Rabu, 13 Mac 2013

Diskalkulia Dan Fobia Matematik..

Apa pandangan anda. Persamaan dan Perbezaan.

Jumaat, 8 Mac 2013

Membentuk Fizikal dan Minda Kanak-Kanak








MELANGKAH masuk sahaja ke Kizsports & Gym, sudah kedengaran tawa riang kanak-kanak bermain di taman permainan yang terletak di tingkat dua pusat beli-belah Great Eastern Mall, Jalan Ampang. Sedang mereka bermain, kelihatan ada ibu bapa memantau dari jauh sambil berbual mesra antara satu sama lain tanpa perlu bimbang akan keselamatan anak masing-masing. Di satu sudut lain pula, kelihatan kanak-kanak berusia dalam lingkungan tiga dan empat tahun khusyuk melukis dan mewarna.
Sementara itu, di bilik-bilik lain, ada yang sedang belajar membaca, menari balet dan sibuk mencalit warna pada hasil kraf dengan bimbingan tenaga pengajar.
Sudah namanya anak kecil, bukan mudah untuk memenangi hati mereka jika tidak kena caranya. Sewaktu mahu mengambil gambar, ada yang nampak sedikit resah kerana aktiviti ‘eksklusif’ mereka didekati orang dewasa. Begitupun, lebih ramai yang kelihatan ceria dan ramah saat lensa kamera dihalakan ke arah mereka, seolah-olah mahu berkongsi keseronokan yang sedang dialami. “Beginilah keadaan setiap hari di sini, sentiasa dimeriahkan dengan kehadiran kanak-kanak yang hadir sama ada untuk bermain atau mengikuti pelbagai program yang ditawarkan di sini.“Kebanyakan kanak-kanak di sini ditemani ibu bapa. Sungguhpun begitu, ada juga ibu bapa yang meninggalkan anak-anak mereka di sini sementara mereka membeli-belah atau melakukan urusan lain,” kata Penolong Pengurus Pusat Kizsports & Gym Ampang, Ng Su Khiam. WALAUPUN masih kecil, kanak-kanak ini memberikan komitmen tinggi untuk belajar tarian balet.

Pemantauan

Menurut Su Khiam, ibu bapa yang meninggalkan anak-anak mereka di sini tidak perlu bimbang kerana staf Kizsports & Gym akan sentiasa memantau dan menjaga anak-anak mereka tetapi caj tambahan akan dikenakan bagi setiap jam. Kanak-kanak yang dihantar ke sini oleh ibu bapa mereka bukan sekadar meluangkan masa bermain semata-mata, malah ada yang mengikuti pelbagai program dan kelas. Antara program popular ditawarkan oleh Kizsports & Gym ialah Early Learning Academy (prasekolah), Early Fitness Academy (prakecergasan), kelas membaca, kelas seni dan kraf, taekwando, karate dan balet.“Early Learning Academy akan bermula pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bagi kanak-kanak bermula usia dua tahun ke atas.“Bagi program-program yang lain, ia diadakan berdasarkan jadual yang telah ditetapkan kecuali kelas seni dan kraf yang dijalankan pada bila-bila masa,” ujarnya yang dikenali sebagai Uncle Eric oleh pengunjung-pengunjung cilik di situ.Kebiasaannya, pihaknya akan bertanya kepada ibu bapa yang datang, sama ada mereka membawa anak-anak untuk bermain sahaja atau berminat bagi mengikuti program-program yang disediakan.Andai ada dalam kalangan ibu bapa yang berminat, Eric akan mencadangkan beberapa program yang bersesuaian dengan peringkat umur anak-anak mereka.“Kita galakkan ibu bapa menjadi ahli Kelab Kizsports & Gym kerana selain anak-anak mereka datang untuk kelas-kelas tertentu, mereka boleh bermain di sini dengan percuma. Jika datang pada hari tiada kelas, ibu bapa dapat masuk bermain dengan kadar istimewa. Kizsports & Gym yang mempunyai empat cawangan iaitu di Bangsar Village II, Great Eastern Mall, Empire Shopping Gallery dan Desa Parkcity tidak pernah sunyi dengan kunjungan si kecil lebih-lebih lagi pada hujung minggu,” ujarnya sambil memberitahu setiap program yang ditawarkan diajar oleh tenaga-tenaga pengajar berpengalaman dan bertauliah.Kizsports & Gym bertambah meriah pada hujung minggu kerana ada sahaja pelanggan yang mahu mengadakan parti hari lahir di premis tersebut. KIZSPORTS & GYM bukan sahaja tempat untuk bermain dan belajar, malah menjadi tempat untuk mencari kawan baharu. Selain daripada parti hari lahir, Kizsports & Gym juga sentiasa mengadakan sambutan acara istimewa seperti Parti Krismas, Parti Tahun Baru Cina, dan Parti Halloween. Misi Kizsports & Gym adalah untuk menjadi sebuah pusat pusat sehenti bagi pembangunan kanak-kanak baik dari segi fizikal dan mental dengan cara yang menyeronokkan. Menyentuh mengenai aspek keselamatan, Eric memberitahu bahawa Kizsports & Gym merupakan pusat sehenti rekreasi yang sesuai untuk kanak-kanak kerana ia selamat.“Setiap daftar masuk dan keluar direkodkan dengan teliti bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.  “Pintu keluar masuk dikunci dan dikawal oleh kakitangan bertugas,” katanya sambil memberitahu, seseorang yang mahu menjadi staf Kizsports & Gym perlu ada sifat kasih sayang dan sukakan kanak-kanak.







Isnin, 4 Mac 2013

Budak Trauma Didera Bapa

KUCHING - Perbuatan kejam dua beranak yang tergamak 'berganding bahu' mendera darah daging sendiri hingga menyebabkan mangsa ketakutan dan trauma memakan diri apabila kedua-duanya diberkas selepas tembelang mereka terbongkar Jumaat lalu.Kes tersebut berlaku di sebuah kampung di sini.Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad (gambar) berkata, kedua-dua suspek tersebut diberkas selepas pihaknya menjalankan siasatan sebaik menerima laporan yang dibuat oleh seorang guru sekolah mangsa pada pukul 9 pagi Jumaat lalu.Katanya, siasatan mendapati, mangsa yang berusia 11 tahun sering dipukul oleh abang kandungnya itu setiap kali selepas suspek berada dalam keadaan khayal akibat mengambil dadah dan menghidu gam."Bapa mangsa turut mendera mangsa dengan memukulnya dengan kayu dan tali pinggang sejak beberapa bulan lalu."Kali terakhir mangsa dipukul oleh abangnya beberapa hari lalu dengan sebatang kayu sehingga mengakibatkan tangan kirinya cedera," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ekoran itu, katanya, mangsa pernah ponteng sekolah selama 25 hari kerana sakit perut akibat disepak salah seorang suspek.Menurut Roslan, guru tersebut menyedari mangsa didera selepas dia hairan melihat mangsa berada dalam ketakutan dan bersembunyi di belakang kelas pada pagi Jumaat lepas. Dia membuat laporan di Balai Polis Batu 10 di sini. "Ibu mangsa pernah dua kali datang ke sekolah mengadu mengenai nasib mangsa," katanya. Ujar Roslan, gambar kecederaan mangsa telah diambil dan terdapat kesan luka lama pada badannya."Gambar kecederaan pada badan mangsa telah diambil dan terdapat kesan luka lama pada badannya. Mangsa kini dirawat di hospital dan kes telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.







Mata Buta Kerana Katarak




KUALITI penglihatan sering berkait rapat dengan umur tetapi tidak kurang juga mata kabur disebabkan pelbagai insiden tidak diingini termasuk diabetes atau kemalangan di tempat kerja. Tetapi, jika pada satu hari anda hanya melihat asap atau objek warna kelabu, situasi itu mungkin disebabkan oleh penyakit katarak. Katarak berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud air terjun.Menurut kepercayaan kuno sebelum tahun 1700, katarak terjadi hasil dari pengaliran cecair pekat seperti air terjun ke dalam mata.Hasil kajian perubatan berterusan masalah itu berpunca kerana proses penuaan, kecederaan, perubahan metabolik, penyakit dan sebagainya.Lazimnya, katarak merupakan penyakit mata semula jadi dalam kalangan warga emas. Ia juga menjadi penyebab utama kerosakan penglihatan dan kebutaan di Malaysia. Menurut Ketua Pakar Bedah Oftalmik Pusat Pakar Mata Vista Laser Eye Centre, Dr. Aloysius Low, apabila seseorang mencecah umur lebih 45 tahun, sesetengah individu akan mengalami masalah penglihatan seperti kehilangan kejelasan dan perbandingan warna (meluntur atau berubah) disebabkan katarak.  “Katarak ialah kekaburan pada kanta semula jadi dalam mata yang menghalang laluan cahaya ke dalam mata. “Individu yang mengalami katarak menghadapi kesukaran melakukan rutin harian kerana penglihatan kabur walaupun selepas memakai dan sering menukar cermin mata,” katanya. Purata umur bagi rakyat negara ini untuk menghadapi masalah katarak ialah 58 tahun.
Aloysius memberitahu, selain mengalami masalah penglihatan berganda dan masalah silau kerana sinar lampu atau matahari, penglihatan malam mereka juga terjejas akibat silau daripada lampu kenderaan dan lampu isyarat.

Tonton televisyen

Seramai 18 juta orang di seluruh dunia menghidap katarak dan ia merupakan punca utama gejala buta di dunia selepas glaukoma. Glaukoma merupakan sejenis kerosakan mata yang disebabkan oleh tekanan cecair yang terlalu tinggi di dalam bebola mata. Tekanan yang tinggi ini akan merosakkan sel retina dan serabut saraf sehingga ruang penglihatan sekitar seseorang itu menjadi semakin sempit dan akhirnya akan terus menjadi buta. Terang Aloysius, penyakit katarak bukan sahaja dihadapi oleh orang berumur malah yang berisiko menghidapnya orang muda. “Puncanya kerana diabetes atau penggunaan steroid,” katanya. Katarak boleh terjadi pada sebelah mata dan kedua-dua belah mata malah selain boleh terdapat lebih daripada satu bentuk katarak pada mata yang sama. Selain itu, penyakit ini boleh berpunca disebabkan pendedahan kadar radiasi yang tinggi seperti mereka yang sering bekerja di bawah panas terik matahari dalam jangka masa panjang. Katanya lagi, pendedahan berpanjangan menonton televisyen atau gajet elektronik juga boleh menyebabkan katarak.“Namun, tiada bukti lanjut kesan secara langsung penyakit ini kerana gajet elektrik,” katanya. Sebenarnya, terdapat tiga tahap katarak iaitu katarak tidak matang, matang dan terlampau matang. “Penyakit ini tidak mengira faktor jantina sama ada lelaki mahupun wanita,” jelasnya. Namun, jika seseorang mengalami penglihatan semakin buruk perlu segera berjumpa dengan pakar mata dengan kadar segera lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai sejarah diabetes.“Disebabkan teknologi pembedahan dan kanta semakin canggih, masalah buta serta kerosakan penglihatan yang disebabkan oleh katarak kini sudah boleh dielakkan,” katanya. Jelasnya lagi, katarak kini boleh disembuhkan melalui pembedahan yang hanya mengambil masa singkat dengan menggunakan kaedah pembedahan katarak tanpa pisau LenSx. Ia adalah teknologi terbaharu merawat katarak. Setelah katarak dikeluarkan sepenuhnya, pakar bedah membersihkan kapsul di belakang mata untuk mengurangkan kejadian kegelapan kapsul belakang (katarak yang kedua). Langkah terakhir ialah untuk memasang lensa intraokular. “Prosedur ini terbukti berkesan menghasilkan penglihatan yang jelas serta mengurangkan masa pembedahan dengan memulihkan posisi lensa intraokular. Pesakit hari ini mementingkan keselamatan dan keupayaan untuk melihat dengan lebih jelas tanpa bergantung kepada cermin mata selepas pembedahan,” jelas Aloysius. Hanya pembedahan sebelah mata sahaja dilakukan pada satu-satu masa. Jika pesakit perlu melakukan pembedahan pada kedua-dua belah mata, pembedahan mata yang satu lagi perlu dilakukan selang tujuh hari.Tempoh pembedahan pembuangan katarak dijalankan kurang seminit. Namun, proses membersihkan mata selepas pembedahan mengambil masa lebih panjang. Secara keseluruhannya, masa yang diperlukan ialah sekitar 20 minit.“Keputusan dapat diperoleh dengan pantas selain pesakit tidak mengalami rasa sakit. Pembedahan juga tidak meninggalkan parut,” ujarnya.







Budak OKU maut jatuh sungai dari lubang lantai


MIRI – Angkara lantai papan rumah berlubang yang belum dibaiki, sepasang suami isteri kehilangan anak Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas kanak-kanak itu terjatuh ke sungai melalui lubang itu sebelum mangsa dibawa arus deras ke Sungai Miri di Kampung Piasau Utara dekat sini semalam. Mayat Mohd. Rahman Ahmad, 9, yang bisu dijumpai oleh bapanya pada pukul 6 pagi semalam selepas hilang pada pukul 12 tengah hari kelmarin. Ibu mangsa, Asnah Dabang, 40, berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu ditemui terapung kira-kira 500 meter dari kediaman mereka yang berada di tepi Sungai Miri.“Saya tidak sangka lubang di lantai di sebuah bilik di rumah kami menjadi lubang maut kepada anak saya sendiri. Memang kami mahu baiki lantai papan yang berlubang itu tetapi ditangguhkan kerana belum cukup duit.
“Kami berasa sangat sedih kerana Mohd. Rahman merupakan anak yang baik hati walaupun dia agak hiperaktif dan memerlukan pengawasan sepanjang masa,” kata Asnah di sini semalam.Asnah memberitahu, sebelum kejadian malang itu, dia bersama suaminya keluar bekerja seawal pukul 6 pagi dan meninggalkan Mohd. Rahman bersama abang dan adiknya masing-masing berusia 12 dan lima tahun.Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, Asnah terus terjun ke dalam sungai untuk mencari anaknya. Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kematian kanak-kanak itu sebagai kematian mengejut.