Jumaat, 13 Februari 2009

RANCANGAN PENGAJARAN INDIVIDU (RPI)

1.0 PENGENALAN
1.1 Definisi dan Konsep
Rancangan Pendidikan Individu ( RPI ) adalah satu program yang berkaitan dengan Pendidikan Khas dan perkhidmatan yang dibentuk khusus bagi memenuhi keperluan pembelajaran murid dengan keperluan khas. Program ini dibentuk dalam beberapa siri mesyuarat dalam bentuk rancangan setiap murid.
Menurut Hallahan dan Kauffman ( 1977 ), RPI adalah satu perjanjian bertulis antara ibu bapa dan pihak sekolah tentang keperluan-keperluan murid dan cara bagaimana keperluan-keperluan itu dapat dipenuhi. Dari segi pelaksanaan, RPI adalah kontrak tentang perkhidmatan-perkhidmatan yang perlu disediakan untuk murid itu. Manakala menurut Bender W.N ( 1995 ) pula, RPI adalah satu program pengajaran berasaskan penilaian pelbagai disiplin dan direka bagi memenuhi keperluan-keperluan individu murid kurang upaya.
Rancangan Pendidikan Individu dibentuk oleh satu jawatankuasa yang melibatkan pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan juga murid itu sendiri jika difikirkan sesuai. Rancangan Pendidikan Individu ini mengandungi matlamat dan objektif berdasarkan pencapaian sedia ada bagi murid dengan keperluan khas itu. Matlamat dan objektif ini dibentuk oleh mereka yang terlibat dalam perancangan dan penyediaan perkhidmatan. RPI juga menentukan penempatan pendidikan yang diperlukan bagi mencapai matlamat dan objektif. Di dalam RPI dinyatakan juga tarikh perkhidmatan diberi, jangka masa pelaksanaan dan corak penilaian bagi menentukan pencapaian murid.
Dengan RPI, ibu bapa dan guru dapat bekerjasama dalam beberapa aspek seperti menentukan keperluan pembelajaran murid, keperluan bagi mencapai keperluan itu dan hasil pembelajaran yang dijangkakan. RPI disemak dan diteliti apabila berlaku perubahan dalam keperluan pembelajaran murid.
Penulisan RPI adalah komitmen pihak sekolah bagi menyediakan sumber-sumber yang diperlukan dan dipersetujui bersama. Dengan adanya RPI, pencapaian murid dapat dilihat dengan jelas dan dapat bertindak sebagai penilaian bagi murid ituu dalam mencapai matlamat objektif. Di samping itu, RPI juga adalah satu titik pertemuan bagi menyelesaikan isu yang mungkin timbul dengan wujudnya kesepakatan antara pelbagai pihak.

1.2 Ciri-ciri Rancangan Pendidikan Individu ( RPI )
Rancangan Pendidikan Individu yang dibentuk perlu mengandungi ciri-ciri berikut :
a) Komprehensif
RPI merangkumi aspek ketidakupayaan murid, termasuk aspek komunikasi, tingkah
laku, sosial, pengurusan diri, akademik, kemahiran motor kasar dan koordinasi motor-
tangan, kemahiran vokasional dan transisi, perkhidmatan yang berkaitan penempatan
yang diperlukan sama ada di program biasa, vokasional ataupun pendidikan khas.
b) Spesifik
Matlamat dan objektif bagi RPI dinyatakan dalam bentuk tingkah laku yang dapat
diperhatikan dan diukur.
c) Mengikut urutan
RPI dibentuk berdasarkan urutan perkembangan dan fungsi kemahiran.


d) Realistik dan sesuai
Matlamat dan objektif yang dinyatakn dalam RPI perlu sesuai dengan tahap fungsi dan
kadar perkembagan sedia ada setiap murid.
e) Difahami
RPI direkodkan dengan menggunakan bahasa yang difahami oleh para profesional dan
juga ibubapa dan dapat menjejaskan apa yang perlu diketahui.
f) Dipersetujui
RPI adalah program yang dipersetuujui ibubapa, guru, murid dan professional lain
yang terlibat.

1.3 Pembentukan Rancangan Pendidikan Individu ( RPI )
RPI perlu dibentuk bagi setiap murid dengan keperluan khas dalam tempoh 30 hari ataupun satu bulan dari tarikh murid itu ditentukan ketidakupayaannya. Pembentukan RPI perlu dilakukan sebelum penempatan sebenar dilakukan, dan sebelum murid itu menerima sebarang perkhidmatan ataupun diberi pendidikan khas. Semua RPI perlu disemak dan dikaji sekurang-kurangnya setahun sekali oleh jawatankuasa RPI tetapi ibubapa dan guru dapat memohon supaya semakan dilakukan dengan lebih kerap.

1.4 Elemen RPI
a) Kerjasama
Berkerja dalam kumpulan merupakan elemen penting dalam RPI. RPI dirangka oleh sekumpulan individu yang terlibat secara langsung dengan pendidikan dan kebajikan murid berkenaan. Oleh itu, ibu bapa dan guru merupakan orang yang sangat penting dalam proses ini.

b) Berkongsi Maklumat
Perancangan RPI mesti berdasarkan kepada maklumat yang dikumpul daripada individu yang mempunyai hubungan rapat dengan murid. Maklumat ini mesti dikongsi bersama dan menjadi asas kepada keputusan untuk membina perancangan pendidikan yang akan dibuat.

c) Keputusan Bersama
Ibu bapa dan golongan profesional bekerjasama untuk menyediakan RPI. Mereka perlu membuat keputusan bersama untuk menentukan apa yang diperlukan oleh murid berkenaan dan bagaimana RPI dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

d) Kebolehpercayaan
Objektif pengajaran dan prosedur penilaian perlu diterangkan dalam RPI. RPI juga perlu dibuat semakan pemantauan dan penilaian dari semasa ke semasa.

e) Dokumentasi
RPI perlu didokumentasi bagi tujuan rujukan dan panduan semua pihak.

f) Proses dan hasil
RPI merupakan proses yang meliputi aktiviti bagi memastikan program pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkesan untuk murid berkenaan.

1.5 Jawatankuasa Pembentukan RPI
Jawatankuasa Rancangan Pendidikan Individu perlu sekurang-kurangnya terdiri daripada:
a) Pentadbir sekolah
Wakil pihak sekolah selain daripada guru murid itu, yang berkelayakan bagi menyediakan perkhidmatan yang diperlukan berdasarkan keperluan pembelajaran murid,juga berkelayakan memantau pelaksanaan program.
b) Guru
Pada peringkat permulaan, kemungkinan guru itu bukan guru bagi murid terlibat kerana murid itu belum mempunyai gurunya sendiri. Oleh itu, guru yang sesuai adalah guru yang berkelayakan mengikut tahap umur murid.
c) Ibubapa ataupun penjaga murid
Ibu bapa ataupun penjaga perlu diberi peluang melibatkan diri dalam pembentukan dan perkembangan RPI anak mereka. Sekiranya kerjasama ibubapa sukar diperoleh, jawatankuasa yang lain perlu terus membentuk RPI yang sesuai.
d) Murid dengan keperluan khas
Murid dengan keperluan khas itu sendiri sepatutnya melibatkan diri dalam membentuk RPI terutamanya di peringkat sekolah menengah yang melibatkan proses transisi. Ini kerana fungsi RPI adalah untuk memenuhi keperluan unik murid itu sendiri. Walaubagaimanapun, sekiranya murid itu dianggap kurang sesuai untuk bersama-sama dalam pembentukan ini disebabkan ketidakupayaan yang dialaminya, jawatankuasa yang lain perlu terus membentuk RPI yang sesuai dengan murid itu.
Pada peringkat permulaan pembentukan RPI juga, jawatankuasa perlu melibatkan pihak yang terlibat dalam aspek penilaian ataupun orang yang mempunyai pengetahuan dalam prosedur penlaian yang dijalankan terhadap murid dengan keperluan khas.
Program transisi turut perlu dimasukkan dalam RPI bagi murid yang berumur 14 tahun ke atas, ataupun lebih muda sekiranya sesuai. Sehubungan itu, murid itu dan juga agensi yang berkaitan dengan perkhidmatan bagi orang dewasa perlu dilibatkan. Peluang perlu diberi kepada murid bagi membolehkan memilih rancangan transisi dan perkhidmatan yang diperlukan. Dalam semua perjumpaan, pihak sekolah perlu memastikan ibu bapa memahami apa yang dirancang bagi anak mereka.
Ahli Jawatankuasa lain yang sewajarnya turut dilibatkan dalam perjumpaan bagi membentuk Rancangan Pendidikan Individu adalah:-
a) Ahli Fisioterapi
b) Ahli terapi cara kerja
c) Patologi Pertuturan Bahasa
d) Kaunselor
e) Agensi Pemulihan
f) Guru Kelas Biasa
g) Guru Vokasional

1.6 Proses RPI
Di antara proses RPI yang terlibat seperti :-
a) Merujuk pihak terlibat
- Guru Khas
- Guru matapelajaran
- Ibubapa / keluarga
- Pentadbir sekolah
- Pengamal perubatan
- Jurupulih pertuturan
- Jurupulih anggota
- Ahli Psikologi Pendidikan
- Kaunselor
- Pihak-pihak lain
b) Mengumpul maklumat
c) Mengadakan mesyuarat
d) Membina rancangan bertulis
e) Menjalankan apa yang dirancang
f) Menilai pembelajaran yang telah dijalankan

1.7 Semakan RPI
Semakan bagi RPI perlu dilakukan dari semasa ke semasa apabila berlakunya
perubahan dalam perkhidmatan yang diberi, penambahan ataupun perubahan matlamat dan objektif, penambahan atau penamatan perkhidmatan, penambahan ataupun perubahan penempatan dan perubahan penyertaan murid dalam aktiviti pendidikan. Persetujuan ibu bapa perlu diperoleh bagi sebarang perubahan, penempatan ataupun penambahan perkhidmatan.

1.8 Kepentingan RPI
RPI membolehkan murid mengikut program pendidikan yang dirancangkan sama
ada yang telah diadaptasi atau dimodifikasi dengan lebih berkesan. Dalam konteks ini, RPI bertujuan untuk menyimpan rekod dalam aspek-aspek berikut :-
a) jenis modifikasi dan adaptasi yang dibuat ke atas kurikulum asal
b) perkara yang perlu dipelajari oleh murid
c) jenis strategi dan teknik pengajaran yang perlu digunakan
d) penilaian pencapaian kemahiran

1.9 Kebaikan Proses RPI
Proses RPI dapat memberi kebaikan kepada:-
1.8.1 Murid
a) setiap perancangan pendidikan digubal bertujuan membantu murid dalam proses
pembelajaran.
b) memberi peluang untuk terlibat dalm program pembelajaran yang dirangka c) menjadikan matlamat dan objektif lebih jelas

1.8.2 Guru
a) menerangkan peranan dan tugas mereka dengan jelas
b) memberi peluang untuk mendapatkan maklumat tentang murid
c) menyediakan forum untuk mendapatkan pandangan, bantuan resos, sokongan dan perkhidmatan daripada pihak yang berkenaan.
d) Menyediakan dokumentasi bagi tujuan kesinambungan amalan dalam segala aspek perkhidmatan yang disediakan dan resos yang diperlukan
e) Menyediakan bantuan dalam menyelesikan masalah
f) Mendapatkan maklumat yang tepat daripada mereka yang berhubung dengan murid.


2.0 PENYEDIAAN DAN PELAKSANAAN RPI
Penyediaan RPI memberi peluang kepada semua pihak yang terlibat dengan murid berkeperluan khas untuk sama-sama merancang program yang paling sesuai untuk murid berkenaan.

2.1 Rujukan Pihak Yang Terlibat
Pada peringkat ini hubungan komunikasi yang baik perlu diwujudkan :
· antara guru
· antara ibu bapa dan sekolah
· antara sekolah dan agensi luar yang berkaitan

2.2 Pengumpulan Data
Mengumpul segala maklumat berkaitan dengan kekuatan, kelemahan dan keperluan murid yang boleh membantu proses pengajaran dan pembelajaran.

Maklumat dikumpul melalui :
· borang biodata murid
· sejarah hidup termasuk aspek kesihatan dan perkembangan
· borang kaji selidik akademik
· ujian diagnostik
· pemerhatian ke atas murid

Perkara yang perlu diberi perhatian dalam proses pengumpulan maklumat ini ialah :
· cara mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan murid
· individu yang akan mengumpul maklumat berkenaan
· jenis bantuan yang diperlukan dalam proses mengumpul maklumat
· sejauhmana penglibatan murid
· sejauhmana penglibatan ibu bapa
· sejauhmana penglibatan khidmat sokongan

Maklumat yang terkumpul hendaklah dianalisis, dirumus dan dicatat dalam borang rumusan data awal sebagai panduan semasa sesi mesyuarat ahli jawatankuasa RPI.

2.3 Mesyuarat
Mesyuarat RPI mempunyai dua fungsi utama, iaitu :

2.3.1 Aspek Tugasan
· berkongsi maklumat
· menyediakan matlamat dan objektif
· menyenaraikan strategi pengajaran
· membahagikan tugas kepada individu yang terlibat dalam pengajaran
· menyediakan kriteria penilaian
· menetapkan tarikh penilaian / semakan semula

2.3.2 Tanggungjawab
· pastikan setiap orang berpeluang untuk mengeluarkan pendapat
· menerima pendapat dan persepsi daripada orang lain
· menghormati setiap orang tanpa mengira pangkat dan jawatan

Dalam peringkat ini, perkara-perkara berikut perlu dilakukan :
· Wujudkan jawatankuasa
· Mengedar maklumat yang diperolehi kepada semua ahli yang terlibat
· Mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Guru Besar atau salah seorang dari Guru Penolong Kanan di sekolah.

2.4 Penyediaan RPI
Bahagian penting dalam proses pembinaan RPI ialah pendokumentasian. Perlu diingat bahawa dalam pendokumentasian RPI, tidak ada format khusus yang harus diikut.

Penulisan RPI perlu mempunyai komponen-komponen berikut :
· Objektif yang khusus untuk murid
· Strategi pengajaran yang terperinci
· Profesional atau individu yang akan bertanggungjawab terhadap tugas berkenaan.
· Resos yang diperlukan untuk mencapai objektif.
· Prosedur penilaian yang terperinci.

2.5 Pelaksanaan
Dalam peringkat ini, segala resos dan kemudahan bantuan perlu disedia, diselaras dan dipantau untuk membantu pencapaian pengajaran guru.
Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ialah :
· penyelarasan penggunaannya.
· mengenalpasti individu yang bertanggungjawab tentang pelaksanaan
· penyelarasan program
· bantuan dan sokongan kepada guru.
· pemantauan dan penilaian program.

2.6 Penilaian
Pada peringkat ini, mesyuarat penilaian perlu dibuat. Maklumat tentang pencapaian dan perkembangan murid dikumpul dan diedarkan kepada ahli. Maklumat yang tepat tentang pencapaian dan perkembangan murid perlu dibentang oleh guru. Segala maklumat ini perlu dibincang bersama oleh ahli jawatankuasa bagi tujuan pemantauan. Jika perlu, strategi yang lain boleh dirangka untuk mencapai objektif yang dirancang. Sekiranya objektif dan matlamat telah dicapai, program perancangan yang seterusnya perlu dirangka sesuai dengan matlamat berikutnya.

2.7 Penulisan RPI
Setiap dokumen RPI harus mengandungi perkara-perkara berikut :

1
Jawatankuasa
· guru besar
· guru khas
· ibu bapa
· para profesional dll.

2
Matlamat
· jangka panjang
· jangka pendek

3
Pencapaian Murid
· jangka masa untuk mencapai objektif
· pilih bidang-bidang yang penting sahaja
· tumpu kepada satu atau dua perkara pada satu-satu masa.

4
Objektif
· objektif merupakan pencapaian sasaran dalam jangka masa yang ditetapkan
· objektif perlu dinyatakan dengan terperinci dan tepat
· objektif-objektif hendaklah disenaraikan menurut keutamaan.
5
Prosedur dan Kriteria Penilaian
· kriteria Penilaian boleh juga dijadikan sebagai sebahagian daripada objektif

6
Strategi Pengajaran
· bahagian ini menentukan murid dapat mencapai objektif pengajaran
· perlu ditulis oleh AJK yang terlibat dengan penggubalan RPI.


7
Resos
· guru perlu memastikan resos ini tersedia pada waktunya. RPI juga perlu menyatakan dengan jelas objektif yang akan dicapai dan resos yang akan digunakan, seterusnya bagaimana resos itu dapat digunakan untuk mencapai objektif berkenaan.

8
Orang yang Bertanggungjawab
· menyatakan individu yang bertanggungjawab untuk memastikan murid mencapai objektif pembelajaran.
9
Inklusif
· harus dijelaskan jangka masa dan sebab-sebab mengapa murid-murid berkenaan diinklusif ke kelas biasa

10
Catatan
· digunakan untuk ulasan penulis atau pihak-pihak yang berkaitan
· digunakan sebagai rekod
· digunakan untuk mencatat penggunaan resos
· ditulis selepas penilaian dijalankan



3.0 PENUTUP
Kesimpulannya, Rancangan Pendidikan Individu menumpukan kepada perancangan, penyediaan dan pelaksanaan RPI. Guru-guru akan mengetahui kepentingan RPI dalam pengajaran dan pembelajaran murid-murid bekeperluan khas serta menyedari bahawa setiap murid adalah istimewa, mempunyai keupayaan dan pencapaian yany berbeza.

2 ulasan: