Sabtu, 14 Mac 2009

Dari Swiss Garden Sandakan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar semua pendokong pendidikan khas. Semalam saya bertemu dan mengeratkan lagi silaturrahim dengan keluarga baru pencinta pendidikan khas. Seramai 96 orang guru dari Sandakan, Kinabatangan ,Beluran dan beberapa tempat lagi yang sukar diingat nama tempatnya. Sehari saya menyampaikan ceramah,motivasi, bengkel dan soal jawab menjurus kepada Disleksia dan Pendidikan pemulihan Khas. Dapat juga dikesan kedapatan guru-guru yang tidak pernah mendengar perkataan disleksia dan gugur juga setitis dua air mata kekesalan akibat salah mendidik disebabkan kekurangan ilmu dalam bidang ini. Terkejut juga saya apabila guru-guru pendidikan khas di sini yang masih belum mengetahui peranan NGO seperti Pemulihan Dalam Komuniti ( PDK ). Ini menyebabkan ada anak-anak murid pendidikan khas yang tidak boleh mengurus diri masih berada dikelas mereka. Mungkin pendedahan dan kolaborasi tentang peranan antara satu sama lain tidak didedahkan. Bagi saya program kali ini adalah langkah pengenalan dan kursus-kursus berterusan mengenai pendidikan khas yang mencakupi beberapa kategori kecacatan lain perlu diadakan. Jemputan-jemputan lisan dari beberapa buah sekolah untuk sekali lagi saya hadir menggambarkan betapa mereka dahagakan ilmu khususnya dalam pendidikan khas. Sekejap lagi saya akan chek out dari Swiss Garden ini untuk ke Airport Sandakan. Flight jam 2.00 petang menuju ke KK untuk transit sebelum meneruskan perjalanan ke KLIA pada jam 7.15 malam nanti. Meskipun saya jangka untuk sampai di Ipoh sekitar jam 5.00 pagi esok tetapi kuliah untuk anak didik Pendidikan Khas OUM pada jam 8.00 pagi akan tetap diteruskan. Semuanya kerana demi cinta ini kepada Pendidikan Khas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan