Ahad, 24 Februari 2013

KEMAHIRAN BERFIKIR

Kemahiran Berfikir ...


... melibatkan pengelolaan operasi mental tertentu yang berlaku dalam minda atau sistem kognitif seseorang yang bertujuan menyelesaikan masalah.

(Mayer, 1977)

… merupakan pembentukan idea, pembentukan semula pengalaman dan penyusunan maklumat dalam bentuk tertentu.

(Fraenkel, 1980)

… ialah kebolehan manusia untuk membentuk konsep, memberi sebab atau membuat penentuan.

(Beyer, 1991)
 
 
Berdasarkan kepada beberapa pengertian di atas, kemahiran berfikir dapat dirumuskan sebagai proses menggunakan minda sama ada untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu, membuat pertimbangan dan keputusan atau menyelesaikan masalah.
PROSES BERFIKIR

Pada kebiasaannya apabila anda berhadapan dengan sesuatu perkara misalnya suatu objek, anda secara automatik akan mula menyoal diri sendiri? Soalan-soalan yang anda mungkin bertanya ialah :-

1. Apakah objek itu?

2. Apakah kegunaannya?

3. Bagaimanakah menggunakannya?

4. Adakah ia memberi manfaat?


Apabila anda menyoal diri sendiri dan mencari jawapannya, anda sedang dalam proses berfikir. Untuk mencari jawapan, anda menggunakan aspek yang berikut:

Pengetahuan (apa yang anda tahu tentang objek itu)

Kemahiran (menyoal diri sendiri tentang objek itu)

Sikap atau nilai (keinginan untuk mengetahui tentang objek itu)     MODEL KEMAHIRAN BERFIKIR

Kemahiran berfikir boleh dibahagikan kepada kemahiran berfikir kritis dan kreatif. Kemahiran berfikir kritis ialah kebolehan untuk menilai kemunasabahan sesuatu idea dan bersifat evaluatif. Kemahiran berfikir kreatif ialah kebolehan untuk mencerna dan menghasilkan idea asli dan bersifat generatif. Idea baru terhasil melalui ilham atau gabungan idea-idea yang ada. Strategi berfikir pula merupakan proses berfikir yang lebih tinggi peringkatnya dan mengandungi beberapa langkah yang melibatkan beberapa kemahiran berfikir kritis dan kreatif. Kesemua kemahiran yang digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran adalah pada akhirnya menuju ke arah menkonsepsi, membuat keputusan atau menyelesaikan masalah. Kemahiran berfikir menaakul adalah sebagai pelincir dalam membantu kita membuat pertimbangan secara logik dan rasional kepada semua kemahiran berfikir dan strategi berfikir.

Khamis, 21 Februari 2013

PENTAKSIRAN DALAM PENDIDIKAN KHAS

PENTAKSIRAN


Pentaksiran adalah merupakan satu pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemah maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Segala maklumat yang diperolehi oleh pentaksiran akan dirujuk untuk memperbaiki kelemahan murid dan meningkatkan pencapaiannya. Pentaksiran yang dilakukan mestilah mengikut peringkat kebolehan dan standard perkembangan murid tersebut.

Pentaksiran juga memerlukan pengumpulan bukti dan data pencapaian murid dalam satu tempoh masa untuk mentaksir pembelajaran dan pemahamannya. Bukti dan data ini direkodkan dalam pelbagai bentuk seperti jurnal, lembaran kerja, portfolio dan beberapa jenis ujian seperti ujian diagnostik. Tujuan dalam pentaksiran dalam Pendidikan Khas adalah untuk memberi maklumat dan gambaran mengenai tahap penguasaan murid dalam pelbagai kemahiran seperti membaca, menulis dan sebagainya. Selain itu juga, melalui pentaksiran , kita juga dapat mengesan dan mengenalpasti punca masalah yang dihadapi murid dan merangka intervensi, strategi pengajaran dan penempatan yang sesuai mengikut tahap kebolehannya.

Dalam pentaksiran proses yang terlibat terdiri daripada lima komponen utama iaitu pengumpulan, analisis, penilaian, penentuan dan cadangan. Bagi pengumpulan, proses yang terlibat ialah mengesan dan mengumpul maklumat dari pelbagai sumber latar belakang maklumat seperti rekod sekolah, sejarah perubatan dan sebagainya. Bagi proses analisis, tindakan yang perlu diambil ialah melibatkan pemprosesan dan kefahaman mengenai corak sejarah pendidikan, social , perkembangan , persekitaran , perubatan dan emosi murid.

Bagi penilaian pula, penilaian meliputi aspek akademik, emosi, persepsi, bahasa, fisiologi, kognitif dan perkembangan perubatan untuk menentukan tahap kekuatan dan kelemahan. Bagi proses penentuan pula, tindakan yang perlu diambil ialah penentuan cirri-ciri ketidakbolehan murid dan pengetahuan tentang criteria bagi setiap kategori kanak-kanak pendidikan khas. Bagi cadangan pula, proses ini melibatkan penempatan pendidikan dan program yang perlu dijalankan oleh guru sekolah dan guru kepada ibu bapa.

Menurut Peirangelo & Giullian, G (2006) , tujuan pentaksiran adalah untuk pemeriksaan dan pengenalpastian. Selain itu, pentaksiran juga bertujuan untuk menentukan kelayakan dan melakukan diagnosis serta dalam perancangan pengajaran dan penilaian.

 
JENIS-JENIS PENTAKSIRAN


Terdapat pelbagai pentaksiran, antaranya adalah seperti pentaksiran kemahiran pembelajaran asas,pentaksiran kemahiran sosial dan tingkah laku, pentaksiran kemahiran bahasa yang terdiri daripada membaca, menulis dan lisan serta pentaksiran kemahiran matematik.


PENTAKSIRAN KEMAHIRAN PEMBELAJARAN ASAS


Pentaksiran kemahiran pembelajaran asas melibatkan pengamatan yang mana meliputi aspek penglihatan, pendengaran ,kinestatik dan taktil. Selain itu kemahiran pembelajaran asas juga meliputi konsepsualisasi dan organisasi yang mana adalah merupakan kebolehan untuk memahami konsep dan mengikut organisasi dengan betul. Selain itu dalam kemahiran pembelajaran asas juga, aspek utama yang terlibat ialah kepantasan pemprosesan maklumat. Dalam pemprosesan maklumat ini, melibatkan kebolehan individu memproses input ke dalam otak dan menterjemah dengan perlakuan dan juga tindakan yang bersesuaian dengan pantas.

Aspek yang paling banyak diperbincangkan dalam kemahiran pembelajaran asas ini ialah merupakan aspek pengamatan. Pengamatan adalah merupakan sejenis kefahaman terhadap sesuatu perkara atau situasi melalui pancaindera setelah berlakunya proses dalam mental.

Dalam erti kata lain pengamatan ini berkait rapat dengan pemikiran manusia dan merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari. Janet W. Learner (1971) dalam bukunya “Children With Learning Disabilities” telah mentaksirkan pengamatan sebagai proses untuk mengenal maklumat daripada tindak balas panca indera atau mekanisme yang mentafsirkan sesuatu pergerakan panca indera dengan kuasa intelek

Antara komponen utama dalam pengamatan adalah terdiri daripada penglihatan, pendengaran dan juga sensori motor. Bagi kemahiran pengamatan, antara aspek yang diuji ialah diskriminasi yang sama, diskriminasi yang ganjil, diskriminasi saiz, mengingat kembali, orientasi kedudukan, mengikut turutan, menyudah dan melengkapkan, menyalin, rajah latar belakang atau bertindih, koordinasi motor mata tangan, pertalian jarak atau ruang, gambar bersiri, kekalan atau keabadian bentuk , mencari jalan keluar dan mencari benda tersembunyi.


PENTAKSIRAN KEMAHIRAN SOSIAL DAN TINGKAH LAKU.


Dalam pentaksiran ini, aspek utama yang terlibat ialah kemahiran social dan tingkah laku individu di dalam bilik darjah. Pentaksiran ini juga secara amnya melibatkan pengubahsuaian tingkah laku yang mana merupakan aspek yang penting untuk membuat penilaian secara menyeluruh. Pengubahsuain tingkah laku ini merujuk kepada keberkesanan dengan pertemuan individu dan tanggungjawab social berkaitan dengan umur dan kumpulan kebudayaan.

Secara umumnya, hasil kajian saintifik mencadangkan bahawa kebanyakan tingkah laku adalah dipelajari. Ini bermakna tingkah laku baru atau alternatif boleh dipelajari pada bila-bila masa. Terdapat pelbagai tingkah laku iaitu tingkah laku negatif dan juga tingkah laku negatif. Tingkah laku positif dan negatif ini selalunya dapat dilihat dan diperhatikan dalam bilik darjah. Antara tingkah laku positif ialah seperti menghormati arahan dan akur dengan perintah guru. Manakala bagi tingkah laku negatif pula adalah seperti membuat bising dan mengganggu rakan sekelas.

Bagi mencapai tahap tingkah laku yang diingini iaitu tingkah laku sasaran modifikasi tingkah laku perlu dilakukan. Untuk menjalankan modifikasi tingkah laku yang diingini ini terdapat beberapa langkah yang perlu diambil terlebih dahulu, antaranya termasuklah membuat pemilihan terhadap tingkah laku yang diberi keutamaan, pemerhatian dan perekodan ke atas tingkah laku tersebut, menentukan tingkah laku sasaran, mengenal pasti masa pelaksanaan, memilih strategi dan kaedah yang bersesuaian, penentuan ganjaran, menjalankan program , membuat penilaian, tindakan susulan dan memastikan bahawa tingkah laku negatif tidak akan berulang dan tingkah laku yang positif dapat dikekalkan.

Terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan tingkah laku yang diingini antaranya adalah dengan pemberian ganjaran yang terdiri daripada primer , sekunder dan sosial. Ganjaran primer ini terdiri daripada makanan dan minuman, manakala ganjaran sekunder pula terdiri daripada token, kupon dan lain-lain. Ganjaran sosial pula adalah seperti senyuman ,belaian dan penghargaan emosi kepada individu. Terdapat beberapa strategi peningkatan yang lain iaitu seperti penggunaan kontrak dan sebagainya. Bagi teknik pelupusan pula terdapat pelbagai teknik antaranya adalah seperti teknik pelupusan, dendaan, kejelakan, timed out ,pembetulan semula dan yang lain lagi. Segala strategi peningkatan dan pelupusan ini sememangnya dapat membantu untuk mengubah tingkah laku kepada tingkah laku yang diingini. Segala hasil oleh strategi ini akan direkodkan dalam pelbagai jenis rekod seperti rekod anekdot, persampelan masa dan sebagainya. Daripada data yang diperolehi maka satu baseline dapat dilihat dan disini jugalah guru dapat mentaksir dan merancang aktiviti yang bersesuaian bagi meningkatkan tingkah laku sasaran di masa hadapan.

Selain itu juga, dalam proses pentaksiran kemahiran social dan tingkah laku juga, penglibatan ibu sangatlah penting. Ini kerana ibu bapa adalah merupakan orang yang paling rapat dengan mereka. Hasil temul bual dan perbincangan daripada ibu bapa sememangnya sangat membantu guru dalam membuat pentaksiran dengan betul dan lebih jitu.


PENTAKSIRAN KEMAHIRAN BAHASA LISAN


Terdapat lima komponen utama yang terlibat dalam pentaksiran kemahiran lisan. Lima komponen utama itu ialah fonologi, semantik, sintaksis , morfologi dan juga pragmatik. Melalui lima pentaksiran aspek ini, masalah dan daerah kelemahan murid-murid dapat dikenal pasti dan seterusnya dapat membantu guru melakukan strategi dan intervensi yang bersesuaian bagi individu berikut.

Bidang fonologi adalah merujuk kepada bunyi-bunyi bahasa yang diucapkan dan peraturan-peraturan bagi menentukan bagaimana bunyi-bunyi itu digunakan. Sebutan dan bunyi yang berlainan akan memberikan makna yang lain. Sebagai contoh, perkataan ”pin” dan ”tin”, perbezaan bunyi utama adalah pada awal perkataan-perkataan tersebut. Kebiasaannya individu yang mengalami masalah pembelajaran ini sukar untuk membunyikan bunyi fonetik dengan betul. Kadangkala mereka seringkali melakukan penggantian, penambahan, pengguguran dan sebagainya. Contohnya perkataan ”bahu” menjadi ”bau” . Hal ini telah pun berlaku pengguguran dan perkara ini seringkali terjadi kepada individu yang menghadapi down sindrom. Walaupun perkataan-perkaaan ini berbeza hanya pada satu bunyi sahaja tetapi perbezaan bunyi ini menghasilkan dua perkataan dan masing-masing mempunyai makna yang berbeza

Morfologi adalah bidang yang mengkaji struktur kata atau bidang yang mengkaji proses pembentukan perkataan daripada unsur makna yang paling asas (morfem). Morfem adalah adalah kesatuan (unit) tatabahasa yang terkecil yang mempunyai erti dalam struktur sesuatu bahasa. Morfem terdiri darpada morfem bebas dan morfem terikat. Morfem terikat adalah merupakan morfem yang tidak berdiri dengan sendiri, contohnya perkataan ”basement”. Kehilangan perkataan pada suku kata terakhir boleh memberi makna yang lain. Morfem tidak terikat pula morfem yang dapat berdiri dengan sendirinya. Sebagai contoh ”base”.

Sintaksis pula merupakan unsur terbesar dalam tatatingkat tatabahasa. Sintaksis boleh terbina daripada unit-unit tatabahasa yang lebih kecil seperti frasa, perkataan, dan morfem. Sebagai contoh ”Ibu pergi ke kedai”. Namun bagi individu yang mengalami masalah dalam penggunaan sintaksis, individu itu hanya mampu menyebut ”ibu kedai”. Hal ini sememangnya telah pun memberi maksud dan makna yang lain.

Bidang semantik pula bidang yang berkaitan dengan makna. Komponen kandungan terdiri daripada semantik (makna) yang merujuk kepada cara perkataan-perkataan digunakan secara bermakna dalam komunikasi. Pada asasnya semantik melibatkan perbendaharaan kata sesuatu bahasa atau leksikon. Fonem-fonem yang bergabung akan membentuk perkataan, dan perkataan digunakan untuk mewakili benda, konsep, pengalaman dan sebagainya. Kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran ini sangat lemah dalam bidang semantik terutama dalam membezakan perkataan yang mempunyai ejaan yang sama tetapi berlainan bunyi. Contohnya perkataan perang (e pepet) dan jupa perang (e taling) . Perang di sini bermaksud berlawan dan menentang musuh manakala perang yang satu lagi adalah sifat warna. Selain itu mereka juga mengalami masalah dalam memahami peribahasa seperti simpulan bahasa dan sebagainya.

Bidang pragmatik pula ialah merupakan bidang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa yang betul dalam kehidupan seharian kita. Kanak-kanak autisme misalnya mengalami kesukaran dalam menggunakan kata ganti diri. Hal ini kerana kata ganti diri pertama seperti ”I” seringkali ditukarkan dengan perkataan ”you”. Penggunaan bahasa yang salah akan memberi maksud yang berlainan. Disebabkan itulah unsur pragmatik juga memainkan peranan penting dalam aspek komponen bahasa.

Dalam pentaksiran lisan, ujian diagnostik dijalankan untuk menyediakan maklumat yang boleh dipercayai dan mempunyai kesahan yang tinggi kepada guru. Selain itu juga, maklumat yang diberikan perlulah sejajar dengan teori perkembangan kognitif. Tujuan pentaksiran lisan juga adalah untuk menyediakan maklumat khusus berkenaan dengan masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar. Melalui pentaksiran lisan jugalah guru akan dapat merancang dan memulakan pengajaran secara lebih efektif berdasarkan data yang diperolehi.

Dalam pentaksiran lisan terdapat dua jenis bahasa yang menjadi aspek utama untuk dinilai dan ditafsirkan. Masalah bahasa yang terdapat dalam kalangan kanak-kanak keperluan khas ini ialah masalah bahasa ekspresif dan juga masalah reseptif.

Bahasa ekspresif merujuk kepada keupayaan pelajar untuk berkomunikasi dan meluahkan idea, perasaan, pemikiran atau pendapat kepada orang lain. Pentaksiran terhadap bahasa pentaksiran ini biasanya melibatkan aspek pengeluaran bunyi yang betul, ucapan , dan bahasa. Perucapan atau pertuturan adalah merupakan pengeluaran untuk menghasilkan bahasa ekpresif.

Bahasa reseptif pula merujuk kepada keupayaan individu untuk menerima dan memahami input bahasa yang diterima daripada persekitaran. Pentaksiran terhadap bahasa reseptif ini misalnya akan melibatkan keupayaan pelajar untuk mendengar perkataan atau frasa dan dapat mempamerkan kefahaman mereka terhadapa isu yang diperkatakan tadi. Sebagai contoh, selepas memperdengarkan beberapa perkataan, murid tersebut akan disoal semula mengenai kefahaman beliau terhadap apa yang dibacakan tadi.

Antara ciri-ciri yang mengalami masalah ekspresif dan reseptif ini ialah, kebiasaannya individu yang mengalami masalah lebih suka untuk berdiam diri daripada sebarang perbincangan dan perbualan. Selain itu, mereka juga seringkali memberi respons yang salah dengan arahan yang diberikan. Murid-murid yang mengalami masalah ini juga akan mengalami kesukaran untuk bertukar giliran berkomunikasi dan bercakap apabila mereka diminta untuk melakukan perbincangan. Kesemua masalah ini dapat dirawat jika diberi rawatan dan intervensi dengan segera. Psikoterapi dapat dijalankan untuk merawat masalah ini terutamanya bagi mereka yang menghidapi masalah dalam emosi dan juga tingkah laku,

Bagi melakukan pentaksiran terhadap individu yang mengalami masalah lisan ini, terdapat beberapa cara dan kaedah. Antaranya guru boleh menyediakan beberapa set soalan dalam memahami perkembangan bahasa mereka. Selain itu guru juga boleh melakukan deskripsi lisan, temuduga, perbincangan, penggunaan videotape dan mengadakan ujian yang standard kepada mereka.

Contoh ujian yang sesuai dijalankan adalah seperti ujian kriteria. Aspek yang dinilai adalah ucapan dan juga bahasa. Komponen yang dinilai adalah seperti bahasa ekspresif dan reseptif, mimik muka atau gesture, pemvokalan yang betul, kepanjangan ayat dan juga ingatan audiotari. Ujian seperti ini biasanya dilakukan pada usia selepas lahir hingga berumur 7 tahun.

Selain daripada ujian juga, guru boleh mengambil kira persekitaran sosial kanak-kanak tersebut. Hal ini dapat membantu guru membuat perkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh murid dan seterusnya merancang strategi bagi mengatasi masalah yang dihadapi.


PENTAKSIRAN BACAAN

Kebanyakan guru menggunakan pelbagai pendekatan yang berbeza dalam proses pembelajaran dan pengajaran untuk kemahiran membaca. Kebanyakannya adalah bergantung dengan latar belakang dan orientasi murid terbabit. Berdasarkan faktor itu, guru akan dapat menggunakan satu atau lebih pendekatan. Antara pendekatan yang digunakan adalah seperti orientasi dalam bacaan, berpandukan arahan dan menggunakan maklumat

Bagi kemahiran bacaan, untuk melakukan pentaksiran ujian diagnostik perlulah dilakukan. Ujian diagnostik bacaan digunakan oleh guru untuk mendapatkan maklumat dan membantu guru mengenalpasti daerah kelemahan pelajar berkenaan. Ujian ini mengandungi beberapa komponen mana perlu mahir dikuasai oleh murid-murid iaitu fonologi, morfolgi, sintaksis dan semantik. Kemahiran dalam pembacaan ini juga merangkumi pengecaman huruf dan perkataan penyebutan serta pemahaman terhadapa apa yang dibaca. Ujian ini akan dilaksanakan secara individu dan dilakukan di tempat kebiasaan murid.

Terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh murid-murid dalam bacaan. Antaranya adalah seperti masalah disleksia. Misalnya murid itu akan mengalami masalah apabila dua perkataan yang berbeza bunyi dilambangkan oleh huruf yang sama iaitu semak ( belukar) dan semak (lihat semula). Selain itu, murid ini juga akan membaca secara terbalik. Mereka juga tidak dapat membuat hubung kait antara bunyi perkataan dengan huruf yang menyebabkan mereka terpaksa membunyikan setiap perkataan yang dibaca.
Dalam melaksanakan pentaksiran bacaan, terdapat beberapa aspek yang perlu dilihat terlebih dahulu. Antaranya ialah, pentaksiran tersebut perlulah dilakukan secara variasi dan mengambilkira tentang kebolehan untuk kebolehan memproses bacaan yang kompleks. Selain itu, ujian yang diberikan hendaklah berdasarkan umur murid. Pentaksiran yang dilakukan ini mestilah tidak berat sebelah dan perlu mengambil kira jenis ujian yang dijalankan. Pendekatan yang berbeza harus dilakukan semasa membuat pentaksiran yang melibatkan aspek bacaan, menulis dan bahasa.

Penilaian yang dilakukan semasa melakukan pentaksiran adalah berdasarkan prob, analisis kesalahan, ”think aloud”, retelling, deskripsi lisan, hasil tulisan selepas bacaan, senarai semak dan soalan, temubual, perbualan, jurnal murid, persembahan oleh murid, dan juga penilaian kendiri.

Dalam melakukan ujian diagnostik, aktiviti yang boleh dilakukan adalah dengan melakukan bacaan mekanis. Bacaan mekanis ini diuji melalui ketepatan sebutan dan kelancaran membaca. Pelajar boleh diuji membaca huruf , suku kata , perkataaan, ayat dan teks.

Antara kesilapan yang seringkali dilakukan adalah menyebut huruf kecil yang hampir sama bunyi seperti b-d iaitu buku-duku. Selain itu terdapat juga kesilapan dalam menyebut huruf yang hampir sama bentuk seperti m-n iaitu mama dan mana. terdapat juga kesilapan dalam meyebut bunyi konsonan bergabung iaitu kh, ng, ny, sy. Contoh perkataan khamis akan disebut sebagi kamis. Kesilapan yang dapat dinilai dalam bacaan mekanis juga dapat dilihat ketika menyebut perkataan yang mana kakak disebut katak dan sesetengah juga menterbalikkan perkataan seperti bala menja laba. Murid yang mengalami masalah bacaan juga akan mengalami kekeliruan dengan orientasi huruf iaitu u dengan n dan keliru huruf besar dan huruf kecil yang berbeza bentuk seperti A-a.

Aktiviti bacaan mekanis akan diuji melalui ketepatan sebutan dan kelancaran membaca. Beberapa perenggan dan teks akan disusun daripada sangat mudah kepada semakin susah. Sementara itu guru akan menyemak teks untuk mengenal pasti jenis kesilapan yang dilakukan. Antara kesilapan yang seringkali dilakukan oleh murid semasa melakukan proses bacaan adalah seperti ”insertion”, ”substitution” , ”inversion” , ”omission” dan banyak lagi.

Selain itu, murid juga akan diuji mengenai kefahaman mereka terhadap bacaan yang dibaca. Terdapat 3 jenis kefahaman yang dinilai ialah kefahaman literal, kefahaman inferens dan kemahiran mendengar. Kefahaman literal adalah merupakan kefahaman yang diuji selepas murid membaca teks. Murid akan disoal berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks. Kefahaman inferens pula memerlukan belajar untuk berfikir secara analitikal dan mampu memberikan huraian, pandangan atau penjelasan dan mampu mempamerkan kefahaman terhadap teks yang dibaca. Murid juga mampu membuat andaian atau ramalan. Bagi kemahiran mendengar pula, murid akan diperdengarkan teks terlebih dahulu, kemudian akan diuji dengan soalan sama ada berbentuk literal atau inferens.


PENTAKSIRAN KEMAHIRAN MENULIS

Seperti yang sedia maklum, kemahiran menulis adalah berkait rapat dengan kemahiran membaca. Kebiasaannya kemahiran menulis ini dikaitkan dengan kebolehan untuk menterjemahkan lambang-lambang bunyi bahasa kepada penulisan. Definisi bagi menulis adalah, kemahiran dan juga sebagai saluran untuk seseorang melahirkan perasaan dan idea. Kemahiran menulis menggabungkan aspek-aspek visual, motor, dan keupayaan membentuk konsep-konsep. Menurut Hughes, Mercer, Lenz, dan Hoffman, (1991). tulisan juga adalah saluran utama bagi murid-murid untuk menunjukkan pengetahuan dan mereka dalam mata pelajaran akademik yang lebih tinggi

Dalam mentaksir kemahiran guru boleh membuat rujukan berdasarkan senarai semak, temubual, temuduga, perbincangan bersama dan persembahan kendiri oleh murid tersebut. Ujian diagnostik penulisan akan dilakukan setelah guru membuat pemerhatian dan penilaian terhadap beberapa aspek seperti melihat hasil kerja murid. Melalui ujian diagnostik guru akan dapat melihat masalah murid yang terdapat dalam penulisan.

Antara masalah yang sering dihadapi oleh murid oleh ialah bentuk huruf yang tidak konsisten.( maKan). Selain itu murid juga tidak dapat menjarakkan huruf dan perkataan dengan baik. (lam pu). Murid yang mengalami masalah penulisan juga tidak mampu untuk mengeja dengan baik misalnya makan menjadi (makang). Tulisan murid ini juga kotor kerana kerap memadam dengan getah pemadam.

Pelaksanaan ujian diagnostik menulis melibatkan beberapa kemahiran yang perlu diuji. Antara kemahiran yang diuji adalah seperti nama huruf kecil, nama huruf besar, suku kata v, suku kata kv, perkataan kv +kv dan banyak lagi. Kesemua kemahiran ini akan dinilai untuk mencari daerah kelemahan murid dalam penulisan. Apa yang penting disini, semasa melakukan pentaksiran terhadap murid-muird, ujian yang diberikan mestilah normal dan biasa dengan murid. Selain itu ujian yang diberikan perlulah bermakna dan bersifat pelbagai dimensi.



PENTAKSIRAN KEMAHIRAN MATEMATIK

Matematik ialah merupakan satu bidang yang melatih minda supaya dapat berfikir secara mantik dan sistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Sifat matematik tabiinya menggalakkan pembelajaran yang bermakna dan mencabar pemikiran.

Antara prinsip asas dalam kemahiran matematik adalah berkaitan dengan hukum dan tatacara dalam matematik. Antara prinsip dalam pentaksiran matematik ini ialah, pentaksiran ini berlaku dalam kehidupan normal murid. Guru perlulah melakukan pentaksiran berdasarkan pengajaran beliau. Bentuk pentaksiran yang dilakukan mestilah bermakna dan memberi erti kepada murid dan maklum balas murid perlulah spesifikasi , tepat dan dapat memberi maklumat tentang pengetahuan dan pemikiran yang dilakukan oleh murid. Murid mestilah melibatkan diri dalam proses pentaksiran dan penilaian yang dilakukan. Melalui proses ini, murid dapat meningkatkan dan mengaplikasi kemahiran yang standard dan rubrik yang ada. Pentaksiran kendiri menjadi perkara penting dalam proses pentaksiran ini.

Antara cara untuk guru mendapatkan maklumat mengetahui pengetahuan kemahiran matematik yang ada, guru boleh mendapatkan maklumat berdasarkan ujian kriteria, prob, analisis kesalahan, deskripsi lisan, deskripsi penulisan, senarai semak dan soalan, temuduga, perbualan , jurnal murid, persembahan murid di dalam kelas dan portfolio murid.


Kebiasaannya, kemahiran matematik yang diuji ialah nombor, pecahan, perpuluhan, penolakan, darab, duit dan lain –lain lagi. Pentaksiran mestilah dilakukan dalam keadaan persekitaran murid. Antara aspek persekitaran yang terlibat ialah keadaan fizikal persekitaran, persekitaran pembelajaran dan juga persekitaran sosial murid.


Khamis, 19 April 2012

KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

Apa Itu Pintar Cerdas, Kreatif dan Berbakat? Intellectual Quotient (IQ) yang tinggi iaitu berada pada tahap IQ 130 dan ke atas. Public Law 91-230 telah mendefisikan seorang yang pintar cerdas dan berbakat adalah golongan yang dikenali sebagai seseorang yang layak secara professional yang secara kebajikannya mempunyai kebolehan yang terserlah. Golongan seperti ini memerlukan program pembelajaran yang berbeza dengan/atau perkhidmatan yang bertahap lebih tinggi berbanding dengan program-program yang dianjurkan oleh sekolah untuk pelajar-pelajar normal yang biasa. Program yang khusus adalah perlu bagi menyedari sumbangan mereka terhadap diri sendiri dan negara. Kanak-kanak yang mempunyai pencapaian yang cemerlang termasuk individu yang berpotensi serta berkebolehan dalam mana-mana enam bidang kecerdasan yang dinyatakan.

Ciri-ciri pintar cerdas, kreatif dan berbakat
Walaupun seseorang kanak-kanak itu dikenali sebagai pintar cerdas, kreatif dan berbakat, tetapi mereka tidaklah sentiasa berjaya dalam segala yang mereka lakukan. Kecerdasan serta bakat yang mereka miliki adalah terhad kepada beberapa bidang yang khusus sahaja. Kanak-kanak yang dilabelkan sebagai seorang yang pintar cerdas, kreatif dan berbakat mempunyai ciri-ciri tertentu. Ciri-ciri mereka sebagai golongan pintar cerdas jelas dapat dilihat dari aspek kognitif, akademik, fizikal, tingkah laku dan komunikasi. Aspek Ciri-ciri
Kognitif (1) Ingatan yang kuat
(2) Tahap pemikiran tinggi
(3) Berminat kepada sesuatu yang kompleks dan mencabar minda
(4) Memproses maklumat dengan cepat
Akademik (1) Berprestasi tinggi dalam pencapaian
(2) Memahami dan mempelajari sesuatu yang kompleks dengan mudah
(3) Berkebolehan dalam penyelesaikan masalah.
(4) Berkebolehan dalam menguasai banyak isi kandungan pelajaran

Kanak-kanak yang pintar cerdas kebanyakannya mempunyai potensi yang tinggi dalam perkembangan dan pertumbuhan jika dibandingkan dengan seseorang yang normal. Pintar cerdas seringkali dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai
Kamus Dewan edisi keempat telah mengistilahkan pintar sebagai cekap, pandai, banyak akal, cerdik, licin serta mahir dalam membuat sesuatu pekerjaan. Cerdas pula membawa bermaksud sempurna akal, cerdik, pandai serta pintar. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, berbakat bermaksud mempunyai kebolehan semulajadi. Ini bermaksud kanak-kanak yang mempunyai bakat merupakan seseorang yang mempunyai kebolehan yang ada secara semulajadi.
Maryland telah mendefinisikan pelajar kreatif dan berbakat sebagai pelajar pertengahan atau pelajar sekolah menengah yang telah dikenalpasti secara sah mempunyai bakat dalam bidang seperti kebolehan intelektual umum, bakat spesifik dalam akademik ataupun kreatif, seni visual dan seni tari (Bob Algonzine dan Jim Ysseldyke, 2006). Dalam Kamus Dewan edisi keempat , kreatif pula bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baru atau idea asli. Ini bermakna kanak-kanak yang kreatif mampu menjana sesuatu idea yang baru berdasarkan kepada aplikasi ilmu yang mereka pelajari.
Sternberg dan Kaufman mendifinisikan pintar cerdas sebagai satu kepintaran yang lebih berfokus kepada kebolehan mengadaptasi, membentuk dan memilih keadaan yang menjurus kepada sesuatu maklumat. Individu yang pintar cerdas boleh mengenalpasti kelemahan dan kelebihan mereka sendiri malah mereka menentukan cara yang sesuai menggunakan kelebihan mereka serta meminimumkan kelemahan mereka.
Howard Gardner pula mendifinisikan kecerdasan sebagai satu cara memproses maklumat dan juga cara berfikir. Beliau juga berpendapat bahawa kecerdasan merupakan hasil atau produk daripada interaksi antara genetik dan persekitaran yang perlu berada bersama bagi memberi hasil sebenar kepada kecerdasan. Beliau menakrif seseorang itu sebagai seorang yang pintar cerdas apabila mematuhi lapan kriteria khusus berikut.
1. Potensi pengasingan oleh kerosakan otak
2. Kewujudan golongan individu luar biasa
 
3. Operasi teras yang boleh dikenalpasti
4. Sejarah perkembangan yang khusus bersama dengan prestasi yang menggalakan
5. Sejarah evolusi dan evolusi yang boleh diterima akal
6. Disokong dari kajian psikologi
7. Disokong oleh penemuan psikometrik
8. Kerentanan untuk mengekod sistem symbol
Beliau turut berpendapat bahawa kecerdasan seseorang itu tidak sama seperti cara berfikir yang cenderung untuk kekal konsisten dan tidak berkaitan dengan jenis maklumat yang akan diproses ( Sousa D.A. , 2003).
Jika mengikut pandangan kajian Jane Piirto (1999), ramai orang yang telah ditanya sebagai responden setuju bahawa terdapat tiga aspek berkaitan pintar cerdas. Aspek yang pertama ialah kebolehan menyelesaikan masalah yang praktikal yang mana mereka akan melihat masalah itu dari pelbagai sudut, memberi sebab-sebab yang logik dan dengan fikiran yang terbuka. Aspek yang kedua pula ialah kebolehan lisan (boleh menangani sesuatu topik perbualan dengan baik, membaca dengan kerap dan baik). Pintar cerdas juga boleh dilihat dari aspek sosial (memahami konsep sosial, mengakui kesalahan yang telah dilakukan, mempunyai minat yang umum kepada dunia).
Walaubagaimanapun, di dalam penulisan Margaret Sutherland (2008) ada mengulas bahawa pelabelan seseorang kanak-kanak sebagai pintar cerdas sememangnya sesuatu yang baik. Walaupun begitu, menjadi kanak-kanak yang pintar cerdas yang memiliki kecerdasan bermaksud kanak-kanak itu perlu mahir dalam sesuatu perkara yang juga membawa maksud mereka itu sentiasa berkebolehan melakukan semua perkara yang dilakukannya.
Menurut Moira Thomson (2006) pula, di New Zealand mendefinisikan pintar cerdas dalam terma bersifat pembelajaran yang menunjukan kebolehan yang luar biasa dalam mencapai prestasi yang menyerlah. Tiada definisi yang spesifik dan khusus yang dapat dinyatakan terhadap kecerdasan tetapi banyak buku panduan telah diterbitkan, dan kebanyakan sekolah membina definisi mereka sendiri berdasarkan kepada prinsip yang dinyatakan di kebanyakan buku yang diterbitkan. Kebanyakan guru juga bersetuju bahawa kanak-kanak yang pintar cerdas adalah individu yang memerlukan perancangan aktiviti yang
memerlukan tahap penguasaan pembelajaran yang tinggi dan diberi peluang yang luas dalam kokurikulum bagi mengembangkan lagi kebolehan mereka.
Selain itu, terdapat juga definisi berdasrkan sekolah berkaitan dengan pintar cerdas. menurut Jane Piirto (1999), terdapat dua definisi pintar cerdas berdasarkan sekolah iaitu definisi kecerdasan berdasarkan sekolah yang lama dan juga definisi kecerdasan berdasarkan sekolah yang baru. Di Amerika Syarikat menggunakan definisi Marland bagi mendefinisikan kanak-kanak pintar cerdas berdasarkan sekolah yang lama yang menyatakan bahawa kecerdasan seseorang yang pintar cerdas terbahagi kepada enam jenis kecerdasan iaitu (1) intelektual, (2) akademik spesifik, (3) kreatif, (4) seni pertari dan visual, (5) kepimpinan dan (6) psikomotor. Dalam definisi Marland,
Bagi definisi kecerdasan berdasarkan sekolah yang baru pula mencadangkan kecerdasan seorang kanak-kanak pintar cerdas berlaku dalam kalangan seluruh masyarakat dalam pelbagai budaya dan tidak semestinya berpandukan keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi secara dilihat dalam kebolehan individu tersebut yang tinggi dalam intelektual, kreatif dan artistik alam. Kecerdasan seseorang yang pintar cerdas juga diberi maksud tambahan iaitu lebih kepada satu kebolehan yang matang jika dibandingkan dengan kebolehan perkembangan (Jane Piirto, 1999).
Definisi berdasarkan sekolah mengikut kepada Moira Thomson (2006) manyatakan bahawa pembelajaran seorang yang pintar cerdas dalam sekolah seharusnya dalam keadaan yang sistematik untuk membentuk satu corak intervensi untuk membantu perkembangan proses perkembanan bakat individu tersebut. Intervensi seperti ini tidak hanya bergantung kepada arahan guru sahaja untuk mana-mana definisi yang tertentu trhadap pintar cerdas tetapi memberi langkah berjaga-jaga yang mana sesetengah individu itu adalah sememangnya pintar cerdas dan di situlah guru memainkan peranan untuk membantu perkembangan
mereka. sekolah seharusnya membina definisi kecerdasan yang; membenarkan pengenalpastian kedua-dua potensi dan prestasi, dapat mengenalpasti bahawa individu tersebut berkemungkinan pintar cerdas dalam satu atau lebih kecerdasan, memberi makna pendekatan kepada kecerdasan pelbagai yang merangkumi kadar kebolehan yng luar biasa, mengakui bahawa pintar cerdas dan berbakat menunjukan pengecualian dalam hubungan dengan rakan sebaya yang berlatar belakang sama dan menyediakan peluang pembelajaran yang berbeza untuk individu pintar cerdas, berbakat dan kreatif termasuklah untuk sokongan sosial dan emosional.

Rabu, 18 April 2012

KSSR Grand Continental Langkawi Dan 5 Minit Tips Kurang Stres

Sekalung Tahniah buat semua pembina-pembina kurikulum KSSR Pendidikan Khas Tahun 5 yang sedang memerah otak untuk melahirkan satu dokumen yang akan digunapakai di bilik darjah pendidikan khas. Sempena kurikulum KSSR tahun 5 saya uploadkan 5 Minit Tips Mengurangkan Stres.

LIMA minit bukanlah satu jangka masa yang lama, tetapi ia akan menjadikan kehidupan anda lebih baik dan positif sekiranya anda melakukan perkara yang boleh meningkatkan kegembiraan dan mengurangkan tekanan. Caranya mudah saja ikuti panduan di bawah untuk mendapatkan hasilnya:

Ubah suai tempat tidur anda
Bermula setiap pagi dengan mewujudkan persekitaran tenang di dalam bilik tidur mampu memberikan emosi gembira kepada anda. Penulis buku Kebahagiaan Gretchen Rubin, menulis ramai orang akan mendapat ketenangan apabila melakukannya setiap pagi. Caranya mungkin dengan menghias bilik dengan kuntuman bunga, membuat semburan wangian atau menggantungkan gambar keluarga.
Bawa makanan berkhasiat

Sebelum keluar pada waktu pagi, apa kata anda pergi ke dapur dan ambil buah-buahan seperti pisang, epal dan anggur atau makanan ringan berkhasiat seperti kacang, kismis atau kurma untuk dimakan atau dibawa ke pejabat. Dengan cara ini, apabila perut lapar pada waktu petang anda hanya perlu mencapai makanan dari dalam beg tangan dan bukannya mencari coklat atau biskut di kedai. Sekurang-kurangnya ini dapat meningkatkan tahap kesihatan anda.


Kemas meja

Anda tidak mungkin dapat merevolusikan almari dalam masa lima minit, tetapi anda boleh menguruskan meja supaya kemas, bersih dan teratur. Bersihkan kertas bersepah dan tidak digunakan, cawan berselerak atau habuk pada skrin komputer. Meja yang tidak kemas akan membuatkan anda hilang tumpuan, sekali gus mengurangkan produktiviti. Persekitaran yang baik dan selesa meningkatkan motivasi anda.


Mendengar muzik

Kajian mendapati mendengar muzik bukan saja membantu menenangkan jiwa, tetapi merendahkan tekanan darah dan meningkatkan kegembiraan. Muzik sesuai berkuasa mengubah minda dan sikap. Jadi memuat turun lagu menerusi alat pemain MP3 dan mendengarnya ketika bekerja atau di rumah mampu membuatkan anda tersenyum sepanjang hari.


Menghidu lemon

Penyelidik Jepun mendapati bahan linalool yang terdapat dalam lemon, mempunyai ciri-ciri antiradang dan boleh mengurangkan tekanan manakala wangian selasih, jintan manis dan lavender baik untuk kesihatan.


Buat aktiviti regangan

Mengangkat tangan di kepala serta meluruskan kaki adalah senaman ringkas dan berkesan mengurangkan tekanan. Ini kerana regangan membantu meningkatkan peredaran darah dan mengurangkan tekanan pada otot.


Luahkan apa yang terbuku di hati

Ini boleh dilakukan dengan menulis perkara yang membuatkan anda tertekan. Misalnya tekanan dalam kesesakan lalu lintas, masalah dengan teman sekerja atau kerja yang terlalu banyak. Dengan cara ini dapat mengurangkan masalah anda.


Mematikan peralatan elektronik

Merenung skrin komputer dan elektronik sepanjang hari boleh menyebabkan anda kurang aktif dan tidak bertenaga. Jadi padamkan semua peralatan elektronik seperti telefon dan komputer riba. Ini adalah penting terutamanya membolehkan anda berehat dan bersantai sebelum tidur.


Senarai keutamaan

Kerja anda akan menjadi lebih mudah sekiranya anda menyenaraikan keutamaan. Ini membolehkan anda membuat susunan perkara yang perlu dilakukan dulu dan mengelak berlakunya penangguhan. Membuat senarai dan menyemak setiap tugas juga dapat meningkatkan produktiviti anda.

 
Selamat Bersidang.


Sabtu, 24 Mac 2012

INILAH DUNIA

DUNIA DISLEKSIA

Anak istimewa perlu bimbingan khusus

"PERNAH saya bersedih dan sering bertanya kepada ibu, mengapa Allah buat saya begini dan mengapa saya terpaksa melalui detik sukar. Walaupun puas saya berusaha untuk berada di tahap yang sama seperti kawan lain, saya sering kali gagal," kata Sharifah Haneesya Syed Sahlan.
 
 
Kata-kata anak gadis yang cukup manis penampilannya ini pasti menyentuh hati sesiapa saja yang mendengar, apatah lagi ibu yang melahirkan.
Sepanjang perbualan, tiada siapa menyangka Sharifah Haneesya, 11, sebenarnya mengalami masalah disleksia. Cuma, sekilas mata memandang ke arah lencana yang ditampal pada seragam sekolahnya menyedarkan kita masalah dialaminya. Perkataan `Pelajar Disleksia’ terpampang pada lencananya.

Sharifah Haneesya Syed Sahlan, 11, bercerita masalahnya dikesan pada usia lapan tahun. Dia sentiasa bermasalah untuk membaca menyebabkannya terpaksa memberi fokus yang lebih sepanjang proses pembelajaran berbanding rakan seusia.

“Saya sukar untuk menyusun ayat kerana saya tidak mampu memikirkan apa-apa selanjutnya untuk dikaitkan dengan kenyataan yang dilakukan terdahulunya.

“Saya juga tidak suka dengan keadaan yang bingit atau mendesak kerana ia membuatkan saya rasa sesak nafas malah kadangkala trauma dengan persekitaran sedemikian,” jelasnya.
Apapun keadaan yang terpaksa dilalui sebagai anak gadis, Sharifah Haneesya tidak menganggap dirinya golongan yang lemah, dia mencari dirinya dan berpegang pada minat dan bakat yang dimilikinya untuk membawa dirinya ke atas.

“Jika ditanya mengenai cita-cita saya tidak tahu, Tapi apa yang pasti saya ingin menjadi individu yang berjaya. Buat masa ini, saya minat dengan seni persembahan dan akan melakukan yang terbaik untuk pilihan itu.

“Saya juga ingin memadamkan spekulasi umum terhadap kekurangan anak-anak disleksia. Dengan usaha dan ketekunan, saya yakin kami mampu berada di tangga teratas dalam bidang yang diceburi,” katanya bersemangat.

Menyokong semangat itu, ibunya menjelaskan dia juga tidak pernah berputus asa memikirkan yang terbaik berikutan hasratnya ingin melihat individu disleksia seperti puterinya itu mencapai kejayaan seiring kanak-kanak normal.

“Terimalah kekurangan mereka dan perbaiki kelemahan dimiliki. Kefahaman dan toleransi membolehkan anak-anak ini berada di tempat teratas jika peluang diberikan kepada mereka dan saya yakin begitu juga dengan puteri saya ini.

“Mereka bukan tidak bijak, cuma cara pembelajaran dan penyampaian berbeza daripada kanak-kanak normal. Paling penting, jangan sesekali memperlekehkan usaha yang mereka lakukan,” luahnya.

Cabaran yang pasti berat buat Nor Hasnida Hasan, tambah pula bukan seorang malah dua anaknya berhadapan masalah serupa.

Nor Hasnida mengakui, pada awalnya agak sukar menerima kenyataan anak sulung perempuannya mengalami masalah disleksia, namun, dia melakukan pelbagai usaha untuk memulihkan anaknya.

“Setiap ibu yang melahirkan mengimpikan kesempurnaan. Melihat fizikal anak sulung saya yang tidak jauh seperti kanak-kanak normal, menyulitkan lagi penerimaan berita mengenai masalah dialaminya.

“Sebelum ini, saya mengambil tindakan drastik dengan memberikan jadual padat dengan harapan dia tidak ketinggalan dalam kelasnya memandangkan keadaan dirinya yang bermasalah dalam pelajaran seperti mengeja dan membaca.

“Dia pernah dirotan dan dimarahi kerana agak lambat mengeja, apatah lagi membaca. Tiada pendekatan lain diambil melainkan paksaan dan saya lihat anak semakin tertekan,” katanya.

Nor Hasnida akhirnya beralah dan berbincang dengan anak bagi mengetahui masalah yang berlaku. Pemeriksaan lanjut dengan pakar perubatan akhirnya mengesahkan anaknya itu mengalami masalah disleksia.

“Patutlah segala perancangan saya termasuk jadual belajar tidak berhasil. Mengetahui masalahnya, saya membuka hati mendekatinya dan mendalami apa yang dilalui anak.

“Saya memberikan kelonggaran untuk dirinya memilih cabang yang diminatinya, tanpa mengabaikan kepentingan pelajaran. Jadi, saya mengetengahkan sistem pembelajaran yang interaktif dan kreatif seiringan dengan pemikiran mereka. Begitu juga dengan anak kedua saya, cuma masalahnya lebih ketara berbanding kakaknya,” katanya.

Hasnida yang membesarkan dua anak disleksia itu mendakwa, pada pendapatnya setiap individu istimewa yang senasib dengan permata hatinya mampu meraih kejayaan bergantung kepada kecenderungan minat mereka.

Katanya, anak-anak istimewa ini mungkin bermasalah dalam pembelajaran akademik, namun mereka juga sebenarnya memiliki bakat terpendam yang cukup memberangsangkan jika digilap dan dibimbing dengan betul. Mereka juga memerlukan sokongan, tambah pula kanak-kanak begini mudah emosi.

Sharifah Haneesya, menunjukkan minat dalam bidang seni persembahan. Hasil nyanyian dan lakonannya cukup menyentuh dan penyampaiannya acap kali diberikan pujian, malah ada juga yang menyuarakan mereka tidak percaya dia seorang disleksik.

“Mungkin ada segelintir individu tidak dapat menerima minat yang ditonjolkan anak saya kerana menganggap dirinya terlalu mentah dan seharusnya saya tidak memanjakan dirinya dengan setiap permintaan.

“Tapi mereka lupa dengan masalah yang dialami anak sulung saya itu, jika dia tidak cemerlang dalam bidang akademik, sekurang-kurangnya dia meraih kejayaan dalam bidang yang digemarinya. Sekurang-kurangnya dia memiliki sesuatu dalam kehidupannya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata masalah disleksia bukan perkara remeh.

Disleksia bukan sesuatu yang harus digeruni namun ia bukan soal kecil. Penghidapnya mengalami kesukaran mengenal perkataan, sukar mengingati suku kata atau menggabungkan huruf sekali gus menyukarkan pembacaan.

Apabila pembacaan jadi penghalang, timbul pelbagai masalah lain misalnya pelajar sering ketinggalan menyebabkan mereka kurang minat untuk ke sekolah walaupun memiliki kecerdasan mental sama malah lebih daripada pelajar normal lain.

"Selain masalah utama penghidap disleksia iaitu dari segi pandangan dan pendengaran, beberapa petanda lain dikaitkan dengan disleksia. Misalnya, penghidap tidak sedar mereka memakai baju atau kasut terbalik, memegang pensel dengan semua jari serta tidak dapat mengingati turutan sesuatu perkara contohnya turutan hari," katanya.

Jelasnya, masalah berkenaan boleh diatasi dalam tempoh singkat iaitu seawal tiga bulan terutama di kalangan mereka yang masalah dikesan sejak kecil, seperti berusia empat tahun atau lima tahun.

Katanya, kanak-kanak istimewa ini juga mempunyai kelebihan dalam pelbagai sektor terutama seni jika diberikan pendedahan awal dan adalah penting untuk ibu bapa sendiri mengesan minat dimiliki anak mereka.

“Jika mendapati anak kita mengalami masalah disleksia, jangan pandang mudah dan membiarkan keadaan menjadi keruh. Sedari dan fahami, berbincang sangat penting dalam mendidik anak pintar ini,” jelasnya.

Kempen beli sambil bantu

UMUM mengetahui, masalah disleksia mampu membantutkan tumbesaran kanak-kanak dalam mencapai kejayaan di masa hadapan jika ia dibiarkan berlarutan tanpa sebarang bimbingan.

Masalah yang dihidapi kira-kira 314,00 pelajar di Malaysia itu menyukarkan mereka untuk menjalani proses pembelajaran, termasuk membaca, mendengar dan menghitung. Kanak-kanak ini memerlukan alat bantuan mengajar khusus untuk mendidik mereka berbeza dengan mereka yang normal.

Namun, untuk menyediakan kemudahan itu memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi merangkumi keperluan tenaga pengajar yang terlatih.

Sebagai langkah awal menyuarakan keprihatinan terhadap masalah itu, Procter & Gamble (P&G) bersama kerjasama pasar raya Giant menganjurkan kempen Gift Of Learning bagi mewujudkan peluang pembelajaran untuk bantu kanak-kanak disleksia menerusi Persatuan Disleksia Malaysia (DAM).

Kempen itu mensasarkan dana sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada DAM seluruh negara sekali gus menyediakan kemudahan dan alat bantuan belajar untuk anak-anak istimewa itu.

Pelancaran berlangsung hari ini di Giant Kota Damansara bermula jam 11.30 pagi dan tetamu yang hadir bakal dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh kanak-kanak DAM.

Masyarakat boleh melakukan sumbangan kepada kempen itu dengan membeli produk P&G yang tersenarai di semua rangkaian pasar raya Giant seluruh negara bermula 1 April ini hingga 19 Mei 2011.

INFO: Penghidap disleksia hebat
1. Saintis terkemuka, Albert Einstein
2. Presiden Amerika Syarikat ke-35, John F Kennedy
3. Juara tinju dunia, Mohammad Ali
4. Penyanyi dan pemuzik, John Lennon
5. Pelukis dan arkitek, Leonardo da Vinci
6. Pengarah dan pelakon, Tom Cruise
7. Pengarah filem terkenal Hollywood, Steven Spielberg
 

45,000 Budak Hidap Disleksia

2012/03/24JOHOR BAHRU: Kira-kira 50 peratus daripada lebih 90,000 kanak-kanak negara ini yang menghidapi masalah pembelajaran sejak usia lima hingga enam tahun berpunca daripada masalah Disleksia.

Perangkaan diterima Persatuan Disleksia Malaysia daripada Kementerian Pelajaran mendapati nisbah menunjukkan lima daripada 100 orang kanak-kanak berpotensi mengalami keadaan itu dan ia amat membimbangkan . Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata pihaknya kini dalam usaha merancang bersama kementerian bagi mewujudkan satu program khusus untuk kanak-kanak yang menghidap Disleksia supaya ditempatkan dalam kelas khas dan diajar guru khas.
Katanya, kebanyakan sekolah tidak dapat mengesan penghidap Disleksia selagi kanak-kanak itu belum menjalani pemeriksaan, justeru mereka cenderung meletakkan mereka dalam kelas pendidikan khas dengan alasan mengalami kesukaran dalam pembelajaran.

“Program dalam pendidikan khas kurang sesuai untuk penghidap Disleksia, sebaliknya mereka memerlukan program dan kaedah pembelajaran khusus bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika merasmikan Pusat Persatuan Dyslexia Malaysia kesembilan di Taman Melodies, dekat sini, semalam.

Difahamkan, ada sesetengah sekolah memberi kad Orang Kurang Upaya (OKU) kepada pelajar Disleksia, sedangkan mereka bukan mengalami penyakit yang kronik, tetapi hanya keadaan mereka yang sukar mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bertutur.