Ahad, 18 Januari 2009

Terletak di kawasan Pedalaman Ulu Slim. Jarak dari Ulu Slim 28km, dari Slim River 50km. Jalan perhubungan dari tempat ini ke Ulu Slim adalah jalan balak yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan 4x4 dan motorsikal. Kesukaran perjalanan lebih dirasai pada waktu musim hujan, dimana keadaan jalan berlumpur serta licin.


Sekolah ini ditubuhkan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli pada tahun 1997. Terdapat bangunan lama yang terdiri dari sebuah bangunan bilik darjah dan sebuah kantin. Bangunan lama ini merupakan bangunan kayu. Bangunan baru hanya siap dan mula digunakan pada tahun 2004 merupakan bangunan yang dibina sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Bangunan baru ini terdiri daripada 4 buhan bangunan bilik darjah dan sebuah kantin.

Terdapat empat perkampungan Orang Asli di sekitar sekolah, iaitu Kampung Pangkak, Kampung Tenau , Kampung Kehem dan Kampung Sempuh. Penduduk di kawasan ini berjumlah kira-kira 50 keluarga dan bekerja sebagai petani dan pencari hasil hutan. Pendapatan penduduk di sini adalah amat rendah. Purata pendapatan mereka kurang dari RM 500 sebulan. Penduduk di perkampongan ini terdiri dari kaum Semai.

Oleh kerana kedudukannya jauh di pedalaman, maka tiada kemudahan elektrik di sediakan. Sekolah dibekalkan sebuah Generator untuk kemudahan kuasa elektrik. Namun hanya dapat digunakan apabila bekalan diesel dapat dibekalkan. Bekalan diesel agak sukar sampai ke sekolah ini lantaran keadaan jalan yang bahaya. Kemudahan bekalan air adalah dari sistem Graviti. Air yang dibekalkan adalah tidak dirawat.

Guru-guru yang bertugas di sini tinggal di rumah guru yang disediakan. Terdapat 4 buah rumah guru kelas F. Guru-guru terpaksa naik ke sekolah ini sekali seminggu, iaitu naik pada hari Ahad dan turun pada hari Jumaat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan