Rabu, 18 April 2012

KSSR Grand Continental Langkawi Dan 5 Minit Tips Kurang Stres

Sekalung Tahniah buat semua pembina-pembina kurikulum KSSR Pendidikan Khas Tahun 5 yang sedang memerah otak untuk melahirkan satu dokumen yang akan digunapakai di bilik darjah pendidikan khas. Sempena kurikulum KSSR tahun 5 saya uploadkan 5 Minit Tips Mengurangkan Stres.

LIMA minit bukanlah satu jangka masa yang lama, tetapi ia akan menjadikan kehidupan anda lebih baik dan positif sekiranya anda melakukan perkara yang boleh meningkatkan kegembiraan dan mengurangkan tekanan. Caranya mudah saja ikuti panduan di bawah untuk mendapatkan hasilnya:

Ubah suai tempat tidur anda
Bermula setiap pagi dengan mewujudkan persekitaran tenang di dalam bilik tidur mampu memberikan emosi gembira kepada anda. Penulis buku Kebahagiaan Gretchen Rubin, menulis ramai orang akan mendapat ketenangan apabila melakukannya setiap pagi. Caranya mungkin dengan menghias bilik dengan kuntuman bunga, membuat semburan wangian atau menggantungkan gambar keluarga.
Bawa makanan berkhasiat

Sebelum keluar pada waktu pagi, apa kata anda pergi ke dapur dan ambil buah-buahan seperti pisang, epal dan anggur atau makanan ringan berkhasiat seperti kacang, kismis atau kurma untuk dimakan atau dibawa ke pejabat. Dengan cara ini, apabila perut lapar pada waktu petang anda hanya perlu mencapai makanan dari dalam beg tangan dan bukannya mencari coklat atau biskut di kedai. Sekurang-kurangnya ini dapat meningkatkan tahap kesihatan anda.


Kemas meja

Anda tidak mungkin dapat merevolusikan almari dalam masa lima minit, tetapi anda boleh menguruskan meja supaya kemas, bersih dan teratur. Bersihkan kertas bersepah dan tidak digunakan, cawan berselerak atau habuk pada skrin komputer. Meja yang tidak kemas akan membuatkan anda hilang tumpuan, sekali gus mengurangkan produktiviti. Persekitaran yang baik dan selesa meningkatkan motivasi anda.


Mendengar muzik

Kajian mendapati mendengar muzik bukan saja membantu menenangkan jiwa, tetapi merendahkan tekanan darah dan meningkatkan kegembiraan. Muzik sesuai berkuasa mengubah minda dan sikap. Jadi memuat turun lagu menerusi alat pemain MP3 dan mendengarnya ketika bekerja atau di rumah mampu membuatkan anda tersenyum sepanjang hari.


Menghidu lemon

Penyelidik Jepun mendapati bahan linalool yang terdapat dalam lemon, mempunyai ciri-ciri antiradang dan boleh mengurangkan tekanan manakala wangian selasih, jintan manis dan lavender baik untuk kesihatan.


Buat aktiviti regangan

Mengangkat tangan di kepala serta meluruskan kaki adalah senaman ringkas dan berkesan mengurangkan tekanan. Ini kerana regangan membantu meningkatkan peredaran darah dan mengurangkan tekanan pada otot.


Luahkan apa yang terbuku di hati

Ini boleh dilakukan dengan menulis perkara yang membuatkan anda tertekan. Misalnya tekanan dalam kesesakan lalu lintas, masalah dengan teman sekerja atau kerja yang terlalu banyak. Dengan cara ini dapat mengurangkan masalah anda.


Mematikan peralatan elektronik

Merenung skrin komputer dan elektronik sepanjang hari boleh menyebabkan anda kurang aktif dan tidak bertenaga. Jadi padamkan semua peralatan elektronik seperti telefon dan komputer riba. Ini adalah penting terutamanya membolehkan anda berehat dan bersantai sebelum tidur.


Senarai keutamaan

Kerja anda akan menjadi lebih mudah sekiranya anda menyenaraikan keutamaan. Ini membolehkan anda membuat susunan perkara yang perlu dilakukan dulu dan mengelak berlakunya penangguhan. Membuat senarai dan menyemak setiap tugas juga dapat meningkatkan produktiviti anda.

 
Selamat Bersidang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan