Ahad, 26 Februari 2012

PERUNDANGAN BERKAITAN PENDIDIKAN KHAS

3.0       Pengenalan

Public Law 94-142 (PL 94-142) telah diperkenalkan pada 29 November 1975 setelah diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat.  Sebelum ini ianya dikenali sebagai Akta Pendidikan untuk Semua Kanak-Kanak Cacat ( Education for All Handicapped Children Act). Pengenalan PL 94-142 adalah bertitik tolak daripada pandangan yang menyatakan bahawa hak kanak-kanak adalah dinafikan apabila mereka diasingkan daripada kanak-kanak yang sebaya dengannya kerana kemahiran-kemahiran yang lebih tinggi boleh dicapai oleh kanak-kanak khas ini apabila mereka diberi peluang untuk membuat pemerhatian dan juga melibatkan diri dengan kanak-kanak biasa (Odom & McEvoy 1988).

Undang-undang hasil perkembangan pendidikan khas di Amerika Syarikat ini  telah dapat menjamin pendidikan percuma kepada setiap individu yang berusia antara 3 hingga 21 tahun. Kanak-kanak yang menghadapi masalah kecacatan akan diberi peluang belajar bersama-sama dengan kanak-kanak   biasa namun kelas khas akan diwujudkan jika kanak-kanak ini tidak mampu belajar seperti kanak-kanak biasa yang lain.  Oleh itu , guru Pendidikan Khas akan diperuntukkan di setiap sekolah bagi menjaga hak kanak-kanak yang menghadapi masalah ini.


3.1      Mandat-mandat Asas PL94-142

Mandat-mandat asas PL94-142 telah diberi penekanan pada tahun 1990 , apabila Akta Pendidikan Individu  Kurang Upaya (Individuals with Disabilities Act, Public Law 94-476) atau singkatannya IDEA diperkenalkan. Mandat-mandat tersebut telah memberi penekanan terhadap pendidikan untuk semua, persekitaran yang paling tidak mengehadkan ( least restrictive environment , pentaksiran yang tidak mendiskriminasi, penyediaan khidmat sokongan yang berkaitan, hak ibu bapa yang membantah (due process) dan pendidikan yang sesuai (Rancangan Pendidikan Individu).

3.1.1   Pendidikan untuk semua

Pendidikan untuk semua adalah bermaksud setiap individu berhak untuk mendapatkan pendidikan tanpa mengira masalah yang mereka hadapi.  Oleh itu, kanak-kanak berkeperluan khas juga tidak terkecuali dan mereka layak  disediakan pendidikan percuma dan pendidikan bercorak awam yang sesuai di dalam kelas atau sekolah khas. Kanak-kanak ini tidak akan dikenakan sebarang bayaran kerana semuanya dibiayai oleh kerajaan Amerika melalui kutipan cukai yang diperolehi   kerajaan. Setiap negeri di Amerika Syarikat telah diminta untuk menyediakan  pendidikan percuma kepada semua kanak-kanak berusia 3 hingga 18 tahun. Apabila peruntukan PL 99-457 diperkenalkan iaitu khusus untuk individu kurang upaya, tumpuan telah diberikan kepada bayi dan kanak-kanak (Jamila 2006). Friend.M (2006), menjelaskan bahawa melalui pendidikan untuk semua, setiap negeri juga telah memperkenalkan 'child find system' sebagai prosedur untuk menyedarkan masyarakat bahawa perkhidmatan untuk kanak-kanak khas telah diwujudkan agar mereka dapat dikesan daripada peringkat awal lagi.

3.1.2   Persekitaran yang paling tidak mengehadkan ( least restrictive environment )

Persekitaran yang  paling tidak mengehadkan ( least restrictive environment ) bermaksud tidak ada pengasingan sekolah atau kelas dalam melaksanakan pendidikan bagi individu kurang upaya. Kanak-kanak khas atau individu kurang upaya boleh belajar di dalam sekolah awam biasa dan juga  di dalam kelas kanak-kanak biasa.  Justeru, kanak-kanak ini berhak untuk belajar bersama-sama dengan kanak-kanak yang sebaya dengan mereka melalui program yang efektif. Pendidikan bercorak sebegini dikenali sebagai ' pendidikan inklusif '.
Peruntukan pendidikan secara persekitaran yang paling idak mngehadkan telah membawa kepada pembentukan pendidikan inklusif.  Menurut Jamila (2006), falsafah pendidikan uinkulusif diperkembangkan daripada amalan pendidikan integrasi, dengan matlamat bagi memastikan murid-murid khas mendapat akses pendidikan yang sama dengan kanak-kanak biasa.  Persoalan tentang program inklusif ini bermula di United Kingdom pada tahun 1997, hasil pengaruh dua laporan penting pada awal tahun 1997, hasil pengaruh dua laporan penting yang ditulis oleh Audit Commission dan Her Majesty's Inspectorate of Education yang berkaitan dengan bagaimana kanak-kanak khas dapat diberi pendidikan berasaskan dana yang adil terhadap semua.

3.1.3   Pentaksiran yang tidak mendiskriminasi

Kanak-kanak  khas dilindungi daripada sebarang elemen bercorak diskriminasi dalam penilaian pendidikan.  Penilaian pendidikan dilaksanakan dalam pelbagai cara.  Namun dengan terlaksananya undang-undang ini, penilaian ke atas kanak-kanak khas hendaklah diambil kira ciri-ciri yang pada kanak-kanak khas dan hendaklah disesuaikan dengan kecacatan atau kekurangan mereka.(Yusuf,etal, 2006). 
Pada peringkat awal penempatan kanak-kanak khas ini, pihak sekolah harus menilai kebolehan kanak-kanak ini melalui penglibatan Multidisciplinary Team (MDT) yang terdiri daripada pihak pentadbir, guru, pakar perubatan dan pihak-pihak lain  untuk memastikan bahawa kanak-kanak tersebut memerlukan penempatan di kelas khas tersebut .Seterusnya tahap kebolehan kanak-kanak tersebut tersebut akan dinilai dan satu perancangan pengajaran dan bentuk penilaian yang bersesuaian akan dilakukan oleh MDT  tersebut. (Yell,M.L 2006).
Penilaian dan pentaksiran seharusnya dilakukan dengan menggunakan bahasa ibunda kanak-kanak tersebut, bersesuaian dengan umur dan tingkahlaku kanak-kanak tersebut, lebih daripada satu penilaian dilakukan untuk sesuatu ketidakupayaan dan dilakukan secara menyeluruh dalam katogeri keyidakupayaan kanak-kanak tersebut. (Yell,M.L 2006)

3.1.4.   Penyediaan khidmat sokongan yang berkaitan
Ibu bapa adalah merupakan khidmat sokongan yang terpenting bagi kanak-kanak khas. Mereka memainkan peranan penting dalam merancang dan menentukan perkembangan pendidikan setiap kanak-kanak khas. Peranan ini adalah bertujuan agar ibu bapa dapat bersama-sama mengetahui setiap maklumat dan membolehkan mereka membuat keputsan bersama tentang penilaian dan perancangan yang akan dilakukan oleh guru terhadap anak mereka. Khidmat sokongan yang pelbagai seperti MDT (Multidisciplinary Team) adalah diberi penekanan dalam PL 94-142 ini.

3.1.5   Hak ibu bapa yang membantah (due process)

Hubungan yang diwujudkan antara ibu bapa dengan pihak sekolah dan para profesional akan membentuk hak untuk bersuara. Menurut PL 94-142, maklumat mengenai keyidakupayaan seseorang individu adah sulit. Maklumat ini tidak akan dikongsi dengan orang yang tidak berkaitan dalam bidang ini.  Rekod tentang individu yang melihat maklumat ini haruslah disimpan.  Namun , ibu bapa mempunyai hak untuk melihat semua maklumat berkenaan dan boleh membantah jika maklumat tersebut tidak tepat. Rekod yang tidak dikehendaki, perlulah dimusnah.
Ibu bapa juga perlu dipanggil untuk menghadiri perjumpaan yang melibatkan anak mereka.  Jika ibu bapa dan pihak sekolah tidak bersetuju dengan apa yang telah dilakukan terhadap kanak-kanak khas ini, mereka boleh membantah dan berbincang terutama bagaimana mereka boleh terlibat sama dalam mengendalikan anak-anak mereka di sekolah (Friend,M 2006)

3.1.6   Pendidikan yang sesuai (Rancangan Pendidikan Individu)

Kanak-kanak khas seharusnya mempunyai program individunya sendiri. Dalam program tersebut perlu dimasukkan perancangan dan matlamat yang hendak dicapai oleh kanak-kanak tersebut. (Kauffman dan Hallahan, 2005) . Oleh itu,sejarah dan perkembangan Rancangan Pendidikan Individu atau RPI bermula di Amerika Syarikat apabila PL 94-142 digubal menjadi satu akta yang dikuatkuasa dari segi perundangan. Seterusnya RPI menjadi panduan di beberapa buah negara termasuk di negara kita dan dijadikan sebahagian daripada cara untuk menilai murid-murid berkeperluan khas. Dalam melaksanakan program RPI yang disediakan untuk murid-murid khas, maka seharusnya ia mesti mempunyai sekurang-kurangnya lapan komponen seperti yang tercatat di dalam PL 94-142 (Strickland & Turnbull 1990) seperti berikut:

a)    Tahap pencapaian pendidikan murid yang terkini.
b)    Matlamat tahunan atau pencapaian yang diharapkan pada akhir tahun.
c)    Objektif jangka pendek dinyatakan dalam bentuk pembelajaran mengikut langkah-langkah berurutan hingga membawa kepada penguasaan matlamat tahunan.
d)    Jenis pendidikan khas yang perlu disediakan untuk murid.
e)    Jenis perkhidmatan berkaitan (jika perlu) yang akan disediakan untuk murid.
f)     Jangka masa murid akan terlibat di dalam program aliran biasa.
g)    Ketetapan tarikh memulakan perkhidmatan dan jangka masa perkhidmatan.
Kriteria penilaian objektif yang bersesuaian, prosedur penilaian, dan jadual menentukan pencapaian dan penguasaan objektif jangka pendek diadakan sekurang-kurangnya setahun sekali.RPI yang diperkenalkan ini dapat dimanfaatkan bersama di kalangan guru-guru khas dan seterusnya digunakan bukan sahaja untuk murid-murid yang dikenalpasti berkeperluan khas tetapi juga untuk murid-murid normal yang disyaki mempunyai keperluan khas dan belum dikenalpasti keperluannya (Mohd Siraj, 1995).

1 ulasan: