan yang cekap, proses pengeluaran tidak dapat berjalan dengan baik dan juga tidak dapat menyempurnakan kehidupan manusia. Proses pentadbiran berlaku sama ada di dalam sesebuah organisasi yang besar mahupun kecil serta organisasi formal dan juga yang tidak formal. Untuk mengurus sesuatu organisasi, seseorang

pentadbir atau pemimpin seharusnya memahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan pentadbiran.

 

Griffiths (1959), dalam buku bertajuk Administration Theory, menyatakan pentadbiran adalah satu corak tingkahlaku yang didapati dalam semua organisasi manusia. Ia adalah proses yang mengatur dan mengawal sesuatu organisasi sosial itu. Drucker (1945) dalam bukunya The Practice of Management menjelaskan pentadbiran itu ialah sumber asas dan sumber yang paling berharga. Stoner (1984) dalam buku Management mengatakan pengurusan ialah satu proses merancang, mengelola, memimpin, mengawal daya usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan sumber-sumber lain untuk mencapai matlamat yang ditentukan. Campbell (1983) menjelaskan proses pentadbiran sebagai satu cara anggota-anggota sebuah organisasi membuat keputusan dan mengambil tindakan untuk mencapai matlamat.

 

Dalam sesebuah organisasi sosial termasuk organisasi pendidikan, pengurusan dan pentadbiran perlu diketuai oleh seseorang individu yang dikenali sebagai pengurus atau pentadbir. Pengurus atau pentadbir boleh di sifatkan sebagai seorang  yang melaksanakan tugas melalui orang lain. Everard (1986) mendefinisikan pengurus atau pentadbir sebagai orang yang:

 

(i)      Tahu apa yang dikehendaki dan tahu penyebab yang membolehkan ia

          berlaku.
(ii)     Bertanggungjawab mengawal sumber dan memastikan kegunaannya untuk

         kebaikan.
(iii)    Meningkatkan keberkesanan kerja yang sudah dilaksanakan dan mencari

         cara bagi pembaikan secara berterusan.
(iv)    Bertanggungjawab pada prestasi unit yang diuruskan dan ia adalah

         sebahagian daripadanya.
(v)     Mewujudkan suasana yang sesuai yang membolehkan individu

         melaksanakan tugas dengan cemerlang.

 

Dari aspek sosial, institusi yang ditubuhkan oleh masyarkat adalah satu sistem sosial. Contoh institusi itu ialah sekolah. Kesemua institusi atau sistem sosial termasuk sekolah mempunyai matlamat penubuhan dan terdiri daripada komponen-komponen mereka masing-masing. Contohnya sistem sekolah terdiri daripada komponen guru, murid, bangunan, infrastruktur, guru besar, kakitangan sokongan dan lembaga pengurus. Oleh kerana sistem sosial diuruskan oleh manusia yang berinteraksi, yang mempengaruhi dan dipengaruhi, maka adalah satu sistem terbuka yang dilihat pada darjah kebolehan sistem itu melakukan perubahan yang membawa kepada pencapaian matlamat dengan lebih berkesan dan cekap.

 

Bagi sesuatu sistem sosial, tenaga manusia menjadi nadi penggerak komponen-komponen. Tenaga manusia yang dimaksudkan disini ialah pengurus atau pentadbir sistem tersebut. Dengan itu, organisasi sosial yang formal merujuk kepada kaedah dan strategi tenaga manusia menggerakkan sumber-sumber yang diadakan pada komponen-komponen di dalam sistem bagi mencapai matlamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan