Ahad, 28 April 2013

PENTAKSIRAN KEMAHIRAN BAHASA LISAN

Terdapat lima komponen utama yang terlibat dalam pentaksiran kemahiran lisan. Lima komponen utama itu ialah fonologi, semantik, sintaksis , morfologi dan juga pragmatik. Melalui lima pentaksiran aspek ini, masalah dan daerah kelemahan murid-murid dapat dikenal pasti dan seterusnya dapat membantu guru melakukan strategi dan intervensi yang bersesuaian bagi individu berikut.

Bidang fonologi adalah merujuk kepada bunyi-bunyi bahasa yang diucapkan dan peraturan-peraturan bagi menentukan bagaimana bunyi-bunyi itu digunakan. Sebutan dan bunyi yang berlainan akan memberikan makna yang lain. Sebagai contoh, perkataan ”pin” dan ”tin”, perbezaan bunyi utama adalah pada awal perkataan-perkataan tersebut. Kebiasaannya individu yang mengalami masalah pembelajaran ini sukar untuk membunyikan bunyi fonetik dengan betul. Kadangkala mereka seringkali melakukan penggantian, penambahan, pengguguran dan sebagainya. Contohnya perkataan ”bahu” menjadi ”bau” . Hal ini telah pun berlaku pengguguran dan perkara ini seringkali terjadi kepada individu yang menghadapi down sindrom. Walaupun perkataan-perkaaan ini berbeza hanya pada satu bunyi sahaja tetapi perbezaan bunyi ini menghasilkan dua perkataan dan masing-masing mempunyai makna yang berbeza

Morfologi adalah bidang yang mengkaji struktur kata atau bidang yang mengkaji proses pembentukan perkataan daripada unsur makna yang paling asas (morfem). Morfem adalah adalah kesatuan (unit) tatabahasa yang terkecil yang mempunyai erti dalam struktur sesuatu bahasa. Morfem terdiri darpada morfem bebas dan morfem terikat. Morfem terikat adalah merupakan morfem yang tidak berdiri dengan sendiri, contohnya perkataan ”basement”. Kehilangan perkataan pada suku kata terakhir boleh memberi makna yang lain. Morfem tidak terikat pula morfem yang dapat berdiri dengan sendirinya. Sebagai contoh ”base”.

Sintaksis pula merupakan unsur terbesar dalam tatatingkat tatabahasa. Sintaksis boleh terbina daripada unit-unit tatabahasa yang lebih kecil seperti frasa, perkataan, dan morfem. Sebagai contoh ”Ibu pergi ke kedai”. Namun bagi individu yang mengalami masalah dalam penggunaan sintaksis, individu itu hanya mampu menyebut ”ibu kedai”. Hal ini sememangnya telah pun memberi maksud dan makna yang lain.

Bidang semantik pula bidang yang berkaitan dengan makna. Komponen kandungan terdiri daripada semantik (makna) yang merujuk kepada cara perkataan-perkataan digunakan secara bermakna dalam komunikasi. Pada asasnya semantik melibatkan perbendaharaan kata sesuatu bahasa atau leksikon. Fonem-fonem yang bergabung akan membentuk perkataan, dan perkataan digunakan untuk mewakili benda, konsep, pengalaman dan sebagainya. Kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran ini sangat lemah dalam bidang semantik terutama dalam membezakan perkataan yang mempunyai ejaan yang sama tetapi berlainan bunyi. Contohnya perkataan perang (e pepet) dan jupa perang (e taling) . Perang di sini bermaksud berlawan dan menentang musuh manakala perang yang satu lagi adalah sifat warna. Selain itu mereka juga mengalami masalah dalam memahami peribahasa seperti simpulan bahasa dan sebagainya.

Bidang pragmatik pula ialah merupakan bidang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa yang betul dalam kehidupan seharian kita. Kanak-kanak autisme misalnya mengalami kesukaran dalam menggunakan kata ganti diri. Hal ini kerana kata ganti diri pertama seperti ”I” seringkali ditukarkan dengan perkataan ”you”. Penggunaan bahasa yang salah akan memberi maksud yang berlainan. Disebabkan itulah unsur pragmatik juga memainkan peranan penting dalam aspek komponen bahasa.

Dalam pentaksiran lisan, ujian diagnostik dijalankan untuk menyediakan maklumat yang boleh dipercayai dan mempunyai kesahan yang tinggi kepada guru. Selain itu juga, maklumat yang diberikan perlulah sejajar dengan teori perkembangan kognitif. Tujuan pentaksiran lisan juga adalah untuk menyediakan maklumat khusus berkenaan dengan masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar. Melalui pentaksiran lisan jugalah guru akan dapat merancang dan memulakan pengajaran secara lebih efektif berdasarkan data yang diperolehi.

Dalam pentaksiran lisan terdapat dua jenis bahasa yang menjadi aspek utama untuk dinilai dan ditafsirkan. Masalah bahasa yang terdapat dalam kalangan kanak-kanak keperluan khas ini ialah masalah bahasa ekspresif dan juga masalah reseptif.

Bahasa ekspresif merujuk kepada keupayaan pelajar untuk berkomunikasi dan meluahkan idea, perasaan, pemikiran atau pendapat kepada orang lain. Pentaksiran terhadap bahasa pentaksiran ini biasanya melibatkan aspek pengeluaran bunyi yang betul, ucapan , dan bahasa. Perucapan atau pertuturan adalah merupakan pengeluaran untuk menghasilkan bahasa ekpresif.

Bahasa reseptif pula merujuk kepada keupayaan individu untuk menerima dan memahami input bahasa yang diterima daripada persekitaran. Pentaksiran terhadap bahasa reseptif ini misalnya akan melibatkan keupayaan pelajar untuk mendengar perkataan atau frasa dan dapat mempamerkan kefahaman mereka terhadapa isu yang diperkatakan tadi. Sebagai contoh, selepas memperdengarkan beberapa perkataan, murid tersebut akan disoal semula mengenai kefahaman beliau terhadap apa yang dibacakan tadi.

Antara ciri-ciri yang mengalami masalah ekspresif dan reseptif ini ialah, kebiasaannya individu yang mengalami masalah lebih suka untuk berdiam diri daripada sebarang perbincangan dan perbualan. Selain itu, mereka juga seringkali memberi respons yang salah dengan arahan yang diberikan. Murid-murid yang mengalami masalah ini juga akan mengalami kesukaran untuk bertukar giliran berkomunikasi dan bercakap apabila mereka diminta untuk melakukan perbincangan. Kesemua masalah ini dapat dirawat jika diberi rawatan dan intervensi dengan segera. Psikoterapi dapat dijalankan untuk merawat masalah ini terutamanya bagi mereka yang menghidapi masalah dalam emosi dan juga tingkah laku,

Bagi melakukan pentaksiran terhadap individu yang mengalami masalah lisan ini, terdapat beberapa cara dan kaedah. Antaranya guru boleh menyediakan beberapa set soalan dalam memahami perkembangan bahasa mereka. Selain itu guru juga boleh melakukan deskripsi lisan, temuduga, perbincangan, penggunaan videotape dan mengadakan ujian yang standard kepada mereka.

Contoh ujian yang sesuai dijalankan adalah seperti ujian kriteria. Aspek yang dinilai adalah ucapan dan juga bahasa. Komponen yang dinilai adalah seperti bahasa ekspresif dan reseptif, mimik muka atau gesture, pemvokalan yang betul, kepanjangan ayat dan juga ingatan audiotari. Ujian seperti ini biasanya dilakukan pada usia selepas lahir hingga berumur 7 tahun.

Selain daripada ujian juga, guru boleh mengambil kira persekitaran sosial kanak-kanak tersebut. Hal ini dapat membantu guru membuat perkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh murid dan seterusnya merancang strategi bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan