Isnin, 4 Mac 2013

Budak OKU maut jatuh sungai dari lubang lantai


MIRI – Angkara lantai papan rumah berlubang yang belum dibaiki, sepasang suami isteri kehilangan anak Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas kanak-kanak itu terjatuh ke sungai melalui lubang itu sebelum mangsa dibawa arus deras ke Sungai Miri di Kampung Piasau Utara dekat sini semalam. Mayat Mohd. Rahman Ahmad, 9, yang bisu dijumpai oleh bapanya pada pukul 6 pagi semalam selepas hilang pada pukul 12 tengah hari kelmarin. Ibu mangsa, Asnah Dabang, 40, berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu ditemui terapung kira-kira 500 meter dari kediaman mereka yang berada di tepi Sungai Miri.“Saya tidak sangka lubang di lantai di sebuah bilik di rumah kami menjadi lubang maut kepada anak saya sendiri. Memang kami mahu baiki lantai papan yang berlubang itu tetapi ditangguhkan kerana belum cukup duit.
“Kami berasa sangat sedih kerana Mohd. Rahman merupakan anak yang baik hati walaupun dia agak hiperaktif dan memerlukan pengawasan sepanjang masa,” kata Asnah di sini semalam.Asnah memberitahu, sebelum kejadian malang itu, dia bersama suaminya keluar bekerja seawal pukul 6 pagi dan meninggalkan Mohd. Rahman bersama abang dan adiknya masing-masing berusia 12 dan lima tahun.Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, Asnah terus terjun ke dalam sungai untuk mencari anaknya. Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kematian kanak-kanak itu sebagai kematian mengejut.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan