TAJUK 4: STRATEGI PENGAJARAN LISAN
PENGENALAN
Keupayaan bahasa lisan seseorang kanak-kanak bergantung kepada pendedahan yang diterimanya daripada persekitaran selain daripada keupayaan kognitif. Pendedahan daripada persekitaran yang mereka terima boleh dalam bentuk interaksi dua hala dan kekerapan berlakunya interaksi itu. Teori interaksi yang dibincangkan dalam tajuk sebelum ini telah menegaskan kepentingan menyediakan peluang-peluang untuk berinteraksi yang lebih luas kepada kanak-kanak untuk membantu mereka menguasai bahasa lisan dengan cekap.Oleh itu guru perlu memperbanyakan aktiviti lisan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelasnya.
Dalam tajuk ini akan dibincangkan beberapa teknik pengajaran lisan yang boleh digunakan oleh guru dalam pengajaran pembelajaran terutamanya dalam mata pelajaran bahasa. Bagi kanak-kanak masalah pembelajaran guru boleh menyesuaikan teknik pengajaran ini mengikut tahap keupayaan mereka.
OBJEKTIF
Pada akhir tajuk ini peserta kursus akan dapat:
membezakan antara pendekataan, kaedah, dan teknik;
2. menghuraikan jenis-jenis kaedah pengajaran bahasa;
menghuraikan teknik-teknik pengajaran lisan;
membezakan teknik-teknik pengajaran lisan; dan
mengenal pasti jenis-jenis latih tubi lisan.
GAMBARAN KESELURUHAN TAJUK
STRATEGI PENGAJARAN LISAN
Pendekatan
Kaedah
Teknik
TEKNIK PENGAJARAN LISAN
Bercerita, Berbual, Menyanyi,
Lakonan, Boneka, Main peranan,
Berbincang, Berbahas
LATIH TUBI LISAN
Aspek sebutan
Aspek struktur
4.1 STRATEGI PENGAJARAN LISAN
Pengajaran lisan kepada kanak-kanak bukanlah perkarfa yang mudah dan boleh dianggap remeh. Walaupun kemahiran lisan adalah kemahiran yang paling awal dikuasai kanak-kanak, namun mereka tetap memerlukan pembelajaran lisan yang tersusun dan terancang supaya kemahiran lisan yang sedia ada itu dapat dikembangkan dan dimantapkan lagi. Seseorang itu mungkin petah berkata-kata tetapi gagal menggunakan kemahiran itu pada situasi tertentu dengan baik.
Seorang guru yang hendak mengajar kemahiran lisan kepada muridnya perlu
mempunyai strategi pengajaran yang jelas . Guru perlu jelas apakah pendekatan yang hendak diambilnya, apakah kaedah yang sesuai digunakan untuk tajuk dan pada situasi tertentu, dan akhirnya apakah teknik pengajaran yang sesuai dengan pendekatan dan kaedah yang telah dipilih. Dari situlah dipilih aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan kebolehan muridnya.
Dalam tajuk ini, anda akan mempelajari tentang definisi pendekatan, kaedah, dan teknik pengajaran lisan dan juga jenis-jenis latih tubi lisan.
A) PENDEKATAN
Pendekatan mencerminkan satu falsafah, pandangan, pegangan, atau pendirian bagi melihat, memahami, dan mendekati sesuatu perkara. Dalam bidang pedagogi bahasa, pendekatan bersifat abstrak, dan falsafah yang berkaitan dengan pendekatan itu bersifat teoritis. Kekuatan sesuatu pendekatan itu hanya dapat dinilai setelah dilaksanakan, misalnya di dalam bilik darjah (Abd. Aziz Talib, 2000).
Berkaitan dengan pengajaran bahasa, Kamarudin Hj.Husin (1988) memberikan empat jenis pendekatgan iaitu:
i. pendekatan induktif
ii. pendekatan deduktif
iii. pendekatan eklektik, dan
iv. pendekatan komunikatif
Pendekatan Induktif
Berdasarkan pendekatan induktif, pengajaran dimulakan secara melihat contoh-contoh unsur bahasa yang diajar. Melalui contoh-contoh yang diberi itu akan membantu pelajar membuat kesimpulan atau keputusan tentang aspek bahasa yang diajar. Guru hanya membantu murid melalui soalan-soalan, berbincang, memerhati, memberi contoh-contoh dan sebagainya, dan akhir sekali memberi peluang kepada murid membuat kesimpulan sendiri berdasarkan pemahamannya.
Pendekatan Deduktif
Pendekatan deduktif adalah berlawanan dengan pendekatan induktif, iaitu dalam pendekatan ini pengajaran dibuat dengan memberi kesimpulan atau generalisasi terlebih dahulu di awal pengajaran dan kemudian barulah dikemukakan contoh-contoh yang sesuai selepasnya.
Ternyata kedua-dua pendekatan deduktif dan induktif mempunyai perbezaan dari beberapa segi. Koh Boh Boon (1990) menjelaskan perbezaan tersebut seperti berikut:
Perbezaan antara Pendekatan Deduktif dengan Pendekatan Induktif.
Aspek
Pendekatan Deduktif
Pendekatan Induktif
1. Andaian
2. Cara
3. Peranan
Guru
4. Peranan
pelajar
Satu penyusunan awal (advanced organiser) amat berguna kepada pelajar
Generalisasi Contoh
Sebagai pembentang dan penghurai jawapan
Sebagai penerima jawapan yang agak pasif
Pelajar memperolehi manfaat jika menemui jawapan sendiri
Contoh Generalisasi
Sebagai pendorong dan pengarah dalam pencarian jawapan
Sebagai pencari jawapan yang aktif
Pendekatan Eklektik
Pendekatan eklektik adalah gabugan kedua-dua pendekatan induktif dan pendekatan deduktif bagi membentuk satu strategi pengajaran. Model pendekatan eklektik bergantung kepada pendekatan mana yang diberi penekanan . Model-model di bawah akan membantu anda memahami penggunaan pendekatan eklektik.
a) Penekanan kepada pendekatan induktif:
Contoh/fakta Kesimpulan Contoh
b) Penekanan kepada pendekatan deduktif:
Kesimpulan Contoh Generalisasi
Pendekatan Komunikatif
Anda tentu masih ingat tentang teori pemerolehan bahasa interaksional yang meniktikberatkan proses interaksi dalam proses pemerolehan bahasa. Begitu juga dengan pendekatan komunikatif yang menyarankan murid-murid diberi peluang menggunakan bahasa dalam konteks dan situasi tertentu. Murid dilatih menggunakan bahasa dengan peraturan-peraturan yang betul termasuk juga kemahiran menggunakan bahasa mengikut konteks dan situasi.
B) KAEDAH
Kaedah adalah cara yang digunakan dalam sesuatu proses pengajaran. Kaedah merujuk kepada cara mengajar yang disusun dan dilaksanakan untuk mengajar sesuatu kemahiran bahasa kepada pelajar di dalam bilik darjah. Kaedah yang digunakan adalah untuk menyokong pendekatan pengajaran yang dipilih oleh guru (Abd. Aziz Abd.Talib, 2000). Terdapat berbagai-bagai kaedah pengajaran bahasa yang dapat diaplikasikan untuk pengajaran lisan. Modul ini hanya membicarakan tentang kaedah secara sepintas lalu dan tidak akan membicarakan setiap kaedah secara terperinci.
Antara kaedah yang sesuai digunakan dalam mengajar bahasa adalah seperti Kaedah tatabahasa terjemahan, Kaedah Terus, Kaedah askar/tentera, Kaedah nahu terjemahan, dan sebagainya.
C) TEKNIK
Teknik adalah cara yang lebih khusus yang digunakan untuk mengajar (atau menguji) sesuatu kemahiran atau aspek bahasa. Teknik dicipta untuk membantu guru menjayakan sesuatu kaedah pengajaran (Abd. Aziz abd. Talib, 2000).
Antara teknik pengajaran lisan adalah bercerita, berlakon, berbincang, sumbang saran, tunjuk cara, main peranan, soal jawab, dan sebagainya. Teknik pengajaran ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan teknik pengajaran yang dipilih.
Sebagai kesimpulan, pertalian antara pendekatan, kaedah, dan teknik dapat dilihat seperti berikut:
Teori
Bahasa
Pendekatan
pengajaran
][
Kaedah
pengajaran
Teknik
pengajaran
Dalam konteks pengajaran dan pempelajaran dalam kelas, pendekatan, kaedah, dan teknik ini dilaksakanakan secara kuliah, kelas, kumpulan, atau secara individu mengikut kesesuaian. Bagi kanak-kanak masalah pembelajaran, pengajaran secara individu adalah diutamakan.
Latihan 4.1
Seorang guru Bahasa Melayu hendak mengajar tajuk kata adjektif kepada murid-muridnya.
Berdasarkan pendekatan induktif, jelaskan langkah-langkah yang guru itu ambil dalam pengajarannnya.
4.2 TEKNIK PENGAJARAN LISAN
Semasa menyampaikan pengajaran lisani di dalam kelas, guru harus bijak memilih teknik pengajaran lisan yang hendak digunakan dalam pengajaran tersebut. Teknik pengajaran lisan yang dipilih haruslah menepati objektif pengajaran dan juga bersesuaian dengan umur, minat, dan kebolehan murid. Objektif teknik pengajaran lisan adalah untuk membolehkan murid-murid memperoleh kemahiran lisan dengan mudah dan berkesan. Teknik pengajaran lisan bukan sahaja dijalankan dalam melalui aktiviti pelajar sahaja tetapi boleh dijalankan juga dengan menggunakan bahan bantu mengajar seperti televisyen, radio, tayangan video , dan sebagainya.
Dalam tajuk ini anda akan didedahkan dengan beberapa teknik pengajaran lisan secara umum. Antara teknik pengajaran lisan tersebut adalah bercerita, berbual, menyanyi, berlakon, main peranan, boneka, sumbang saran, dan perbincangan. Bagi guru yang mengajar kanak-kanak berkeperluan khas, semua aktiviti pengajaran lisan hendaklah disesuaikan dengan keupayaan mereka. Misalnya ada kanak-kanak yang menghadapi masalah pertuturan, tidak mahu bercakap, masalah emosi, dan tidak dapat memberi tumpuan kepada tugasan yang diberi.
i. Teknik bercerita
Teknik bercerita sangat digemari oleh kanak-kanak dan memainkan peranan yang penting dalam pengajaran lisan. Dalam pengajaran bahasa secara umumnya, teknik bercerita bermaksud guru menyampaikan pengajarannya melalui aktiviti bercerita, iaitu guru akan bercerita kepada murid-muridnya dan seterusnya disusuli dengan aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti soal jawab, murid menceritakan semula cerita tersebut dan sebagainya. Dalam konteks pengajaran lisan, teknik bercerita lebih tertumpu kepada murid itu sendiri, iaitu mereka akan bercerita secara lisan sama ada tentang pengalaman, harapan, tentang sesuatu cerita yang didengar atau dibaca, dan sebagainya.
Bagi kanak-kanak berkeperluan khas, guru hendaklah membantu mereka melalui soalan-soalan atau gambar-gambar seperti gambar tunggal atau gambar bersiri. Semasa murid bercerita, guru hendaklah memberi perhatian tentang sebutan, bahasa, gaya pertuturan, dan kelancaran.
ii. Teknik perbualan
Aktiviti perbualan kebiasaannya dilakukan berdasarkan sesuatu tajuk. Teknik perbualan bertujuan melatih murid berkomunikasi secara sosial seperti berbual melalui telefon. Perbualan hendaklah berkisar tentang perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka setiap hari. Murid-murid boleh diminta bercakap tentang ibu atau bapa, kawan, hobi, permainan, dan sebagainya. Perbualan boleh berlangsung antara guru dengan murid atau sesama murid. Tajuk yang guru tetapkan hendaklah sesuai dengan pengalaman murid supaya mereka dapat berbual tentang tajuk itu.
iii. Teknik menyanyi
Sifat semula jadi kanak-kanak sangat suka mendengar nyanyian dan juga menyanyi. Bagi kanak-kanak, menyanyi dianggap sebagai satu bentuk aktiviti yang merehatkan dan menyeronokkan. Guru menggunakan teknik menyanyi ini untuk menarik minat murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran di kelas. Guru perlulah bijak memilih lagu yang hendak dinyanyikan oleh murid-murid iaitu lagu yang betul tatabahasa, dan perbendaharaan katanya. Selain itu guru boleh memilih rentak lagu yang diminati oleh murid-murid dan mencipta lirik baru dengan memasukkan perkataan-perkataan yang perlu murid kuasai sebutannya.
iv. Teknik lakonan
Teknik lakonan amat baik untuk mengajar dan melatih bahasa lisan kanak-
kanak. Melalui lakonan kanak-kanak dilatih melakonkan watak-watak
tertentu dengan menggunakan skrip pendek dan ringkas. Teknik ini dapat
melatih sebutan, intonasi, dan kelancaran pertuturan kanak-kanak di
samping melatih menggunakan pelbagai jenis ayat seperti ayat penyata,
ayat tanya, ayat seruan, dan ayat perintah.
v. Teknik boneka
Teknik Boneka dikenali juga sebagai teknik patung atau ”puppet”. Teknik ini adalah antara teknik yang sangat digemari oleh kanak-kanak kerana pergerakan boneka dan dialog dalam lakonan boneka ini sangat menarik dan menghiburkan. Ada kanak-kanak berkeperluan khas yang pendiam tetapi akhirnya mahu bercakap setelah gurunya menggunakan boneka untuk bercakap dengannya dan dia juga menggunakan boneka untuk menjawab soalan guru tadi. Guru boleh menyediakan berbagai-bagai jenis boneka seperti boneka kayu, boneka sarung tangan, boneka tali, boneka piring dan sebagainya. Namun, boneka yang dibuat oleh murid sendiri adalah lebih bermakna kepada mereka. Bagi mencapai objektif pengajaran lisan, guru hendaklah memberi peluang muridnya bercakap atau berlakon dengan menggunakan boneka sesama mereka.
(Fotokopi boneka)
v. Teknik main peranan
Dalam teknik main peranan, murid melakonkan watak yang dipilih berdasarkan cerita atau situasi yang ditetapkan. Murid perlu faham akan peranan watak itu dan menghayatinya lalu melakonkan aksi dan percakapan watak itu. Contoh situasi yang diberi boleh seperti berikut:
Seorang murid telah terjumpa syiling dua puluh sen.
Dia pergi berjumpa gurunya dan menyerahkan syiing
itu kepada gurunya sambil memberitahu di mana dia
menjumpai syiling itu. Guru memuji sikapnya yang
amanah itu.
vii. Teknik berbincang
Dalam pengajaran bahasa, teknik berbincang sering digunakan untuk mendapatkan isi dan menyusun isi tersebut bagi sesebuah karangan. Guru boleh menjalankan teknik perbincangan ini melalui dua cara, iaitu, (1) perbincangan berlaku antara guru dengan murid-murid, dan (2) perbincangan berlaku antara murid dengan murid sama ada secara kelas atau dalam kumpulan kecil. Semasa perbincangan, isi-isi penting dicatat di papan tulis dan kemudian disusun berdasarkan kehendak tajuk perbincangan. Bagi mengajar kemahiran lisan, guru menggalakkan murid bercakap untuk memberi pendapat dengan ayat dan tatabahasa yang betul.
viii. Teknik perbahasan
Teknik ini sering digunakan oleh guru bahasa untuk melatih murid-murid kemahiran bertutur khusus di hadapan penonton yang ramai. Melalui teknik ini murid diminta berbahas tentang satu tajuk atau isu yang diberi. Teknik ini amat berkesan untukmembentuk keyakinan diri yang tinggi di kalangan murid sekolah. Bagi murid berkeperluan khas, guru boleh mengubah suai teknik perbahasan ini dalam bentuk yang lebih mudah dilakukan mengikut keupayaan murid.
Teknik-teknik pengajaran lisan di atas boleh digunakan untuk mengajar kanak-kanak masalah pembelajaran menguasai kemahiran lisan. Guru hendaklan merancang terlebih dahulu aktiviti lisan yang hendak dilaksanakan dan aktiviti yang dijalankan hendaklah berfokus kepada penglibatan murid secara optimum. Sebagai contoh, sekiranya guru memilih untuk menggunakan teknik bercerita dalam pengajarannnya, maka ia hendaklah merancang aktiviti yang memberi peluang murid-muridnya menceritakan pengalaman atau minat mereka, bercerita tentang gambar besiri atau gambar tunggal, tentang ibu bapa mereka dan sebagainya. Aktiviti sebeginilah yang dapat membantu murid menguasai kemahiran lisan mereka dengan lebih baik.
Latihan 4.2
Secara berkumpulan anda diminta memilih satu teknik pengajaran lisan yang dinyatakan di atas. Bincangkan dengan lebih terperinci teknik yang anda pilih dan jelaskan juga bagaimana anda mengubah suai teknik tersebut supaya sesuai dengan kanak-kanak masalah pembelajaran (rendah atau menengah). Bentangkan hasil perbincangan anda di kelas.
4.3 Latih Tubi Lisan
Menguasai kemahiran lisan, terutamanya sebutan adalah sukar bagi sesetengah kanak-kanak terutamanya kanak-kanak masalah pembelajaran. Kanak-kanak Down Syndrome dan kanak-kanak spastik adalah antara contoh kanak-kanak berkeperluan khas yang sering menghadapi masalah lisan terutamanya sebutan. Selain itu kanak-kanak yang mengalami masalah gagap juga sangat memerlukan aktiviti lisan untuk membantu mengurangkan masalah tersebut. Namun, bagi masalah gagap yang serius, kanak-kanak tersebut memerlukan rawatan khusus oleh pakar fisioterapi pertuturan.
Guru boleh menjalankan aktiviti-aktiviti pemulihan untuk masalah lisan seperti sebutan kepada muridnya di dalam kelas melalui aktiviti latih tubi. Latih tubi dijalankan secara mengulang-ulang aspek kemahiran lisan yang hendak diajar. Abd. Aziz Abd. Talib (2000) menamakannya sebagai kaedah tubi. Kaedah tubi amat berkesan utnuk mengajar sebutan, intonasi, dan struktur ayat. Menurutnya lagi, kaedah tubi amat popular di kalangan guru bahasa yang mengajar di peringkat sekolah rendah.
Kamarudin Hj. Husin (1988) pula membincangkan teknik latih tubi secara terperinci lagi. Menurutnya, latih tubi adalah satu cara mengajar dengan mengulang-ulangkan fakta atau sesuatu kecekapan yang diajar. Cara ini merupakan sebahagian daripada usaha menghafaz atau mengingat sesuatu. Tujuannya adalah untuk mencapai taraf kemahiran yang maksimum dan menjadikan apa yang dipelajari itu kekal dalam ingatan, malahan dapat digunakan dalam situasi-situasi lain.
Latih tubi amat perlu digunakan untuk kanak-kanak masalah pembelajaran. Selain mereka mengalami masalah pertuturan terutamanya dalam sebutan, mereka juga sangat lemah dalam ingatan jangka pendek dan jangka panjang. Latih tubi akan dapat membantu mereka mengingat kemahiran lisan yang dipelajari.
Terdapat dua jenis latih tubi yang biasa digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran lisan iaitu (1) latih tubi aspek sebutan atau fonologi, dan (2) latih tubi aspek struktur atau ayat (Kamarudin Hj.Husin 1988).
4.3.1 Latih tubi aspek sebutan (fonologi)
Kanak-kanak masalah pembelajaran kebanyakannya menghadapi masalah sebutan. Latih tubi jenis ini khusus digunakan untuk membantu murid yang menghadapi masalah menyebut bunyi-bunyi tertentu dalam perkataan. Ada dua jenis latih tubi bentuk ini iaitu latih tubi pasangan minimal dan latih tubi pemintal lidah.
i. Latih tubi pasangan minimal
Kanak-kanak masalah pembelajaran kerap menghadapi masalah menyebut bunyi-bunyi konsonan tertentu. Mereka kerap tersalah menyebut konsonan yang mempunyai perbezaan bunyi yang paling minimum dalam perkataan sehingga menyebabkan makna perkataan itu tersasar jauh, misalnya d dalam perkataan ladang disebut sebagai l sehingga bertukar menjadi perkataan lalang. Oleh itu guru perlu menyediakan senarai perkataan yang mengandungi konsonan d dan l dan meminta murid menyebutnya berulang-ulag kali sehingga mahir.
Contoh: dari --- lari
ladang --- lalang
lada --- lala
dada --- lada
tadi --- tali
Aktiviti
Bincangkan beberapa contoh latih tubi pasangan minimal lain yang sesuai digunakan untuk kanak-kanak masalah pembelajaran.
ii. Latih tubi pemintal lidah
Latih tubi pemintal lidah sangat penting untuk melatih kanak-kanak menyebut sesuatu bunyi dengan betul dan tepat. Latih tubi jenis ini hanya menumpukan kepada bunyi tertentu yang menjadi masalah kepada kanak-kanak menyebutnya.
Contoh:
a) Masalah menyebut fonem /p/
Pandang pandan tepi pagar depan padang
b) Masalah menyebut fonem /s/ di awal perkataan ( contoh yang
sangat popular digunakan dalam bahasa Inggeris)
She sells sea shells at the sea shore. The shells she sells are sea
shore shells.
Aktiviti
Secara berkumpulan bina beberapa contoh latih tubi pemintal lidah bagi fonem-fonem tertentu dan bentangkan kepada kelas anda.
4.3.2 Latih tubi aspek struktur (ayat)
Latih tubi struktur digunakan untuk memahirkan murid dengan bentuk-bentuk ayat tertentu dan membimbing murid menguasai kemahiran membina ayat. Dalam konteks pengajaran kemahiran lisan, latih tubi ini dapat membantu murid menyebut ayat yang lengkap dengan lancar. Terdapat berbagai-bagai jenis latih tubi jenis ini dan guru juga boleh mencipta sendiri bentuk latih tubi struktur yang hendak diberikan kepada muridnya.
i. Latih tubi gantian
Saya suka makan
mi
nasi
bubur
mihun
Bahagian tetap
Bahagian
gantian
Bahagian tetap
1. Tuan Puteri itu
2. Buku cerita itu
3. Rumah Pak Ali
sangat
amat
terlalu
sungguh
agak
paling
terlampau
cantik.
besar.
tebal.
Bahagian gantian
Bahagian
tetap
Bahagian gantian
Pencuri
Penyamun
Penculik
Penjahat
Perompak
Penyeluk saku
itu telah
dihukum.
ditangkap
dipukul.
diberkas.
dipenjarakan.
dibicarakan.
ii. Latih tubi berkembang
Guru menyebut
Murid menyebut
Saya suka main
bola
sepak
dengan kawan
di padang
sekolah
Saya suka main.
Saya suka main bola.
Saya suka main bola sepak.
Saya suka main bola sepak dengan kawan.
Saya suka main bola sepak dengan kawan di padang.
Saya suka main bola sepak dengan kawan di padang sekolah.
iii. latih tubi ulangan
Guru menyebut
Murid menyebut
Awak boleh pergi.
duduk
tidak
Ali,makan
kucing, panjat pokok
Awak boleh pegi.
Awak boleh duudk.
Awak tidak boleh duduk.
Ali boleh makan.
Kucing boleh panjat pokok.
iv. latih tubi mengubah
Guru /murid menyebut
Murid menyebut
Saya tidak hendak makan.
Saya tidak berjalan.
Ini bukan buku.
Dia tidak suka makan durian
Saya hendak makan.
Saya sedang berjalan.
Ini buku.
Dia suka makan durian.
Berdasarkan beberapa contoh latih tubi yang diberikan di atas, jelas menunjukkan bahawa latih tubi boleh membantu kanak-kanak yang bermasalah dalam kemahiran lisan membetulkan sebutan dan juga struktur ayat. Aktiviti ini sangat sesuai digunakan sebagai aktiviti pemulihan bagai kanak-kanak bermasalah pembelajaran dan juga bagi kanak-kanak kelas pemulihan khas yang menghadapi masalah lisan.
Latihan 4.3
Berikan perbezaan antara latih tubi pasangan minimal dengan latih tubi pemintal lidah?
4.4 Kesimpulan
Kemahiran lisan adalah satu kemahiran bahasa yang penting kerana manusia berkomunikasi secara lisan lebih banyak daripada kemahiran bahasa yang lain. Lagipun kemahiran lisan adalah kemahiran yang paling awal dikuasai seseorang sebelum ia menguasai kemahiran bahasa yang lain. Kemahiran lisan agak kurang mendapat perhatian dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa di sekolah berbanding dengan kemahiran bahasa yang lain. Pengajaran kemahiran lisan di dalam kelas hendaklah dijalankan dengan menggunakan kaedah dan teknik tertentu supaya murid dapat menguasai kemahiran lisan dengan baik. Keupayaan berkomunikasi secara lisan dengan baik akan menambah keyakinan diri kanak-kanak untuk berinteraksi dengan orang lain dalam pelbagai situasi.
Rumusan
1. Walaupun kemahiran lisan adalah kemahiran yang paling awal dikuasai kanak-kanak, namun mereka tetap memerlukan pembelajaran lisan yang tersusun dan terancang supaya kemahiran lisan yang sedia ada itu dapat
2. Pendekatan mencerminkan satu falsafah, pandangan, pegangan, atau
pendirian bagi melihat, memahami, dan mendekati sesuatu perkara.
3. Kaedah adalah cara yang digunakan dalam sesuatu proses pengajaran.
Kaedah merujuk kepada cara mengajar yang disusun dan dilaksanakan
untuk mengajar sesuatu kemahiran bahasa kepada pelajar di dalam bilik
darjah.
4. Teknik adalah cara yang lebih khusus yang digunakan untuk mengajar (atau
menguji) sesuatu kemahiran atau aspek bahasa. Teknik dicipta untuk
membantu guru menjayakan sesuatu kaedah pengajaran.
5. Antara teknik pengajaran lisan adalah bercerita, berbual, menyanyi,
berlakon, main peranan, boneka, sumbang saran, dan perbincangan.
6. Latih tubi adalah satu cara mengajar dengan mengulang-ulangkan fakta
atau sesuatu kecekapan yang diajar. Cara ini merupakan sebahagian
daripada usaha menghafaz atau mengingat sesuatu.
7. Terdapat dua jenis latih tubi yang biasa digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran lisan iaitu (1) latih tubi aspek sebutan atau fonologi, dan (2)
latih tubi aspek struktur atau ayat.
Kata kunci
Strategi
Pendekatan
Kaedah
Teknik
Induktif
Deduktif
Pemintal lidah
Bahan Rujukan
Abd.Aziz Talib, (1989) Pengajaran dan Pengujian Bahasa: Perspektif untuk Perguruan.
Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
_____________, (2000). Pedagogi Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan
Publications and Distributors Sdn.Bhd.
Kamarudin Hj.Husin, (1990). Pengajaran dan Pembelajaran Lisan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
______________, (1998). Pedagogi Bahasa. Kuala Lumpur: Longman Malaysia
Sdn. Bhd.
Ko
h Boh Boon, (1990). Pengajaran Tatabahasa Bahasa Malaysia: Prinsip dan
Teknik. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti.
Pastikah ada sinar yang menanti. Tinggalkan semua detik hitam semalam menjadi kenangan. Esok kembali menagih kasih dari seorang guru. Terima lah cikgu, diri ini yang tidak diminta dilahirkan begini..
Rabu, 15 April 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Labels
- 21st Century (1)
- CABARAN GURU PENDIDIKAN KHAS (3)
- DISLEKSIA (4)
- GEMALAI KENCANA (8)
- INILAH DUNIA (1)
- Jom Kita Bincang (1)
- K 15 (5)
- KEJAYAAN INSAN PENDIDIKAN KHAS (1)
- KEMAHIRAN BERFIKIR (1)
- NOTA KULIAH (2)
- PENDIDIKAN INKLUSIF (2)
- PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN PEND. KHAS (1)
- PENYELIDIKAN TINDAKAN 1 (15)
- PPG (3)
- PRAKTIKUM (1)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan