Rabu, 15 April 2009

PENGENALAN BAHASA

TOPIK 1 PENGENALAN BAHASA


PENGENALAN


Bahasa merupakan alat berkomunikasi yang wujud seiring dengan kewujudan manusia itu sendiri. Melalui bahasa manusia dapat melahirkan idea, perasaan, dan berhubung di antara sesama mereka. Bahasa dikuasai secara semula jadi atau dipelajari secara formal atau tidak formal. Keupayaan berbahasa dengan baik membolehkan seseorang itu berkomunikasi dengan lebih berkesan lagi.

Kanak-kanak keperluan khas bermasalah pembelajaran memang diakui mengalami masalah dalam bahasa kemahiran berbahasa. Justeru mereka mengalami masalah untuk mengikuti pelajaran dan juga berkomunikasi dengan rakan sebaya mereka. Guru perlu memahami masalah yang dihadapi pelajarnya supaya ia dapat merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Secara keseluruhan, mata pelajaran ini akan tertumpu kepada strategi dan kaedah pembelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar-pelajar masalah pembelajaran. Manakala tajuk ini pula akan membincangkan tentang pengenalan bahasa yang meliputi pemerolehan bahasa, komponen bahasa, dan jenis bahasa.


OBJEKTIF

Di akhir tajuk ini, anda seharusnya dapat:

menghuraikan beberapa definisi bahasa

memerihalkan teori-teori pemerolehan bahasa

menghuraikan perkembangan bahasa kanak-kanak

menjelaskan komponen bahasa iaitu bentuk, kandungan, dan penggunaan

menjelaskan masalah bahasa penerimaan dan bahasa pelahiran














GAMBARAN KESELURUHAN TAJUK



PENGENALAN BAHASA






Pemerolehan Bahasa

Definisi Bahasa
Teori Pemerolehan Bahasa
Perkembangan Bahasa Kanak-kanak

Komponen Bahasa Jenis Bahasa

Bentuk Penerimaan
Kandungan Pelahiran
Penggunaan





1.1 PENGENALAN BAHASA

Sebagai manusia kita sentiasa menggunakan bahasa untuk berinteraksi sesama sendiri. Kemampuan kita menguasai bahasa akan membolehkan kita menyampaikan pendapat atau perasaan dengan lebih baik lagi. Malah haiwan juga dikatakan mempunyai bentuk ”bahasa” mereka yang tersendiri untuk berkomunikasi sesama mereka.

Kita sering menyebut perkataan ”bahasa”, tapi apakah makna bahasa sebenarnya? Bagaimanakah bahasa itu diperolehi? Apakah yang ada dalam bahasa itu sendiri? Semua ini perlu kita ketahui sekiranya kita mahu menjadi seorang pengguna bahasa yang baik dan cekap.



1.1.1 Pemerolehan Bahasa

1.1.1.1 Definisi Bahasa


Tedapat berbagai-bagai definisi bahasa yang diberikan oleh tokoh-tokoh bahasa dan juga linguistik. Di antaranya adalah seperti berikut:

”Bahasa adalah lambang-lambang yang kita jadikan sebagai simbol-simbol khusus untuk mewakili sesuatu.”

(Reed, C.A., 1994)

”Satu struktur yang unik daripada bunyi-bunyi dan ucapan yang dipilih dan disusun secara sewenang-wenangnya (arbitrary) untuk dipakai oleh sesuatu masyarakat untuk berhubung.”

(Simanjuntak, 1978)

”Lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenang dan dipersetujui dan digunakan untuk berkomunikasi.”

(Bloom, 1988)


Daripada definisi bahasa di atas, jelas bahawa bahasa terdiri daripada lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenang (arbitrari). Menurut Hayakawa (1964), arbitrari bermaksud sebagai “ no necessary connection between the symbol and that which is symbolized…”

Bagi menjelaskan lagi maksud sewenang-wenang atau arbitarari ini, Asmah Hj. Omar (1986) menerangkan bahawa unit yang kita tuturkan sebagai “rumah” itu bukanlah benda yang konkrit yang mempunyai bumbung, lantai, dinding, tingkap, dan pintu yang menjadi tempat kita berteduh, tetapi adalah apa yang mewakili benda itu. Dengan itu benda-benda yang konkrit yang mempunyai ciri-ciri yang disebut itu boleh mempunyai lambang-lambang lain. Misalnya bait ( bahasa Arab), house (bahasa Inggeris), het huis (bahasa Belanda), griya (bahasa Jawa halus), dan walay (bahasa Kadazan), dan sebagainya.


Aktiviti:

Dalam kumpulan berdua atau bertiga, cuba berkomunikasi sesama sendiri tentang satu kemalangan yang baru berlaku tanpa bercakap.
Adakah mesej anda dapat disampaikan dengan jelas?
Adakah komunikasi anda berjalan lancar?
Bincangkan apakah masalah yang anda hadapi dalam komunikasi tersebut.



1.1.2 Teori Pemerolehan Bahasa


Sebagai seorang guru, adalah penting bagi anda mengetahui bagaimana bahasa diperoleh. Di sini kita hanya akan membincangkan tiga teori utama sahaja iaitu Teori Behavioris atau Mekanis, Teori Mentalis atau Innatis, dan Teori Kognitif.

1.1.2.1 Teori Behavioris


GAMBAR B.F. SKINNER

Teori Behavioris menekankan kepentingan persekitaran dalam pembelajaran bahasa yang berlandaskan Teori Pelaziman Operan yang dipelopori oleh B.F.Skinner (1938). Menurut Skinner, pembelajaran bahasa kanak-kanak berlaku apabila ibu bapa atau ahli keluarga yang lain mengajar kanak-kanak bercakap dan memberi galakan dengan memberi ganjaran setiap kali kanak-kanak dapat meniru atau menyebut perkataan yang diajar itu. Ganjaran yang diberi adalah untuk mengukuhkan sesuatu perlakuan bahasa yang betul yang berjaya dilakukan oleh kanak-kanak. Di antara ganjaran yang diberikan adalah pujian seperti ”pandai”, senyuman, ciuman, tepuk tangan, pelukan, dan lain-lain yang boleh merangsang kanak-kanak bercakap.

B.F. Skinner juga mengatakan bahawa manusia secara semula jadi dilahirkan dengan keupayaan mempelajari bahasa. Keupayaan bertutur adalah satu bentuk perlakuan manusia yang dikenali sebagai perlakuan bahasa yang terbentuk berdasarkan prinsip Teori Behavioris iaitu;

Rangsangan tindak balas

Dalam mempelajari bahasa, persekitaran mempunyai pengaruh yang sangat penting terhadap kanak-kanak. Pengaruh rangsangan persekitaran dalam bentuk bahasa dan bukan bahasa akan membantu kanak-kanak menguasai bahasa dengan lebih cepat. Manakala peneguhan yang diberi akan merangsang kanak-kanak mengulang-ulang percakapannya.


1.1.2.2 Teori Mentalis

(GAMBAR NOAM CHOMSKY)

Teori ini dikemukakan oleh Noam Chomsky (1959) yang mengatakan bahawa pemerolehan bahasa berlaku secara mentalis. Menurutnya, kanak-kanak dilahirkan dengan alat pemerolehan bahasa yang bersifat universal. Melalui alat ini kanak-kanak berpotensi secara semula jadi untuk mempelajari bahasa apa sahaja

Chomsky mendasarkan teorinya kepada satu hipotesis iaitu Hipotesis Nurani ( The Innateness Hypothesis) yang mengatakan bahawa otak manusia telah dipersiapkan secara semula jadi (genetik) untuk berbahasa. Otak manusia telah diperlengkapkan dengan struktur bahasa sejagat yang dikenali sebagai LAD ( Language Acquisition Device).

Bagi menguatkan teorinya tentang LAD, Chomsky memberikan empat kenyataan iaitu;

i. proses pemerolehan bahasa semua kanak-kanak boleh dikatakan sama;
ii. proses pemerolehan bahasa ini tidak ada kaitannya dengan kecerdasan (anak yang IQ-nya rendah juga juga memperoleh bahasa pada masa dan cara yang hampir sama );
iii. proses pemerolehan bahasa tidak pula dipengaruhi oleh motivasi atau emosi kanak-kanak ; dan
iv. tatabahasa yang dihasilkan oleh semua kanak-kanak boleh dikatakan sama.

Berkaitan dengan keupayaan sejadi (innate) kanak-kanak dalam mempelajari bahasa ibundanya, Chomsky memberikan tiga hujah berikut;

i. wjujudnya unsur-unsur kesejagatan dalam sesuatu bahasa iaitu kesejagatan formal yang terdiri daripada ciri-ciri tatabahasa dan kesejagatan substantif yang berupa kategori-kategori tatabahasa;
ii. bentuk-bentuk ujaran yang didengari kanak-kanak tidak akan diperolehinya tanpa keupayaan sejadi; dan
iii. kanak-kanak boleh menguasai bahasa ibundanya dalam tempoh 4 hingga 5 tahun dan tanpa keupayaan sejadi bahasa itu tidak akan dikuasai.


1.1.2.3 Teori Kognitif

(GAMBAR PIAGET)

Teori Kognitif berlandaskan pandangan Piaget seorang ahli psikologi berbangsa Swiss. Menurut Piaget, perkembangan bahasa kanak-kanak berkait rapat dengan perkembangan mentalnya. Malah beliau berpendapat bahawa bahasa kanak-kanak itu adalah manifestasi penting daripada perkembangan mentalnya. Untuk memperoleh penguasaan bahasa seseorang kanak-kanak perlu melalui beberapa peringkat perkembangan kognitifnya.

Peringkat pertama dikatakan sebagai peringkat deria-motor iaitu kanak-kanak berumur dalam lingkungan 18 bulan hingga 2 tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak membentuk skemata atau struktur kognitif hasil daripada interaksi yang aktif dengan persekitaran. Pengetahuan digambarkan dalam pelbagai bentuk simbolik. Dari umur 2 hingga 7 tahun, kanak-kanak memasuki peringkat tahap pemikiran praoperasi konkrit. Dalam peringkat ini penguasaan bahasa kanak-kanak semakin berkembang. Dalam lingkungan umur 4 tahun kanak-kanak sudah mula pandai bercakap dan boleh membentuk ayat serta memahami percakapan orang lain. Peringkat ketiga adalah operasi konkrit (7 – 12 tahun) iaitu sudah dapat menguasai beberapa kemahiran seperti hukum pengekalan, konsep hubungan, pengkategorian, dan persirian. Umur selepas 12 tahun dikatakan sebagai peringkat operasi formal.


Soalan:

Bincangkan perbezaan utama di antara Teori Behavioris, Kognitif, dan Mentalis.



1.1.3 Perkembangan Bahasa Kanak-kanak


Perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak dipengaruhi oleh perkembangan intelek, umur, pengaruh persekitaran, dan juga kematangan alat pertuturan. Apabila sampai pada peringkat umur tertentu kanak-kanak sudah boleh menuturkan perkataan-perkataan, frasa, atau ayat mengikut tahap penguasaan bahasa mereka.

Menurut Marilyn Friend (2005), masa yang paling kritikal dalam perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak adalah peringkat awal kanak-kanak. Beliau telah memberikan beberapa petunjuk penting perkembangan kanak-kanak normal seperti di bawah.


Petunjuk perkembangan bahasa kanak-kanak
________________________________________________________________
Umur Petunjuk perkembangan
________________________________________________________________
1 Mengenal nama
Sudah boleh menyebut dua hingga tiga perkataan tambahan
kepada“mama” dan “papa”
Faham arahan mudah

1-2 Faham perkataan “tidak”/ “no”
Guna sepuluh hingga dua puluh perkataan, termasuk nama
Menggabungkan dua perkataan – “Mak. Makan”
Meniru bunyi binatang yang sudah biasa seperti lembu
Melambai-lambai selamat jalan

2-3 Mengenal anggota badan
Guna dua perkataan dalam frasa negatif - “tak mau”, “no want”
Memahami konsep masa yang mudah - “esok”, “ semalam”
Selesai masalah dengan bercakap, bukanya secara memukul
atau menangis
Menyesuaikan tiga atau empat warna, tahu tentang “kecil” dan “besar”

3-4 Sudah boleh bercerita
Menguasai lebih kurang 1000 patah perkataan
Memahami makna “kelmarin”, “makan tengah hari”
Mula menurut arahan/perminatan –“Letak kasut di luar”

4-5 Menguasai lebih kurang 1,500 patah perkataan
Mengenal pasti segi tiga, bulatan, atau segi empat
Boleh bercakap angan-angan - “saya harap ….”
Banyak menyoal, termasuk “Mengapa…..?”

5-6 Menguasai lebih kurang 2,000 patah perkataan
Memahami hubungan ruang seperti “atas” dan “belakang”
Tahu alamat sendiri
Tahu perkataan antonim mudah seperti “kecil – besar”
Membezakan tangan kanan dan kiri tanpa bantuan
Menggunakan berbagai jenis ayat
________________________________________________________________


Berdasarkan petunjuk-petunjuk penting perkembangan bahasa kanak-kanak normal anda dapat mengetahui kelainan yang dimiliki oleh kanak-kanak yang mempunyai masalah bahasa.


Soalan:

Berdasarkan pengalaman anda berikan ciri-ciri kanak-kanak yang menghadapi masalah bahasa dan pertuturan.





1.2 Komponen Bahasa

Bagi menguasai kemahiran bahasa dengan baik, anda perlu memahami komponen bahasa secara menyeluruh. Kemahiran menggunakan kesemua komponen bahasa amat penting untuk suatu komunikasi yang berkesan.

Bahasa terdiri daripada beberapa komponen. Istilah-istilah lain yang digunakan selain komponen adalah seperti unsur, elemen, parameter, dan ada juga yang menggunakan istilah aspek. Kesemua ini adalah bertujuan untuk memecahkan bahasa kepada bahagian-bahagian untuk dijelas dan dibincang. Terdapat tiga komponen asas bahasa iaitu bentuk (fonologi, morfologi, sintaksis), Kandungan (semantik) , dan penggunaan (pragmatik). Setiap komponen ini mempunyai sistem dan peraturan tersendiri.

1.2.1 Bentuk

1.2.1.1 Fonologi

Fonologi merujuk kepada bunyi-bunyi bahasa yang diucapkan dan peraturan-peraturan bagi menentukan bagaimana bunyi-bunyi itu digunakan. Apabila kita menyebut perkataan-perkataan, kita dapat membezakan bunyi di antara perkataan tersebut dan seterusnya pula membezakan maknanya. Misalnya perkataan ”pin” dan ”tin”, perbezaan bunyi utama adalah pada awal perkataan-perkataan tersebut. Walaupun perkataan-perkaaan ini berbeza hanya pada satu bunyi sahaja tetapi perbezaan bunyi ini menghasilkan dua perkataan dan masing-masing mempunyai makna yang berbeza.


1.2.1.2 Morfologi

Morfologi adalah bidang yang mengkaji struktur kata atau bidang yang mengkaji proses pembentukan perkataan daripada unsur makna yang paling asas (morfem). Morfem adalah adalah kesatuan (unit) tatabahasa yang terkecil yang mempunyai erti dalam struktur sesuatu bahasa. Morfem terdiri darpada morfem bebas dan morfem terikat.

Arbak ( ) menjelaskan bahawa morfem bebas (kata akar) adalah morfem yang tanpa bantuan dari morfem lain sudah dapat berdiri sebagai perkataan. Manakala morfem terikat (imbuhan) pula adalah morfem yang hanya memberi erti setelah diimbuhkan dengan morfem lain. Morfem terikat tidak dapat berdiri sebagai perkataan. Misalnya perkataan berlari, ber- adalah morfem terikat dan ia memerlukan lari untuk membentuk perkataan berlari. Di sini lari adalah morfem bebas dan ia boleh berdiri dengan sendiri sebagai perkataan tanpa bantuan morfem lain.


1.2.1.3 Sintaksis atau ayat

Sintaksis adalah unsur terbesar dalam tatatingkat tatabahasa. Sintaksis boleh terbina daripada unit-unit tatabahasa yang lebih kecil seperti frasa, perkataan, dan morfem. Sintaksis juga merupakan satu bentuk pengucapan yang didahului dan diakhiri dengan kesenyapan serta mengandungi fikiran yang sempurna (Arbak, ).


Aktiviti

Anda boleh membuat bacaan luas tentang morfologi dan ayat dari buku Tatabahasa Dewan terbitan DBP.


1.2.2 Kandungan

Komponen kandungan terdiri daripada semantik (makna) yang merujuk kepada cara perkataan-perkataan digunakan secara bermakna dalam komunikasi. Pada asasnya semantik melibatkan perbendaharaan kata sesuatu bahasa atau leksikon. Fonem-fonem yang bergabung akan membentuk perkataan, dan perkataan digunakan untuk mewakili benda, konsep, pengalaman dan sebagainya.


1.2.3 Pragmatik (Penggunaan)

Bahasa digunakan atas sebab-sebab yang tertentu yang khusus dan tanpa sebab-sebab ini tidak ada makna kita berbahasa. Jadi kita berbahasa adalah untuk mencapai matlamat komunikasi dan juga fungsi sosial. Aspek bahasa inilah yang dikatakan sebagai pragmatik, dan Bates (1976) mengatakan bahawa pragmatik adalah sebagai peraturan menggunakan bahasa dalam konteks. Manakala Prutting (1982) pula menganggap pragmatik sebagai kecekapan sosial.

Wood (1982) menyatakan bahawa aspek pragmatik bahasa termasuklah:

i. menyampaikan mesej yang dikehendaki secara lisan dan bukan lisan dalam interaksi komunikasi secara memilih kandungan, bentuk, dan gerak badan yang bersesuaian dengan konteks dan situasi,
ii. mengembangkan kemahiran berbahasa untuk perkembangan kemahiran interpersonal, kreativiti, dan pembentukan tingkah laku.


Soalan/aktiviti:

Berdasarkan pengalaman anda dengan kanak-kanak masalah pembelajaran, bincangkan masalah bahasa dan pertuturan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak Down Syndrome dan kanak-kanak autisma.

1.3. Jenis Bahasa

Bahasa terdiri daripada bahasa penerimaan (receptive) dan bahasa pelahiran (expressive) yang terdapat dalam bentuk lisan dan tulisan. Bahasa penerimaan merupakan keupayaan memahami input komunikasi bahasa sama ada dalam bentuk percakapan ataupun penulisan. Penguasaan bahasa yang tinggi, misalnya mempunyai perbendaharaan kata yang banyak akan memudahkan pemahaman seseorang tentang perkara yang didengar ataupun dibacanya. Sebaliknya, bahasa pelahiran merupakan bentuk bahasa yang dipertuturkan atau ditulis. Bagi kedua-dua jenis bahasa ini, selain perlu mempunyai perbendaharaan kata yang banyak, seseorang itu perlu juga menguasai aspek bahasa yang lain seperti tatabahasa, bentuk bahasa, semantik, dan juga pragmatik.

Bahasa penerimaan dan bahasa pelahiran merupakan aspek penting dalam komunikasi sebagai mana yang digambarkan dalam model komunikasi di bawah.


Model Proses Komunikasi


Idea A B Idea
(pengirim) (penerima)
(penutur) (pendengar)



BERTUTUR gelombang MENDENGAR
bunyi


Kem. menyampaikan Kem. mentafsir
mesej (ekspresif) mesej (reseptif)


MENULIS gelombang MEMBACA
cahaya



Masalah bahasa juga ditunjukkan melalui bahasa penerimaan dan bahasa pelahiran. Seorang guru yang peka akan dapat mengesan masalah bahasa penerimaan dan bahasa pelahiran pelajarnya melalui pemerhatian sewaktu aktiviti pembelajaran dalam kelas, aktiviti luar kelas, ketika bermain, dan sebagainya. Berikut adalah beberapa tingkah laku yang menunjukkan kanak-kanak mengalami masalah bahasa penerimaan dan pelahiran.


(GAMBAR ORANG SEDANG BERBUAL /bertengkar/)


Individu yang menghadapi masalah bahasa penerimaan menghadapi masalah memahami percakapan atau bacaan. Mereka akan menunjukkan ciri-ciri tingkah laku seperti berikut;

i. bertindak balas secara tidak konsisten terhadap bunyi atau percakapan
ii. mempunyai tumpuan singkat walaupun terhadap perkara yang diminati
iii. kadang-kadang tidak menunjukkan sebarang reaksi (blank) ketika orang lain bercakap dengannya
iv. sukar memahami konsep yang abstrak
v. mudah tertarik dengan bunyi-bunyi luaran ketika bercakap dengannya
vi. ada masalah dengan perkataan banyak makna
vii. bermasalah mengenal hubungan perkataan dengan idea
viii. kerap memberi jawapan yang tidak sesuai
ix. sukar mempelajari makna perkataan baru
x. bermasalah dalam urutan peristiwa (cth: hari dalam seminggu)
xi. Kerap mengulangi soalan daripada memberi jawapan kepada soalan
itu

Begitu juga dengan masalah bahasa pelahiran. Individu yang menghadapi masalah bahasa pelahiran juga akan menunjukkan ciri-ciri tingkah laku berikut;

i. seorang pendiam
ii. tidak mengambil bahagian dalam perbincangan kelas
iii. kerap salah menggunakan perkataan
iv. menggunakan perkataan dengan susunan yang salah dalam ayat
v. lesu dan tidak bersemangat ketika bercakap
vi. banyak menggunakan gerakan fizikal daripada ekspresi verbal
vii. tidak dapat mencari perkataan-perkataan untuk penerangan dalam perbualan atau menulis
viii. sentiasa menggunakan ayat-ayat pendek
ix. berjalan-jalan bila diajukan soalan atau mendengar cerita
x. menggunakan perkataan secara berlebihan untuk menjelaskan idea yang konkrit
xi. gagal memahami petunjuk (kiu) yang menandakan dia perlu berhenti bercakap
xii. sangat sukar mengingat


:Pendekatan interaktif atau komunikatif sangat berkesan untuk membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah bahasa pelahiran atau bahasa penerimaan. Kanak-kanak ini perlu digalakkan berinteraksi sesama rakan sebaya mereka, dengan guru, dan ibu bapa dalam pelbagai situasi seperti ketika proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, ketika melakukan aktiviti luar kelas seperti lawatan, permainan, dan sebagainya.,


Tugasan:

Apakah pendekatan interaktif?
Berdasarkan satu situasi pembelajaran, bincangkan cara melaksanakan pendekatan interaktif di dalam kelas PKBP.


1.4 Rumusan

a. Bahasa merupakan alat omunikasi yang wujud seiring dengan kewujudan manusia itu sendiri. Melalui bahasa manusia dapat melahirkan idea, perasaan, dan berhubung di antara sesama mereka. Bahasa dikuasai secara semula jadi atau dipelajari secara formal atau tidak formal.

b. Bahasa terdiri daripada lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenang (arbitrari) yang bermaksud sebagai “ no necessary connection between the symbol and that which is symbolized…”

c. Antara teori pemerolehan bahasa adalah Teori Behavioris atau Mekanis, Teori
Mentalis atau Innatis, dan Teori Kognitif.

c. B.F. Skinner juga mengatakan bahawa manusia secara semula jadi dilahirkan
dengan keupayaan mempelajari bahasa melalui satu bentuk perlakuan
manusia yang dikenali sebagai perlakuan bahasa yang terbentuk berdasarkan
prinsip Teori Behavioris iaitu, Rangsangan tindak balas .

Chomsky mendasarkan teorinya kepada satu hipotesis iaitu Hipotesis Nurani ( The Innateness Hypothesis) yang mengatakan bahawa otak manusia telah dipersiapkan secara semula jadi (genetik) untuk berbahasa. Otak manusia telah diperlengkapkan dengan struktur bahasa sejagat yang dikenali sebagai LAD ( Language Acquisition Device).

Menurut Piaget, perkembangan bahasa kanak-kanak berkait rapat dengan perkembangan mentalnya dan bahasa kanak-kanak itu adalah manifestasi penting daripada perkembangan mentalnya.

Perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak dipengaruhi oleh perkembangan intelek, umur, pengaruh persekitaran, dan juga kematangan alat pertuturan.

Terdapat tiga komponen asas bahasa iaitu bentuk (fonologi, morfologi, sintaksis), Kandungan (semantik) , dan penggunaan (pragmatik). Setiap komponen ini mempunyai sistem dan peraturan tersendiri.

Fonologi merujuk kepada bunyi-bunyi bahasa yang diucapkan dan peraturan-peraturan bagi menentukan bagaimana bunyi-bunyi itu digunakan.

Morfologi adalah bidang yang mengkaji struktur kata atau bidang yang mengkaji proses pembentukan perkataan daripada unsur makna yang paling asas (morfem).

Sintaksis adalah unsur terbesar dalam tatatingkat tatabahasa. Sintaksis boleh terbina daripada unit-unit tatabahasa yang lebih kecil seperti frasa, perkataan, dan morfem.

pragmatik adalah sebagai peraturan menggunakan bahasa dalam konteks. Manakala Prutting (1982) pula menganggap pragmatik sebagai kecekapan sosial.

Bahasa terdiri daripada bahasa penerimaan (receptive) dan bahasa pelahiran (expressive) yang terdapat dalam bentuk lisan dan tulisan. Bahasa penerimaan merupakan keupayaan memahami input komunikasi bahasa manakala bahasa ekspresif pula melibatkan kemahiran menyampaikan mesej sama ada dalam bentuk percakapan ataupun penulisan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan