Sabtu, 24 Mac 2012

KEMAHIRAN MEMBACA

Definisi


Membaca adalah salah satu masalah utama yang dihadapi oleh kanak-kanak masalah pembelajaran.  Bacaan juga merupakan sebagai punca utama kegagalan kanak-kanak di sekolah.  Malah dikatakan juga bahawa kegagalan membaca akan membawa kepada perlakuan salah laku, cemas,  kurang motivasi, dan perasaan rendah diri (Mercer, 1992).  Membaca adalah kemahiran yang kompleks dan banyak definisi diberikan untuk  menjelaskan maksud bacaan.  Secara asasnya, membaca mengandungi dua proses  asas, iaitu  ”nyah kod” (decode) dan pemahaman.  Proses nyah kod melibatkan pemahaman  tentang hubungan antara huruf-huruf dan menterjemahkan perkataan tulisan kepada  bentuk yang sama dengan bahasa lisan.  Oleh itu, kemahiran nyah kod membolehkan  seseorang menyebut  perkataan yang ditulis dengan betul.  Manakala poroses pemahaman pula membolehkan  seseorang memahami makna sesuatu perkataan  atau makna perkataan mengikut konteks.


Terdapat banyak definisi yang diberikan untuk menjelaskan maksud bacaan.  Harris dan Sipay (1980) menyifatkan proses membaca sebagai proses untuk memperoleh tafsiran yang bermakna tentang lambang-lambang  bercetak atau bertulis.  Manakala Kenedy (1981) pula mendefinisikan bacaan sebagai  keupayaan  seseorang untuk mengecam  bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan), menghubungkan  bentuk itu dengan bunyi atau makna yang telah diketahui,  dan seterusnya  berasaskan pengalaman lalu, memahami dan mentafsirkan maksudnya (Marohaini Yusoff, 1999). Dua definisi yang diberikan ini sudah cukup untuk menjelaskan bahawa kemahiran membaca adalah  satu proses yang kompleks.

Berdasarkan definisi-definisi membaca yang ditelitinya,  Marohaini Yusoff (1989) telah merumuskan proses membaca seperti berikut:

1.      Perlakuan membaca adalah perlakuan yang  kompleks dan tidak dapat diperhatikan.  Cuma dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam  kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran  memahami apa yang dibaca.

2.      Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan pemahaman   
             selain  pengecaman  dan penyebutan perkataan-perkataan.  Maksudnya,  
             untuk menjadi pembaca yang berkesan, seseorang  itu tidak perlu dapat  
             menyebut  perkataan dengan   betul dan lancar asalkan dia tahu  makna            
             perkataan-perkataan yang dibacanya.

3.      Semasa membaca, seseorang itu perlu berfikir, merasai, dan membayangkan apa yang dibaca.

  1. Seseorang murid itu  mempunyai tujuan, jangkaan,  pengetahuan, dan  pengalaman lalu yang akan  mempengaruhi  apa yang akan dibacanya.

  1. Dalam sesuatu proses bacaan, terdapat susun atur tugasan seperti
      berikut:

a)    mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat..
b)    mengaitkan lambang  atau perkataan dengan  bunyi atau makna.
c)    menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkannya dengan apa yang sedia ada di kepala.
d)    mengumpul dan mencantumkan idea, perkataan,dan ayat sehingga menjadi sebuah idea yang kengkap.
e)    mencuba menghuraikan idea kepada orang lain.

4.      Melihat kepada susun tugas dalam proses membaca, dapatlah dikatakan bahawa membaca adalah satu  proses yang memerlukan pemikiran yang aktif.


Berdasarkan definisi membaca dan rumusan yang dibuat berkaitan dengan proses membaca, dapatlah dimengerti bahawa membaca  adalah kemahiran yang kompleks yang melibatkan beberapa kemahiran lain.

5.1.2     Proses Membaca


Daripada definisi-definisi yang dibincangkan di atas,  ternyata bahawa membaca  adalah  proses yang  kompleks yang  yang terdiri daripada gabungan beberapa proses yang kompleks, iaitu proses sensori (kederiaan), proses pengamatan, proses bahasa (linguistik), dan proses kognitif. Setiap proses memainkan peranan penting dalam proses membaca secara keseluruhan.

i.              Membaca sebagai proses sensori (kederiaan)


Deria atau panca indera adalah pintu masuk berbagai rangsangan ke otak untuk diproses.  Dua deria yang terlibat secara aktif dalam proses membaca adalah penglihatan dan pendengaran.   Kedua-dua deria ini berhubung rapat antara satu sama lain dalam proses membaca. 

a)         Deria penglihatan

Proses membaca berlaku apabila lambang-lambang dilihat dan  disalurkan ke otak untuk diproses bagi mendapat makna sebenar.  Bagi individu yang bermasalah penglihatan  (buta)   deria penglihatan akan  digantikan  dengan  deria sentuhan.

 b)        Deria pendengaran

Seseorang memerlukan pendengaran yang  baik untuk membolehkannya membaca dengan   baik.    Seseorang perlu mendengar dengan  baik mesej yang diterima supaya  ia dapat menghasilkan  semula mesej itu  dengan jelas dan tepat.   Keadaan ini tidak berlaku kepada individu yang mengalami masalah pendengatan.



 ii.         Membaca sebagai proses pengamatan

Pengamatan adalah satu proses menimbulkan makna kepada tugas-tugas panca  indera  berdasarkan pengalaman lalu  dan pengamatan ini berhubung rapat dengan  pemikiran. Dalam bacaan, pengamatan membolehkan seseorang mengenal  dengan  tepat lambang-lambang dan mengaitkannya dengan  bunyi-bunyi dan juga makna.  Pengamatan dalam bacaan adalah seperti (1) mendiskriminasi iaitu mengecam dan juga membezakan, (2)  “figure ground” iaitu mengenal objek-objek, bentuk, atau corak-corak, (3)  ingatan, iaitu mengingat kembali apa yang dilihat atau didengar, dan (4)  turutan, iaitu seperti memahami  giliran dan  urutan.


iii.          Membaca sebagai satu proses bahasa


Bacaan adalah sebagaian daripada kemahiran bahasa (language arts) iaitu yang bermula daripada mendengar, bertutur, membaca, dan seterusnya menulis.  Membaca dapat membantu manusia berkomunikasi dan berhubung sesama mereka  melalui sistem lambang-lambang tulisan yang  mereka cipta.


iv.         Membaca adalah satu proses kognitif

Membaca  bukan hanya melibatkan proses mekanis tetapi juga melibatkan proses  kognitif atau berfikir pada  semua peringkat membaca seperti  mengecam, mendiskriminasi,  dan memaham.  Oleh itu kecerdasan seseorang akan mempengaruhi  kemajuannya dalam  membaca.


Faktor-faktor yang Berkaitan Dengan Membaca

Kesediaan  Membaca

Kesediaan adalah faktor penting sebelum seseorang kanak-kanak menguasai sesuatu kemahiran.  Seorang kanak-kanak tidak boleh terus berjalan sekiranya otot-otot anggota kakinya cukup kuat untuk berdiri dan seterusnya berjalan. Oleh itu bagi menyediakan kanak-kanak berjalan, dia akan memulakan   dengan merangkak, duduk, bangun, berdiri, bertatih, dan barulah berjalan.  Begitu juga
dengan membaca,  seseorang kanak-kanak harus mempunyai keadaan perkembangan  yang diperlukan terlebih dahulu sebelum  kemahiran membaca diperkenalkan  diajar kepadanya.

Kebolehan membaca kanak-kanak wujud sekiranya kanak-kanak itu memahami dan bertindak secara bersesuaian  apabila melihat perkataan-perkataan yang ditulis.  Maksudnya kanak-kanak mesti berkeupayaan memahami konsep iaitu (1)  semua “benda” mempunyai nama, (2)  nama benda boleh  ditulis dalam perkataan, (3) , kedua-duanya saling bertukar, dan (4)  simbol-simbol perkataan boleh dibaca (Mechado, 1985).

Kanak-kanak boleh cepat membaca sekiranya mereka hidup dalam persekitaran yang intelektual yang sentiasa  berfaedah dengan tulisan seperti buku, surat khabar, dan sebagainya, kanak-kanak yang kaya dengan pengalaman persekitaran seperti ke pasar raya, ke pameran atau   ke pusat-pusat peranginan, dan  juga kanak-kanak mempunyai banyak peluang untuk berinteraksi dengan orang lain.

Faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan membaca kanak-kanak adalah:

i.              keadaan fizikal
ii.            pengalaman dan persekitaran
iii.           emosi, motivasi, dan sahsiah
iv.           kecerdasan
v.            pengamatan
vi.           penguasaan bahasa


Keadaan fizikal merujuk kepada keadaan mata, telinga, dan organ pertuturan yang sempurna.

Persekitaran yang intelektual yang memberi pengalaman-pengalaman bermakna akan dapat  merangsang otak dan menimbulkan minat membaca.  misalnya mendengar cerita,  lawatan ke perpustakaan atau ke kedai buku,  ibu bapa yang kerap berbual dengan anak mereka, dan sebagainya.

Keadaan rumah tangga yang dan cara asuhan akan  mempengaruhi  perkembangan emosi, motivasi, dan sahsiah kanak-kanak.  Dorongan yang diberikan oleh ibu  bapa boleh mempengaruhi sikap membaca kanak-kanak.

Kecerdasan dan perkembangan kognitif kanak-kanak sangat mempengaruhi kemahiran membaca kanak-kanak.  Kanak-kanak yang cerdas akan dapat menguasai kemahiran membaca dengan lebih cepat berbanding dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

Kemahiran membaca memerlukan keupayaan  pengamatan yang kuat, iaitu daya  diskriminasi  penglihatan dan diskriminasi pendengaran.  Semasa membaca kanak-kanak perlu mendiskriminasi huruf dan juga mendiskriminasi bunyi-bunyi huruf.

Kanak-kanak yang menguasai bahasa dengan baik akan dapat belajar kemahiran  membaca dengan cepat dan dapat membaca dengan baik kerana bahasa adalah alat manusia melahirkan fikiran, perasaan, kehendak ,dan sebagainya  semasa berkomunikasi.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan juga guru untuk memastikan kanak-kanak sudah mempunyai kesediaan membaca yang mencukupi sebelum mula mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak.

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kebolehan Membaca


Kemahiran  membaca adalah satu proses kognitif yang kompleks.  Oleh itu faktor-faktor yang mempengaruhi kemahiran membaca juga adalah rumit dan saling mempengaruhi.  Kesedaran tentang faktor-faktor yang mempengaruhi bacaan ini akan dapat membantu guru   merancang pengajaran bacaan untuk murid-muridnya.  Menurut Marohaini Yusoff (1999) faktor yang mempengaruhi bacaan terbahagi kepada dua kategori besar, iaitu:

i.              faktor yang ada pada diri murid atau pembaca
ii.            faktor yang ada pada bahan bacaan.

Peringkat-peringkat Mengajar Bacaan


Pengajaran bacaan yang dijalankan boleh guru bahasa tertumpu kepada dua kemahiran iaitu bacaan secara kuat (bacaan mekanis) dan bacaan secara senyap (bacaan mentalis/akaliah). Kemahiran membaca kuat lebih menumpukan kepada kemahiran sebutan, intonasi, dan gaya membaca (membaca berita).  Manakala bacaan senyap merupakan kemahiran membaca untuk memaham dan juga kepantasan membaca  petikan sesuatu bahan.

Mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak hendaklah dibuat secara berperingkat-peringkat supaya  mereka dapat menguasai kemahiran membaca dengan baik.  Kamarudin Hj. Husin (1988)  membahagikan pengajaran  bacaan kepada lima peringkat:

i.              peringkat menyediakan murid
ii.            peringkat mendirikan  asas
iii.           peringkat melatih  membaca dan memaham
iv.           peringkat melatih membaca untuk hiburan atau mencari maklumat
v.            peringkat membina dan mengukuhkan  sikap gemar membaca.


Apabila kanak-kanak memasuki tahun  satu persekolahan, guru perlu menyiasat terlebih dahulu tahap kesediaan murid terutamanya penguasaan bahasa dan juga emosi murid.  Pengetahuan guru tentang tahap kesediaan membaca murid dan juga kemahiran  sedia ada murid akan dapat membantu guru untuk menyediakan murid bagi pelajaran membaca. 

Peringkat mendirikan asas  bacaan sangat penting dalam pengajaran kemahiran membaca kepada  murid-murid.  Pada peringkat ini guru perlu menggunakan  pelbagai alat bantu mengajar  dan juga bahan bacaan yang sesuai. Bahan bacaan yang digunakan hendaklah ringkas, menarik, dan bermakna.  Kemahiran asas bacaan bermula dengan mengenal abjad, suku kata, perkataan, frasa, dan seterusnya ayat.  Pada peringkat ini juga galakan dan dorongan perlu diberikan  kepada murid secara berterusan.

Peringkat seterusnya adalah melatih membaca dan memaham.   Pada peringkat ini bahan bacaan yang digunakan hendaklah dipilih dengan baik.  Selain menekankan aspek sebutan dan kelancaran, guru juga mula menekankan aspek  pemahaman.  Kebiasaan murid membaca nyaring boleh dikurangkan kepada bacaan senyap secara beransur-ansur. Soalan-soalan guru  berkaitan bahan yang dibaca akan membantu murid membina kemahiran memaham.

Setelah kanak-kanak sudah boleh membaca dengan lancar dan seterusnya memahami isi bahan yang dibaca, mereka akan menggunakan kemahiran ini untuk memilih bahan bacaan lain untuk mencari maklumat dan juga untuk mengisi masa lapang.  Guru boleh membantu kanak-kanak dengan mengajar mereka kemahiran mencari maklumat di pusat sumber dan juga internet.

Akhir sekali adalah peringkat membina sikap suka membaca.  Sikap  suka membaca hendaklah dipupuk di peringkat sekolah lagi supaya sebati dengan jiwa kanak-kanak.  Kebiasaannya sekolah kerap mengadakan pertandingan membaca, pameran buku, peraduan mengarang, dan sebagainya.

Pemulihan  Bacaan

Menguji Kemahiran Membaca

Membaca adalah salah satu kemahiran bahasa yang penting dikuasai oleh kanak-kanak supaya mereka dapat mencapai kemajuan dalam pelajaran dan juga kualiti kehidupan mereka.  Sebab itulah sekiranya seorang murid gagal membaca dengan baik selalunya dikaitkan  dengan kegagalan pengajaran guru dan juga pendidikan di sekolah berkenaan. Sebab itu guru perlu didedahkan kepada alat, kaedah dan teknik menguji kemahiran bacaan terutamanya ujian bacaan  secara diagnostik. Ujian diagnostik bacaan akan dapat membantu guru mengesan kesukaran-kesukaran khusus bacaan murid.

Ujian bacaan perlu diberikan kepada murid supaya guru dapat mengesan secara objektif kesukaran-kesukaran  yang dihadapi oleh murid dalam proses membaca.  Bermula dari sinilah guru akan dapat merancang aktiviti-aktiviti pengajaran pemulihan bacaan.  Murid yang bermasalah dalam bacaan tidak boleh dibiarkan berterusan dengan masalah membacanya kerana akan memberi kesan terhadap pencapaiannya dalam pelajaran secara keseluruhan.

Ujian bacaan hendaklah dijalankan secara berterusan supaya maklumat yang diperolehi dapat memberi gambaran sebenar kelemahan murid.  Masalah bacaan sebenar murid penting supaya guru dapat  menilai semula rancangan pemulihan bacaan dan boleh membantu guru menentukan objektif pengajaran bacaan seterusnya.  Kaedah dan teknik mengajar membaca perlu dipelbagaikan bagi mengelak kebosanan.


5.3.2   Ujian Bacaan Nyaring

Terdapat berbagai-bagai jenis ujian bacaan yang boleh dilaksanakan guru kepada murid-muridnya. Namun begitu ujian  bacaan nyaring merupakan langkah pertama untuk mengesan kesukaran-kesukaran secara khusus dalam bacaan secara diagnostik.  Berdasarkan kajian-kajian lepas, Abdul Aziz Talib (1989) telah menyenaraikan kesukaran-kesukaran dalam  kawasan-kawasan  yang perlu ditubuhkan dalam sesebuah ujian bacaan:

1.  Peringkat huruf (abjad)

a)    Huruf kecil (a-z)

i.              mengenal bentuk huruf
ii.            mengenal nama huruf
iii.           mengenal bunyi huruf
 
b)    Huruf besar (A-Z)

i.              mengenal bentuk huruf
ii.            mengenal nama huruf
iii.           mengenal  bunyi huruf

c)    memadan huruf besar-huruf kecil

d)    Diskriminasi penglihatan

i.              huruf-huruf yang berdekatan bentuk
ii.            huruf besar dalam  perkataan
iii.           huruf-huruf kecil dalam perkataan

e)    Diskriminasi pendengaran

     Huruf-huruf yang berdekatan bunyi foniknya

f)     Pembalikan huruf (reversals)

i.              huruf besar
ii.            huruf kecil

2.  Peringkat Perkataan

            a)  membatang suku kata terbuka
           b)  membatang suku kata tertutup
            c)  membatang suku kata yang mempunyai gugusan konsonan

3.  Peringkat Perkataan

a)  pembalikan perkataan
b)  membezakan bunyi fonem /e/ dan /a/ dalam perkataan
c)  membatang dan mencantumkan suku kata-suku kata terbuka dalam
     perkataan
c)  Membatang dan mencantumkan suku kata-suku kata tertutup dalam
     perkataan
d)  Membatang dan mencantumkan suku kata-suku kata yang
     mengandungi gugusan konsonan dalam perkataan
f)   Kekeliruan antara ejaan dan sistem bunyi Bahasa Melayu dan Bahasa
     Inggeris dalam perkataan
g)  Menyebut perkataan dasar dan perkataan berimbuhan

4.  Peringkat Frasa

     Membaca frasa-frasa sebagai satu unit makna/pemikiran.

5.  Peringkat Ayat

            a)  Membaca ayat-ayat  pendek
            b) membaca ayat-ayat panjang

Daerah-daerah kesukaran yang disenaraikan di atas hendaklah diuji melalui item-item soalan yang dibina oleh guru yang dibina secara berasingan. Guru boleh menggunakan kad-kad ujian bagi setiap daerah kesukaran yang hendak diuji dan tidak perlu dijalankan serentak bagi kesemua tajuk.

Dalam ujian bacaan nyaring, murid  diminta membaca petikan dengan kuat dan guru merekod kesalahan –kesalahan yang dilakukan  murid.  Abdul Aziz Talib (1989) menyenaraikan jenis kesilapan yang perlu direkod seperti berikut:

a)    membuang/meninggalkan (omission) – bunyi huruf/perkataan /imbuhan yang ditinggalkan
b)    Ulangan (repetition) -  mengulang-ulang perkataan/suku kata
c)    Gantian (substitute)  -  bunyi huruf/perkataan diubahgantikan
d)    Tambahan (insertion) – bunyi huruf/imbuhan/perkataan ditambah
e)    Pembalikan (reversals) -  huruf/perkataan/frasa dibaca secara terbalik/songsang.


Kesalahan-kesalahan di atas boleh mengubah makna perkataan atau ayat yang dibaca dan perlu diberi perhatian oleh guru untuk mengatasinya.  Selain  itu, guru juga perlu merekodkan masalah-masalah atau tingkah laku yang ditunjukkan semasa murid membaca, iaitu:

a)    membatang suku kata terlebih dahulu
b)    bacaan tersekat-sekat iaitu perkataan demi perkataan
c)    membaca terlampau cepat atau gopoh tanpa menghiraukan  tanda bacaan
d)    membaca terlampau lambat atau merangkak-rangkak
e)    tidak boleh membaca langsung.

Maklumat lain yang perlu direkodkan guru adalah sekiranya murid mempunyai kecacatan yang boleh menjejas bacaannya seperti gagap, sengau, pelat, telor, masalah penglihatan, dan masalah pendengaran.

Latihan:

 Bincanhgkan bagaimana bacaan ujian nyaring boleh membantu guru mengetahui tahap penguasaan lisan kanak-kanak?


5.3.3    Prinsip-prinsip pengajaran Pemulihan Bacaan

Segala maklumat yang guru perolehi membolehkannnya merancang rancangan pengajaran pemulihan bacaan untuk muridnya. Margaret  et.al., 1989) telah menyarankan beberapa prinsip pengajaran pemulihan bacaan  yang boleh dijadikan pegangan oleh guru dalam membantu muridnya membaca.

Guru haruslah memulakan pengajaran pada tahap yang sesuai.  Keputusan ujian diagnostik bacaan dapat membantu guru mengenal pasti daerah kelemahan dan tahap  bacaan murid. 

Murid perlu diberi tangungjawab terhadap pembelajaran mereka.  Murid akan dapat belajar dengan lebih baik sekiranya mereka terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Gunakan bacaan nyaring dan bacaan senyap mengikut kesesuaian.  Gunakan setiap jenis bacaan ini mengikut keperluan murid.  Bacaan senyap sangat berkesan untuk mengajar murid mengawal proses bacaan mereka sendiri.  Manakala bacaan nyaring pula sangat berkesan untuk meningkatkan kemahiran sebutan dan kelancaran bacaan.


Latihan:

Guru dapat mengesan kelemahan bacaan muridnya melalui pemerhatiannya di dalam proses pengajaran bacaan di dalam kelas. Jelaskan petunjukp-petunjuk yang guru perhatikan  untuk  mengetahui kelemahan bacaan muridnya?


 Komponen Pengajaran Pemulihan Bacaan

Sepanjang sesi pengajaran bacaan guru disarankan  mengikut langkah-langkah pengajaran yang meliputi komponen-komponen bacaan berikut:



                                             Komponen-komponen
                                             Pengajaran Bacaan







 

Bacaan peringkat                 Pengajaran               Menyemak                 Bacaan
pengajaran                           berfokus                    semula                       bebas



Bacaan peringkat pengajaran bermaksud murid membaca bahan bacaan mengikut tahap pembelajaran mereka.  Di sini mereka akan menjumpai perkataan-perkataan baru  dan juga konsep-konsep baru di bawah bimbingan guru yang akan membantu menyelesaikan masalah dan juga membantu mereka menguasai bahan bacaan dengan baik.

Pengajaran berfokus dilaksanakan bergantung kepada keperluan murid. Guru mungkin akan memperuntukkan sedikit masa untuk membantiu murid tertentu membaca dengan memberi fokus kepada aspek tertentu dalam bacaan.  Cara ini akan membantu murid memfokus kepada aspek bacaan yang mereka hadapi kesukaran.

Menyemak atau meneliti semula dilakukan untuk membantu murid untuk mengingat semula perkara yang telah dipelajarinya. Sedikit masa yang diperuntukkan digunakan untuk mengingat semula seperti makna perkataan  dan bahan bacaan yang telah dipelajari sebelum itu.

Bacaan bebas  adalah untuk membentuk sikap membaca yang kekal, iaitu murid mendapati membaca dapat memberi maklumat, dan menyeronokkan.  Pada peringkat ini murid digalakkan memilih bahan bacaan mereka mengikut tahap bacaan bebas mereka iaitu dapat membaca sendiri tanpa bimbingan guru.

Latihan:

Pada pendapat anda apakah aktiviti pengajaran bacaan yang sesuai digunakan oleh guru bagi setiap peringkat bacaan?


Kesimpulan

Kemahiran membaca sangat penting dikuasai oleh kanak-kanak kerana melalui pembacaan mereka dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam pelajaran, meluaskan pengetahuan, mencari dan mengumpul maklumat-maklumat yang diperlukan dan lain-lain lagi.  Guru memainkan peranan penting dalam mengajar kanak-kanak kemahiran membaca.  Oleh itu guru perlu nmenggunakan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran bacaan supaya kemahiran membaca dapat dikuasai dengan baik.  Ujian-ujian pemahaman bacaan perlu dijalankan secara berterusan bagi mengetahui dan  mamantau pencapaian murid dalam bacaan.


Rumusan

1.  Secara asasnya, membaca mengandungi dua proses  asas, iaitu  ”nyah kod”   
     (decode) dan pemahaman.

2.  Proses nyah kod melibatkan pemahaman  tentang hubungan antara huruf-
     huruf dan menterjemahkan perkataan tulisan kepada  bentuk yang sama
     dengan bahasa lisan.

3.  Manakala poroses pemahaman pula membolehkan  seseorang memahami
     makna sesuatu perkataan  atau makna perkataan mengikut konteks.

4.  Membaca  adalah  proses yang  kompleks yang  yang terdiri daripada
     gabungan beberapa proses yang kompleks, iaitu proses sensori (kederiaan),
     proses pengamatan, proses bahasa (linguistik), dan proses kognitif.

5.  Seseorang kanak-kanak harus mempunyai keadaan perkembangan  yang
     diperlukan terlebih dahulu sebelum  kemahiran membaca diperkenalkan 
     diajar kepadanya.

6.  Faktor yang mempengaruhi bacaan terbahagi kepada dua kategori besar,
     iaitu (1) faktor yang ada pada diri murid atau pembaca dan (2) faktor yang
     ada pada bahan bacaan.

7.  Kamarudin Hj. Husin (1988)  membahagikan pengajaran  bacaan kepada lima
     Peringkat, iaitu menyediakan murid,  mendirikan  asas, melatih  membaca
     dan memaham, melatih membaca untuk hiburan atau mencari maklumat, dan  
     peringkat membina dan mengukuhkan  sikap gemar membaca.

8.  Ujian bacaan perlu diberikan kepada murid supaya guru dapat mengesan
     secara objektif kesukaran-kesukaran  yang dihadapi oleh murid dalam proses 
     membaca.

9.  ujian  bacaan nyaring merupakan langkah pertama untuk mengesan
       kesukaran-kesukaran secara khusus dalam bacaan secara diagnostik.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan