Sabtu, 24 Mac 2012

KEMAHIRAN MENULIS

7.1   Peringkat Perkembangan Menulis


Tulisan dan bacaan mempunyai hubungan yang rapat dan saling melengkapi.  Seseorang akan membaca hasil tulisan seseorang dan hasil tulisan seseorang pula adalah untuk dibaca oleh orang lain.  Begitu juga apabila seseorang menulis, dia juga sedang membaca apa yang ditulisnya.  Tulisan adalah lambang-lambang bunyi yang diwakili oleh perkataan-perkataan yang ditulis.  Apabila lambang-lambang yang ditulis itu dibaca atau dibunyikan semula, maka barulah wujudnya bahasa melalui tulisan itu. Melalui tulisan manusia melahirkan perasaan, fikiran, dan juga kemahuan mereka.  Melalui tulisan juga manusia dapat menikmati keindahan bahasa melalui penulisan yang indah dan penulisan yang banyak memberi maklumat.


7.1.1   Jenis Kemahiran Menulis


Secara umumnya terdapat dua jenis kemahiran menulis yang diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.  Pertamanya adalah kemahiran menulis secara mekanis dan keduanya kemahiran menulis mentalis.

Kemahiran menulis secara mekanis menekankan kepada aspek tulisan yang betul, kemas, cantik, dan mudah dibaca.   Kemahiran ini melibatkan koordinasi otot-otot tangan dan jari dengan aspek visual dalam  menulis perkataan-perkataan.  Kemahiran menulis secara mekanis diberi tumpuan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak iaitu di peringkat pra sekolah dan tahap satu sekolah rendah (Tahun 1 hingga tahun 3).  Kanak-kanak berkeperluan khas  bermasalah pembelajaran (PKBP) menunjukkan penguasaan kemahiran menulis secara mekanis yang sangat lemah.  Mereka didapati sukar menulis  huruf –huruf dengan betul dan juga cara menulis huruf  yang salah. 

Kemahiran menulis secara mentalis adalah kemahiran menulis untuk pelahiran idea, perasaan, memberi maklumat, bercerita,  dan sebagainya.  Kemahiran ini melibatkan proses kognitif dan perlu dipupuk melalui latihan-latihan yang berterusan sehingga kemahiran tersebut dikuasai dengan mantap.  Kemahiran menulis secara mentalis ini hanya diperkenalkan  oleh guru kepada murid-muridnya setelah mereka menguasai kemahiran menulis secara mekanis.  Dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,  penulisan secara mentalis diajar melalui aktiviti penulisan berkenaan dengan sesuatu aspek seperti  menyatakan kehendak, menyatakan perasaan, menyatakan pendapat, bercerita, memberi maklumat seperti menulis berita, dan menulis puisi.



7.1.2   Peringkat Perkembangan Pengajaran Menulis


Kemahiran menulis perlu dikuasai oleh  kanak-kanak secara berperingkat-peringkat mengikut kesediaan  dan keupayaan mereka.  Sebelum mereka mula diajar menulis, ibu bapa dan guru perlu memastikan yang mereka sudah mempunyai kesediaan menulis.  Kanak-kanak perlu bersedia dari segi kemahiran motor halus iaitu kemahiran mengawal otot-otot jari dan juga pergerakan jari.  Oleh itu kanak-kanak perlu didedahkan dengan pengalaman-pengalaman menggunakan  jari seperti  menggenggam, meramas, melorek, mencubit, menggentel, memegang, dan sebagainya.  Kesemua kemahiran ini diajar secara tidak langsung menggunakan berbagai alat dan permainan.   Kanak-kanak juga perlu bersedia dari segi keupayaan pengamatan visual melalui latihan
 dan permainan tertentu.  Selain itu kanak-kanak juga perlu menguasai kemahiran tatabahasa asas seperti boleh menggunakan pelbagai jenis pola dan struktur ayat mudah.

Pengajaran kemahiran menulis di sekolah rendah dapatlah dibahagikan kepada tiga peringkat (Kamarudin Hj. Husin, 1988):

i.              peringkat pra menulis

ii.            peringkat mendirikan  asas (peringkat mekanis)

iii.           peringkat untuk pelahiran (mentalis)


Peringkat Pra menulis

Kanak-kanak sudah boleh diajar kemahiran pra menulis sekiranya ia sudah mempunyai kesediaan menulis seperti pergerakan otot-otot tangan dan jari jemari serta sudah dapat membuat pengamatan visual iaitu sudah boleh membezakan dan mengecam benda-benda.  Pada peringkat ini  otot-otot tangan dan jari dilatih supaya lebih kemas dan teratur pergerakannya dan juga dapat memegang pensel dengan betul dan kemas.  Selain itu latihan-latihan koordinasi mata dan tangan dilakukan dengan banyak supaya kanak-kanak dapat meniru bentuk-bentuk  yang dilihat.

Pada peringkat pra menulis, aktiviti-aktiviti yang dilakukan adalah untuk melatih pergerakan tangan, koordinasi mata dan tangan, latihan-latihan pergerakan mata melalui lakaran-lakaran terkawal dan lakaran bebas yang dilakukan oleh kanak-kanak.  Menurut Hughes, Mercer, Lenz, dan Hoffmann (1991) kanak-kanak sepatutnya sudah boleh melakukan perkara-perkara berikut sebelum mereka diajar menulis.

i.              Melakukan pergerakan tangan atas ke bawah, kiri ke kanan, dan depan ke belakang.

ii.            Menekap atau menyurih bentuk-bentuk geometri dan garisan putus.

iii.           Menyambungkan titik-titik di atas kertas.

iv.           Melukis garis lintang dari kiri ke kanan, melukis garis tegak dari atas ke bawah, dan bawah ke atas.

v.            Melukis bulatan arah lawan jam, garis melengkung, dan bulatan arah jarum jam.

vi.           Melukis garis condong.

vii.          Menyalin corak mudah dan bentuk-bentuk, dan

viii.        Mengenal huruf-huruf dan dapat membezakan keserupaan dan perbezaan  bentuk huruf-huruf tersebut.














Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan